editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR: Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) mendedahkan isu transaksi mencurigakan yang didakwa berlaku melalui akaun bank seorang wanita sejak 2022.
Mewakili SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar berkata, mangsa Wong Chooi Peng mendakwa masih belum menerima maklum balas jelas daripada pihak penyiasat walaupun laporan polis telah dibuat hampir tiga tahun lalu.
Menurutnya, kes menunjukkan wujud kelemahan ketara dalam perlindungan pengguna kewangan, khususnya apabila transaksi tidak sah boleh berlaku dalam jumlah besar tanpa disekat oleh sistem keselamatan.
Tegasnya, kes seperti ini bukan terpencil, sebaliknya semakin meningkat seiring penularan penipuan digital melalui media sosial dan platform e-wallet.
“Wong melaporkan pada 10 November 2022, sebanyak 34 transaksi tidak sah telah berlaku melalui e-wallet yang dipautkan kepada kad kreditnya dalam tempoh kira-kira dua jam, membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM16,700.
“Dia mendakwa tidak pernah mengakses, menyahpaut atau memberikan maklumat kad kreditnya kepada pihak ketiga,” kata Dr Kalaivanar.

Selain itu, transaksi yang muncul dalam penyata wanita itu didakwa menggunakan nama beberapa syarikat yang tidak wujud.
“Semakan yang dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak menemukan sebarang rekod mengenai entiti yang tertera dalam penyata berkenaan.
“Wong mendakwa perkara itu menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan ketepatan proses pengesahan identiti dalam sistem pembayaran digital.
“Mengapa sistem e-wallet tidak menyekat transaksi luar kebiasaan yang berlaku dalam masa singkat, sedangkan sejarah penggunaan Wong sebelum ini menunjukkan nilai purata transaksi kurang daripada RM300.
“Wujud kemungkinan ketirisan data peribadi yang berpunca daripada pihak tertentu dan isu seperti ini perlu dipandang serius oleh semua agensi terbabit,” katanya.
Sementara itu, Wong berkata, dia telah membuat aduan kepada pihak bank, namun mendakwa belum menerima penyelesaian sewajarnya.
“Saya tidak faham mengapa pengguna perlu menanggung hutang yang tidak dilakukan, sedangkan institusi kewangan mempunyai insurans perlindungan terhadap penipuan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Kalaivanar berkata, pihaknya menghormati tugas polis, namun mempertikaikan kelewatan siasatan memandangkan laporan telah dibuat sejak 2022.

“Isu jenayah komersial seperti ini sepatutnya dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah, terutama kerana terdapat bukti jelas yang telah dikemukakan.
“Saya khuatir tentang isu-isu lain berkaitan perbankan seperti lelongan aset yang didakwa berlaku walaupun bayaran telah dibuat.
“Saya menyeru kerajaan dan Bank Negara Malaysia agar lebih tegas serta konsisten dalam memastikan hak pengguna kewangan dilindungi,” katanya.
Katanya, jika lebih ramai mangsa tampil bersuara, pihaknya bersedia menganjurkan demonstrasi aman di hadapan Bank Negara Malaysia untuk menuntut tindakan tegas dan pembaharuan sistem.
“Langkah itu bukan bertujuan mencetuskan provokasi, sebaliknya sejajar dengan hak berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Kita sebuah negara demokrasi. Jika rakyat tidak bersuara, siapa lagi yang akan memperjuangkan hak mereka?” katanya sambil menyeru lebih ramai mangsa tampil mendapatkan bantuan.

