editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – TVS mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai stesen penyiaran digital terkemuka dengan pelancaran aplikasi OTT terbaharu, TVS Inspire, yang boleh dimuat turun sejak 25 Oktober 2025 yang lalu.
Kemunculan aplikasi ini menandakan langkah penting TVS dalam menawarkan platform hiburan yang lebih fleksibel, interaktif dan mudah diakses oleh penonton di dalam serta luar negara.
TVS Inspire direka untuk memberikan pengalaman menonton yang menyeluruh, termasuk akses kepada siaran langsung, kandungan on-demand, dokumentari, hiburan, berita serta program-program eksklusif TVS.
Aplikasi ini kini boleh dimuat turun melalui Apple Store dan Google Play Store, membuka peluang kepada pengguna menikmati dunia hiburan TVS secara lebih peribadi dan teratur.
Menurut TVS, pelancaran aplikasi ini bukan sekadar memperluaskan saluran penyiarannya, malah bertujuan menghubungkan Sarawak dengan komuniti global melalui kandungan berkualiti yang mencerminkan budaya, kreativiti dan pencapaian negeri berkenaan.
Dengan hanya satu aplikasi, pengguna kini dapat mengakses pelbagai program yang meraikan keunikan Sarawak dan dunia.

Pengguna turut digalakkan memuat turun aplikasi TVS Inspire untuk menikmati hiburan premium yang dibawakan terus ke skrin masing-masing, di mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Sebagai pembuka tirai kepada pengalaman hiburan yang lebih dinamik, TVS Inspire akan menayangkan dua acara besar secara langsung pada Sabtu, 15 November 2025.
Penonton boleh menyaksikan Twins Championship 103 dan Malam Gala AIFFA 2025 serentak melalui aplikasi ini.
Twins Championship 103 bakal menemui peminat sukan tempur bermula 9 pagi dengan aksi tinju amatur, diikuti perlawanan profesional dari 7.30 malam hingga 11.30 malam.
Aksi tumpuan pastinya pertarungan sengit antara Kilat Boy dari Malaysia dan Yenson Mustamu dari Indonesia, yang dijangka menarik perhatian peminat tinju rantau ini.


Selain di TVS Inspire, acara ini turut disiarkan secara langsung di platform rasmi Facebook, YouTube dan TikTok TVS Entertainment.
Pada masa yang sama, sorotan dunia perfileman Asia akan berlangsung menerusi Malam Gala AIFFA 2025 bermula 9.00 malam. Acara berprestij ini menampilkan kehadiran bintang filem Hong Kong, Simon Yam, serta diva legenda Indonesia, Ruth Sahanaya, dalam sebuah malam penuh glamor. Penonton boleh mengikuti siaran ini melalui TVS Inspire, selain di Saluran 122 Astro, MYTV dan Unifi TV.
Selaras misinya untuk menjadi platform penyiaran serantau yang komprehensif, TVS Inspire akan terus menambah lebih banyak kandungan merentas genre daripada Sarawak dan seluruh dunia.


Pendekatan ini mengukuhkan TVS sebagai penyedia kandungan yang bukan sahaja memfokuskan aspek lokal, tetapi turut menyajikan keluasan hiburan global kepada semua penonton.
Menjelang Disember, aplikasi ini bakal menyiarkan SEA Games Thailand 2025, memberikan akses eksklusif kepada salah satu acara sukan terbesar di Asia Tenggara.
Penambahan ini dijangka menarik lebih ramai pengguna dan mengukuhkan kedudukan TVS Inspire sebagai aplikasi OTT pilihan utama di rantau ini.


https://shorturl.fm/I1bxy