29 C
Kuala Lumpur
Saturday, February 7, 2026

Bersatu Wilayah Persekutuan teguh pertahan Dr Radzi Jidin sebagai peneraju PN

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ketua-Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan menegaskan pendirian untuk menghormati keputusan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) di Wilayah Persekutuan, Melaka dan Sabah, khususnya keputusan mengekalkan Dato’ Dr. Radzi Jidin sebagai peneraju Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan.

Ketua Bahagian Bersatu Bukit Bintang, Rosman Nordin berkata, pendirian itu adalah hasil perbincangan dan persetujuan bersama Ketua-Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Menurut beliau, daripada keseluruhan 13 Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan, seramai 11 Ketua Bahagian telah menyatakan persetujuan agar Naib Presiden Bersatu itu terus kekal menerajui Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan dan tidak meletakkan jawatan.

Seorang Ketua Bahagian dilaporkan tidak bersetuju, manakala Dr. Radzi Jidin sendiri mengambil pendirian berkecuali.

Rosman berkata, sokongan penuh itu turut disertai penolakan keras terhadap sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, termasuk dalam kalangan ahli Bersatu sendiri, yang didakwa cuba mengganggu, melemahkan atau mencetuskan polemik tidak berfaedah terhadap kepimpinan Dr Radzi.

“Kami memandang serius dakwaan serta tekanan melampau oleh segelintir pihak, termasuk dalam kalangan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang mempertikai keputusan ini dan menuduh Dr. Radzi Jidin sebagai tidak menghormati Presiden, pengkhianat serta bermain dua kolam.

“Tuduhan sedemikian adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan amat melampau, selain berpotensi mencetuskan perpecahan dalaman parti sekiranya dibiarkan berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Dr. Radzi Jidin telah membuktikan komitmen, integriti dan disiplin yang tinggi dalam melaksanakan amanah perjuangan parti serta menjaga kepentingan rakyat.

Justeru, sebarang usaha untuk mensabotaj kepimpinan beliau hanya akan melemahkan kekuatan parti dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional.

Sehubungan itu, Ketua-Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan menasihatkan semua ahli parti agar menghentikan sebarang serangan terbuka atau tertutup terhadap pimpinan sendiri, mengutamakan perpaduan serta disiplin parti dan menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan melalui saluran dalaman yang sewajarnya.

Mereka turut menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada kepimpinan sedia ada untuk terus bekerja demi kestabilan parti dan negara.

Ketua-Ketua Bahagian Wilayah Persekutuan menegaskan mereka akan terus berdiri teguh bersama Dr. Radzi Jidin dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian serta hala tuju perjuangan Bersatu.

“Bersatu mesti kekal kuat dan bersatu padu, bukan bergaduh sesama sendiri,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular