editormaxinfo@gmail.com
HULU LANGAT – Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa belia berkemahiran dengan menganjurkan Hari Terbuka TVET YRMS – Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2025 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, baru-baru ini.
Program di bawah naungan diraja Duli Yang Teramat Mulia (D.Y.T.M.) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor ini, menghimpunkan lebih 2,000 peserta terdiri daripada pelajar, alumni, rakan industri dan komuniti setempat.
Penganjuran ini menjadi bukti kesungguhan YRMS dalam memperkasa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) sebagai laluan masa depan yang berdaya saing untuk golongan muda.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YRMS, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj berkata, sejak penubuhannya pada tahun 2003 atas titah Duli Yang Maha Mulia (D.Y.M.M.) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, YRMS kekal memainkan peranan penting membantu golongan muda, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, tanpa mengira bangsa dan agama.

“YRMS bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknikal, tetapi turut menitikberatkan pembentukan sahsiah dan potensi diri agar belia dapat membina masa depan lebih baik,” katanya.
Sehingga kini, YRMS telah memberi manfaat kepada lebih 7,600 belia Malaysia berusia antara 16 hingga 30 tahun daripada keluarga kategori B40, melalui pelbagai program latihan kemahiran, pembangunan diri dan peningkatan kerjaya.
Hari Terbuka TVET 2025 turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti Pertandingan TVET: TVET untuk Masa Depan Mampan, yang memberi peluang kepada pelajar sekolah, kolej dan institusi latihan mempamerkan inovasi lestari.
Antara projek yang menarik perhatian termasuk inovasi sistem pemutus arus kereta ketika banjir dan penukaran tenaga kinetik kepada tenaga elektrik untuk kegunaan sekolah.

Selain itu, Bengkel Eksplorasi Diri (Self-Discovery Workshop – SDW) yang direka khas untuk pelajar Tingkatan 5 daripada keluarga B40 memberi pendedahan terhadap pembangunan sahsiah, kerja berpasukan dan peluang kerjaya dalam bidang kemahiran.
Turut diadakan ialah kelas pengurusan kewangan oleh Tymba Education serta kaunseling kerjaya oleh PERKESO, yang membantu peserta memahami keperluan pasaran kerja dan persediaan temuduga.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah YRMS 2025 bagi mengiktiraf pelajar cemerlang dalam kategori Kecemerlangan Akademik, Pencapaian Latihan, Penglibatan Komuniti, Ikon Pelajar YRMS dan Kolej Paling Suportif.
Antara penerima anugerah termasuk Nor Muhammad Muzhaffar Shah Zahalan dari Politeknik Banting Selangor yang dinobatkan sebagai Ikon Pelajar YRMS 2025.

Beliau kini berkhidmat di Singapura sebagai juruteknik pesawat selepas menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Pendidikan Pesawat dan aktif dalam kepimpinan pelajar semasa di politeknik.
Majlis juga diisi dengan penyerahan Sijil Kolaborasi (Certificate of Collaboration – CoC) sebagai simbol jalinan strategik antara YRMS dan rakan industri, selain penyerahan lima unit komputer riba kepada pelajar IKTBN Dusun Tua serta sumbangan amal kepada dua rumah kebajikan terpilih.
Menariknya, dua inisiatif baharu turut diperkenalkan tahun ini, iaitu tajaan cermin mata percuma oleh 99 Vision, Jualan Ehsan bersama KPDN dan PKPS, serta sesi fisioterapi percuma tajaan Centurise Group dan BenPhysio untuk 100 penerima manfaat.
Dalam ucapan perasmiannya, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ILKBS atas kerjasama berterusan sejak tahun 2018.

“Kolaborasi ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem TVET di Selangor, malah memperluas jangkauan YRMS dalam membantu belia yang memilih laluan kemahiran sebagai asas masa depan mereka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan penaja dan penyumbang seperti Yayasan Albukhary, Sime Darby Property, dan Worldwide Holdings atas sokongan berterusan terhadap inisiatif pembangunan belia dan komuniti oleh YRMS.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YRMS, Muhammad Syazwan Mohd Daut, berkata penganjuran tahun ini menerima sambutan luar jangkaan dengan penyertaan peserta dari seluruh negara termasuk Terengganu dan Perlis.

“Program Self Discovery Workshop (SDW) sahaja membabitkan 217 pelajar sekolah menengah sekitar Hulu Langat.
“Mereka diberi peluang merasai pengalaman sebagai pelajar TVET melalui modul jentera berat, reka bentuk industri, percetakan 3D dan lain-lain bidang kemahiran mengikut minat masing-masing,” katanya.
Menurutnya, TVET kini bukan lagi dianggap aliran kelas kedua, sebaliknya menjadi laluan strategik ke pasaran kerja dengan tempoh latihan hanya dua hingga tiga tahun.

YRMS kini menaja lebih 70 bidang TVET, termasuk Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR), penghasilan 3D, pembangunan kandungan digital, dan kru teknikal belakang tabir, membuktikan bahawa peluang TVET semakin luas dan moden.
Katanya, usaha ini selaras dengan Visi TVET 2030 dan peningkatan peruntukan sektor kemahiran oleh kerajaan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja muda yang berkemahiran tinggi.

