33.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 9, 2025

Jepak sasar jadi komuniti maritim bebas dadah pertama di Sarawak menjelang 2026

editormaxinfo@gmail.com

BINTULU – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak berpotensi muncul sebagai komuniti maritim terkawal dadah pertama di Sarawak menjelang tahun hadapan selepas merekodkan penurunan kes penagihan sebanyak 34.6 peratus dalam tempoh setahun melalui pelaksanaan Program Sahabat Maritim Bebas Dadah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, Iskandar Turkee berkata, kejayaan ini hasil daripada pendekatan bersepadu yang membabitkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Bintulu, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS), Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu.

“Pada tahun 2024, sebanyak 306 individu direkodkan menagih dadah di Bintulu, namun jumlah itu menurun kepada 200 orang tahun ini.

“Ini bukti bahawa pendekatan komuniti mampu menyelamatkan masa depan anak muda kita,” katanya.

Beliau menyampaikan kenyataan itu ketika merasmikan Program Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Nelayan Bintulu di Balai Raya Kampung Jepak, yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Bintulu merangkap Pengerusi OSC MIDS Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, Penolong Setiausaha Majlis Pembangunan Sosial, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Tony Mandy Ak Bogeg, Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, serta Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Sarawak, Prof. Madya Ts. Dr. Wong Tze Jin.

Walaupun kejayaan penurunan kes penagihan ini membanggakan, Iskandar berkata, 95 peratus penagih masih bergelut dengan ketagihan syabu, dengan majoriti, iaitu 75 peratus, terdiri daripada golongan muda berumur 20 hingga 39 tahun.

Beliau menekankan belia tidak harus terperangkap dalam kitaran ketagihan kerana ia menjejaskan keluarga, keselamatan komuniti dan ekonomi tempatan.

Selain itu, beliau menyeru masyarakat pesisir supaya tidak terbabit dalam jenayah di laut serta menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat melalui Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu atau menghubungi talian kecemasan 999 jika mengesan aktiviti mencurigakan.

Iskandar turut memuji komitmen Zon Maritim Bintulu yang sentiasa memastikan keselamatan komuniti nelayan, selain menyokong usaha advokasi keselamatan maritim seperti Program Sahabat Maritim.

Beliau juga mencadangkan inisiatif baharu pada tahun hadapan, termasuk latihan keusahawanan maritim untuk nelayan muda dan Kempen Digital Kesedaran Maritim bagi pendidikan komuniti secara dalam talian.

Menurut beliau, dengan komitmen berterusan, Jepak berpotensi menjadi komuniti maritim terkawal dadah pertama di Sarawak, kerana komuniti maritim yang kuat adalah komuniti yang sihat, berilmu dan bebas dadah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan UPM Sarawak, Dr. Yasmin Yaccob berkata, program ini adalah kesinambungan inisiatif yang diperkenalkan tahun lalu bagi memperkukuh jaringan komuniti pesisir terhadap ancaman dadah dan jenayah maritim.

Program ini juga bertujuan membina sinergi antara agensi kerajaan, institusi akademik, dan masyarakat setempat.

Menurut Dr. Yasmin, pada tahun ini lebih 350 peserta terabit, termasuk komuniti nelayan, mahasiswa UPM Sarawak, agensi penguatkuasaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta sektor swasta seperti Petronas dan Bintulu Development Authority (BDA).

Aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong di jeti nelayan, pemasangan lampu solar keselamatan, simulasi penyelamatan maritim (SAR), pemeriksaan kesihatan, pameran advokasi dadah, dan ziarah keluarga berisiko.

Beliau berkata, pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap bahaya dadah, malah mengeratkan hubungan antara komuniti, institusi pendidikan, dan pihak berkuasa untuk membina persekitaran maritim yang lebih selamat dan terkawal.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular