editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Suasana di The Curve, Mutiara Damansara bertukar meriah apabila aroma segar dan pedas kimchi memenuhi ruang K-Plus Food Market sempena Korea Kimchi Festival 2025 yang sedang berlangsung dari 8 hingga 16 November 2025.
Festival ini bukan sekadar pesta makanan, tetapi satu pengalaman budaya yang membawa rakyat Malaysia menyelami dunia kulinari Korea Selatan dari rahsia fermentasi turun-temurun hingga ke rasa autentik yang kini menjadi kegemaran ramai.
Acara ini dianjurkan oleh Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation (aT Center) di bawah Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea (MAFRA), dengan kerjasama KMT Food & Beverage Sdn. Bhd.
Tujuannya jelas iaitu memperkenalkan keaslian rasa kimchi sambil mengeratkan lagi hubungan budaya dan gastronomi antara Korea dan Malaysia.
Bagi rakyat Korea, kimchi bukan hanya sejenis makanan, tetapi simbol kesabaran, keunikan rasa dan warisan yang diwarisi sejak ratusan tahun.

Kini, rakyat Malaysia turut berpeluang memahami dan menghargai tradisi ini melalui festival yang penuh warna dan cita rasa.
Pengerusi KMT Group of Companies, Datuk Matthew Lee berkata, adalah satu penghormatan untuk mereka memperkenalkan hidangan kebanggaan Korea kepada rakyat Malaysia.
“Kami mahu mereka menikmati rasa dan kepelbagaian kimchi seperti mana kami menghargainya di tanah air,” katanya.
Sementara itu, Pengarah aT Center Kuala Lumpur, Chang Chung Ho berkata, setiap produk yang dipamerkan di festival ini telah disahkan halal, menjadikan kimchi Korea lebih mudah diterima oleh masyarakat Muslim tempatan.
“Kami mahu memastikan semua pengunjung boleh menikmati kimchi dengan yakin dan selesa,” katanya.

Sepanjang sembilan hari berlangsungnya festival ini, pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk seisi keluarga.
Antara yang paling mendapat perhatian ialah kelas dan demonstrasi membuat kimchi secara langsung bersama Madam Yoo Jung Im, First Certified Kimchi Master dari Korea.
Madam Yoo berkongsi rahsia serta falsafah penyediaan kimchi tradisional yang diwarisi sejak generasi terdahulu dan pengalaman unik yang membawa pengunjung lebih dekat dengan seni fermentasi Korea.
Selain itu, festival ini turut menampilkan pameran dan sesi rasa pelbagai jenis kimchi premium yang dihasilkan dengan bahan berkualiti tinggi dari Korea.
Di zon budaya interaktif, pengunjung boleh menelusuri perjalanan kimchi daripada makanan hasil pengawetan zaman dahulu kepada statusnya kini sebagai superfood dunia yang kaya dengan probiotik dan antioksidan.

Lebih daripada sekadar acara makanan, Korea Kimchi Festival 2025 menjadi jambatan budaya yang menghubungkan dua negara melalui rasa, kreativiti dan penghargaan terhadap tradisi.
Dengan sentuhan moden dan pengiktirafan halal di Malaysia, festival ini membuktikan bahawa keaslian dan inovasi boleh berpadu dalam dunia kulinari masa kini.
Bagi pencinta makanan Korea, festival ini juga menjadi peluang untuk mempelajari cara menjadikan kimchi sebagai bahan utama dalam pelbagai hidangan kreatif seperti nasi goreng kimchi, stew pedas dan masakan fusion moden yang menggugah selera.

Selepas kemeriahan di The Curve, kempen promosi kimchi akan diteruskan di seluruh negara melalui rangkaian pasar raya utama seperti AEON, Village Grocer, TFM dan Seibu TRX sehingga 23 November 2025, membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia membawa pulang rasa asli Korea ke dapur masing-masing.
“Festival Kimchi ini bukti bahawa makanan mampu menyatukan budaya. Ia bukan sekadar rasa, tetapi warisan yang dikongsi bersama,” kata Chang lagi.


