editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Program realiti nyanyian paling ikonik negara, Gegar Vaganza (GV), kembali untuk musim ke-12 dengan memperkenalkan konsep baharu yang lebih segar dan futuristik, dikenali sebagai “GV-Verse”.
Konsep ini membawa penonton menelusuri satu dimensi baharu dalam dunia muzik, meraikan aura dan keunikan bintang-bintang legenda dari era 1980-an hingga 2000-an yang kekal relevan hingga kini.

Gegar Vaganza 12 (GV12) bakal bersiaran secara langsung bermula 2 November 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), menampilkan 13 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam satu pentas yang menjanjikan persembahan luar biasa, sarat nostalgia serta penuh tenaga baharu.
Musim kali ini menyaksikan gabungan generasi artis yang membawa pelbagai warna muzik serantau.

Dari Malaysia, GV12 menampilkan barisan nama besar seperti Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam, dan Nubhan, di samping duo pop terkenal Freshies (Ejie dan Shima) yang bakal menghidupkan kembali pesona irama tempatan.
Warna muzik Nusantara turut diserikan dengan penyertaan bintang-bintang antarabangsa seperti Shae, Ruri Repvblik, dan trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) dari Indonesia, manakala Iskandar Ismail membawa panji Singapura ke pentas GV12 dengan keunggulan vokalnya.
Menambah elemen kejutan, seorang peserta misteri dikenali sebagai SHY8 bakal muncul sebagai wildcard musim ini, menjanjikan keunikan persembahan serta kejutan baharu yang pasti mencetus fenomena dalam dunia GV-Verse.
Kekuatan GV12 bukan hanya terletak pada pesertanya, tetapi juga pada pengacara dan juri yang menjadi tulang belakang program ini.

Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad kembali mengemudi pentas dengan gaya penuh humor dan profesional, memastikan suasana rancangan kekal meriah dan segar setiap minggu.
Barisan juri kali ini terus mengekalkan tiga nama besar yang disegani dalam industri muzik serantau Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang, dan Datuk Syafinaz Selamat yang akan memberikan penilaian berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas mereka dalam dunia seni suara.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, Gegar Vaganza kekal menjadi pertandingan nyanyian realiti nombor satu di Malaysia, malah terus berkembang sebagai platform yang mengangkat kembali penyanyi legenda ke arus perdana.

“Sejak mula diperkenalkan, Gegar Vaganza kekal sebagai pertandingan nyanyian realiti paling berpengaruh, tempat di mana penyanyi lagenda dan mereka yang pernah menyinar dapat menyalakan semula perjalanan muzik mereka.
“Daya tarikannya terletak pada gabungan sempurna antara nostalgia, pembaharuan dan emosi tulen yang menyatukan artis dan penonton,” katanya.
Beliau berkata, edisi tahun ini membawa penjenamaan baharu melalui ‘GV-Verse’ satu dimensi yang meraikan kepelbagaian serta kekuatan bakat serantau.

“Daripada legenda evergreen seperti Elaine Kang dan Rahmat Ekamatra, hingga ke suara unik seperti Mark Adam, Shae dan Ruri Repvblik setiap artis membawa kisah dan semangat tersendiri.
“Kami mahu GV12 menjadi lebih daripada sekadar pertandingan, tetapi sebuah perayaan perjalanan muzik dan potensi masa depan mereka,” katanya.
Format penjurian Gegar Vaganza 12 kekal menggunakan sistem pemarkahan 100 peratus daripada juri profesional.
Peserta dengan markah terendah pada segmen akhir setiap minggu akan disingkirkan.

Pemenang utama GV12 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, diikuti RM50,000 bagi naib juara, RM30,000 untuk tempat ketiga, manakala tempat keempat hingga keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.
Dengan konsep baharu “GV-Verse”, musim ke-12 ini bukan sekadar menyatukan legenda muzik dari pelbagai generasi, tetapi turut menampilkan transformasi dan kesinambungan industri hiburan yang semakin dinamik.

Gegar Vaganza sekali lagi membuktikan bahawa muzik tidak mengenal usia, dan setiap melodi klasik mampu dihidupkan semula dalam dimensi yang lebih segar.
Melalui GV-Verse, Astro sekali lagi membawa penonton ke alam nostalgia dan inovasi, menjadikan GV12 sebagai platform hiburan yang bukan sahaja menghibur, tetapi mengangkat semangat serta warisan seni suara Nusantara ke peringkat lebih tinggi.

