24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

Guru perlu sesuaikan kaedah pengajaran dengan era AI – Mahdzir Khalid

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan golongan pendidik perlu memperkukuh dan menambah baik kaedah pengajaran agar seiring dengan arus perkembangan teknologi, khususnya dalam penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin pesat mempengaruhi dunia pendidikan masa kini.

Menurut beliau, walaupun sistem pendidikan negara kini berada pada landasan yang kukuh hasil pelbagai pembaharuan sebelum ini, pendekatan pengajaran guru perlu terus diperkemas agar kekal relevan dengan keperluan semasa dan keupayaan generasi baharu yang kian terdedah kepada teknologi digital.

“Ketika saya menjadi Menteri Pendidikan dahulu, kita telah meletakkan asas yang kukuh dalam sistem pendidikan negara.

“Namun dengan adanya AI, kaedah dan pendekatan pengajaran guru perlu disesuaikan agar lebih relevan dan berkesan,” katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam Program Rundingan Meja Bulat Pendidikan Nasional 1.0 (RIMBUN 1.0) 2025: Reformasi Sistem Pendidikan Dalam Era AI dan Pemerkasaan Institusi Guru, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam sesi berkenaan, beliau turut menyentuh isu sistem peperiksaan di sekolah dan menyokong cadangan agar peperiksaan peringkat nasional seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan semula bagi memastikan kualiti serta kecemerlangan pelajar dapat dinilai secara menyeluruh.

Mahdzir berpandangan, walaupun Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dan aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan oleh guru mempunyai nilai tersendiri, sistem pendidikan negara tetap memerlukan sekurang-kurangnya satu bentuk peperiksaan di peringkat nasional antara Tahun Satu hingga Tingkatan Empat bagi menilai prestasi sebenar pelajar.

“Penilaian sekolah dan kokurikulum memang penting, tetapi saya percaya perlu ada sekurang-kurangnya satu peperiksaan di peringkat nasional untuk menilai prestasi keseluruhan pelajar,” katanya.

Program RIMBUN 1.0 adalah inisiatif anjuran Pemuda UMNO, yang menghimpunkan pelbagai tokoh pendidikan dan pembuat dasar bagi membincangkan hala tuju serta reformasi sistem pendidikan negara dalam menghadapi era kecerdasan buatan.

Selain Mahdzir, antara panel yang turut serta ialah bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang merangkap bekas guru, Datuk Mohd Sharizal Semsuddin.

Program ini menjadi medan penting untuk menilai cabaran serta peluang baharu yang wujud dalam memperkasa institusi pendidikan negara agar kekal berdaya saing di peringkat global.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular