editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Lebih 650 peserta memeriahkan acara SAJI Miles for Smiles Fun Run & Walk 2025 yang berlangsung meriah di perkarangan Wisma FGV, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Program anjuran FGV Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd (DOPSB) dan jenama SAJI itu bertujuan memupuk gaya hidup sihat, merapatkan hubungan sosial serta mengukuhkan kehadiran jenama SAJI melalui penganjuran aktiviti komuniti yang santai dan bermakna.
Acara bermula seawal 7 pagi dan dirasmikan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), disaksikan Dato’ Fakhrunniam Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad.
Peserta kemudiannya memulakan larian sejauh 5 kilometer di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, laluan yang direka sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kecergasan.
Sepanjang acara, peserta disajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi pemanasan badan berirama, stesen hidrasi di pertengahan laluan, sarapan ringan selepas larian, karnival mini, selain kewujudan pelbagai booth jenama FGV dan rakan penaja.

Kemuncak acara turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan daripada pelbagai rakan strategik. Semua peserta yang menamatkan larian menerima pingat sebagai penghargaan terhadap penyertaan mereka.
Selaras dengan komitmen terhadap kesejahteraan masyarakat, SAJI turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM15,000 dalam bentuk wang tunai serta produk keluaran SAJI, SERI PELANGI, ADELA dan PREMEO kepada 10 organisasi kebajikan terpilih di bawah inisiatif CSR SAJI Seikhlas Hati.
Antara penerima bantuan termasuk Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia, Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah, Rumah Jagaan Penyayang Nur Iman, Pertubuhan Anak Yatim dan Asnaf An-Annaafi Selangor dan beberapa lagi pusat penjagaan anak yatim serta warga emas di sekitar Lembah Klang.
Sebagai tanda penghargaan kepada peserta, setiap individu menerima beg sandang bertali yang berisi barangan eksklusif dan produk jenama FGV serta rakan penaja.
Antara item yang disertakan termasuk jersi rasmi larian, bib bernombor, produk makanan SAJI seperti Mi Ayam Kampung, Pes Tom Yam, Ketupat Mini dan Kerisik Kelapa, selain produk Gula Prai, minuman Oatlife, dan baucar diskaun daripada jenama seperti Salad Atelier dan Mokti’s.

Acara tahun ini turut mendapat sokongan besar daripada pelbagai rakan penaja.
Felda Travel menyumbang baucar penginapan Hotel Seri Costa Melaka dan set travel kit untuk cabutan bertuah.
FGV Agri Services mengedarkan pisang cavendish secara percuma, sementara CARABAO memberikan minuman tenaga, SORA menyediakan 1,000 botol air mineral dan SUNSHINE menyalurkan 1,000 roti pelbagai perisa untuk peserta.
Hospital Pusrawi turut hadir menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma termasuk saringan tekanan darah dan glukosa.

Menambahkan lagi kemeriahan, Hotel Seri Pacific menawarkan baucar hi–tea, penginapan dan diskaun makan di Restoran Zende sebagai hadiah cabutan bertuah.
Mokti’s pula memberikan baucar diskaun 10 peratus selain membawa trak ais krim mereka ke lokasi acara.
Kopi Saigon dan Texas Chicken turut memeriahkan program dengan tawaran kopi percuma serta baucar makanan.
Penganjuran SAJI Miles for Smiles Fun Run & Walk 2025 sekali lagi membuktikan komitmen SAJI dalam memupuk kesejahteraan masyarakat melalui aktiviti sihat, pendekatan inklusif dan program kebajikan berimpak tinggi.

