26.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 24, 2026

Hormatilah negeri dengan segala jajahan takluknya di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah

editormaxinfo@gmail.com

ALOR SETAR – UMNO Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, agar Pulau Langkawi diserahkan kepada kerajaan Persekutuan adalah tidak menghormati institusi Diraja Kedah dan tanah jajahan takluk di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenyataan Teresa bukan sahaja tidak menghormati kedudukan Sultan Kedah sebagai Raja yang menaungi seluruh jajahan takluk negeri itu, malah menyinggung sensitiviti rakyat Kedah.

Menurut Mahdzir, sebagai seorang wakil rakyat, Teresa seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, walaupun berada dalam Dewan Rakyat yang mempunyai kekebalan tertentu.

Beliau berkata, sebarang isu yang menyentuh kuasa dan hak milik tanah jajahan Sultan tidak boleh diperkatakan secara sewenang-wenangnya.

“Hal yang berkaitan tanah jajahan Tuanku Sultan Kedah bukan seperti mengambil buah kelapa gugur di tepi jalan yang tidak bertuan.

“Ini adalah soal kedaulatan dan kedaulatan tidak boleh dikompromi,” kata Mahdzir.

UMNO Kedah turut menggesa Teresa membuat permohonan maaf secara terbuka kerana kenyataannya telah mengguris hati rakyat Kedah yang amat menghormati institusi Diraja.

Mahdzir berkata, pembangunan Pulau Langkawi tidak perlu dilakukan melalui pengambilalihan oleh kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebagai agensi Persekutuan yang sedia ada hanya perlu diperkasakan untuk memajukan lagi potensi pulau pelancongan itu.

“Langkawi tidak memerlukan pentadbiran Wilayah Persekutuan atau sebarang bentuk pengambilalihan. Apa yang perlu hanyalah memperkukuh agensi sedia ada bagi merancakkan pembangunan,” katanya.

Semalam, Teresa Kok mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS yang didakwanya gagal membangunkan Langkawi, sambil mendakwa pulau itu lebih berpotensi jika diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Beliau turut mencadangkan agar pulau itu dijadikan Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa bagi meningkatkan daya saing sektor pelancongan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular