24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

KPDN, TikTok Shop laksana kempen #JomBeliLokal, jana jualan RM1.99 bilion

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mempergiatkan usaha memartabatkan produk buatan Malaysia melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), dengan pelaksanaan Kempen Jualan Mega e-Dagang sebagai strategi utama memperkasa produk tempatan di pasaran digital.

Menerusi pendekatan “whole-of-nation”, KPDN menggembleng kerjasama pelbagai pihak termasuk pengendali platform e-dagang utama bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan kempen terbabit.

Langkah ini bukan sahaja memperluas capaian promosi dan pasaran produk tempatan, tetapi juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus menyokong produk keluaran anak tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan kempen ini selaras dengan objektif utama KBBM untuk merangsang ekonomi domestik, menonjolkan kualiti produk buatan Malaysia, serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pengguna.

“KBBM bukan sekadar kempen promosi, tetapi satu gerakan nasional untuk memperkukuh ekonomi domestik melalui sokongan rakyat terhadap produk tempatan.

“Apabila rakyat membeli barangan buatan Malaysia, mereka sebenarnya membantu menjana pendapatan usahawan tempatan dan memperkukuh rantaian ekonomi negara,” katanya.

Sepanjang tahun 2024, pelaksanaan KBBM menerusi kerjasama dengan rakan strategik platform e-dagang berjaya mencatatkan hasil jualan mencecah RM1.99 bilion, melibatkan 1.64 juta unit produk tempatan (SKU).

Melihat kepada trend pembelian secara dalam talian yang semakin meningkat, KPDN kini memperluas pelaksanaan kempen secara digital agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai usahawan tempatan.

Antara rakan strategik utama yang tampil menjayakan inisiatif ini ialah TikTok Shop Malaysia, yang telah mewujudkan laman mikro khas (microsite) bagi tujuan promosi dan pengiklanan produk buatan Malaysia di platform mereka, selaras dengan tema kempen #JomBeliLokal.

Dalam usaha merancakkan kempen ini, Armizan hari ini telah merasmikan TikTok Shop 11.11 Mega Sale Carnival 2025 yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Karnival selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November 2025 itu adalah acara fizikal pertama seumpamanya yang menampilkan konsep “shoppertainment”, gabungan pengalaman membeli-belah dan hiburan secara langsung.

Acara terbabit menghimpunkan pelbagai reruai dan pameran membabitkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pempengaruh tempatan, selain diisi dengan persembahan hiburan, sesi meet & greet bersama selebriti dan influencer popular, serta sesi siaran langsung (online live show) oleh peniaga TikTok Shop.

Sepanjang tempoh jualan mega bermula 1 hingga 11 November 2025, pengguna berpeluang menikmati pelbagai tawaran istimewa termasuk penghantaran percuma tanpa had, baucar berganda sehingga 30 peratus, promosi beli satu percuma satu, dan potongan harga menarik untuk barangan keperluan harian.

Selain memperkukuh promosi produk tempatan, KPDN turut menekankan aspek perlindungan harta intelek dalam kalangan usahawan digital.

Melalui agensi di bawahnya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), KPDN bekerjasama rapat dengan TikTok bagi meningkatkan kesedaran serta memperkukuh advokasi berkaitan hak cipta dan cap dagang di platform e-dagang.

Armizan berkata, usaha ini penting bagi memastikan produk dan jenama tempatan terus dilindungi dalam persekitaran digital yang pesat membangun.

“Perlindungan harta intelek bukan sahaja melindungi hasil inovasi usahawan, tetapi juga mengukuhkan kepercayaan pengguna terhadap produk tempatan. Ini adalah elemen penting dalam membina daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya.

Kempen Beli Barangan Malaysia kini memasuki fasa baharu dengan pendekatan digital yang lebih menyeluruh, di mana strategi e-dagang menjadi tunjang utama dalam memupuk budaya membeli barangan tempatan secara berterusan.

Melalui sinergi kerajaan, sektor swasta dan rakyat, KBBM diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital negara, seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan dalam talian yang berdaya saing di rantau ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular