editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sebuah karya kemanusiaan yang sarat dengan mesej perjuangan dan solidariti terhadap Palestin bakal menemui penonton di seluruh negara menerusi filem “Hayya 3: Gaza”, yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 30 Oktober ini.
Filem yang diarahkan oleh Jastis Arimba ini diterbitkan oleh Warna Pictures & Productions dan diedarkan oleh Horizon Film 786 Entertainment.

Ia adalah hasil kolaborasi bersama Coalition Cultural Cinta For Gaza Al Quds and Malaysia, dengan sokongan daripada Friends of Palestine Malaysia dan Women’s Palestinian Organization.
“Hayya 3: Gaza” bukan sekadar sebuah karya sinematik, tetapi satu inisiatif kemanusiaan untuk membantu rakyat Gaza yang terus berjuang dalam penderitaan.
Melalui projek ini, sebahagian hasil kutipan filem akan disalurkan terus kepada rakyat Palestin sebagai bentuk sokongan kewangan dan solidariti global.

Pelakon dan pendakwah terkenal Oki Setiana Dewi kembali mewarnai layar perak menerusi filem ini, yang membawa tema kemanusiaan dan perjuangan rakyat Palestin.
Bagi Oki, penglibatannya dalam “Hayya 3: Gaza” bukan semata-mata sebagai pelakon, tetapi sebagai salah satu bentuk jihad sosial dan kempen kesedaran untuk masyarakat dunia.
“Menerusi filem ini, kami baik di depan mahupun di belakang layar berusaha menghidupkan kembali kesedaran masyarakat terhadap Palestin.
“Setiap babak dan dialog membawa mesej kemanusiaan yang mendalam,” kata Oki.
Tambahnya, karya ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu medium pendidikan visual untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang konflik dan penderitaan rakyat di Gaza.

“Dengan menonton Hayya 3: Gaza, penonton akan mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku di sana.
“Kami mahu masyarakat melihat, memahami dan merasai penderitaan yang dialami rakyat Palestin,” katanya lagi.
Berbeza dengan filem kebiasaan, “Hayya 3: Gaza” membawa dimensi tersendiri kerana turut berfungsi sebagai platform derma dan solidariti global.
Sebanyak 10 peratus daripada kutipan hasil tayangan filem ini akan disalurkan terus kepada rakyat Gaza, sebagai bantuan kemanusiaan yang nyata.

Menurut Oki, menonton filem ini juga dianggap sebagai satu bentuk sedekah dan sokongan kepada perjuangan Palestin.
“Menonton bererti ikut bersedekah. Dari keuntungan filem ini, 10 peratus disalurkan ke Palestin, manakala selebihnya digunakan untuk menghasilkan lebih banyak karya positif yang membawa mesej kebaikan,” katanya.
“Hayya 3: Gaza” mengisahkan tentang Abdullah Gaza, seorang anak yatim yang kehilangan bapanya ketika menjadi sukarelawan di Palestin.
Gaza kemudian dijaga oleh sebuah rumah anak yatim, di mana dia bersahabat dengan Hayya, seorang gadis kecil Palestin.
Namun, persahabatan mereka diuji apabila isu keselamatan mengancam rumah anak yatim terbabit, sekali gus membuka kisah penuh pengorbanan dan ketabahan.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat termasuk Amna Shahab sebagai Hayya, Azamy Syauqi sebagai Gaza, Cut Syifa sebagai Rafah Shafira, Oki Setiana Dewi sebagai Ustazah Dewi, Adhin Abdul Halim sebagai Adhin dan Fauzi Baadila sebagai Rahmat.
Turut menjayakan filem ini ialah beberapa pelakon popular lain dari rantau Nusantara.
“Hayya 3: Gaza” adalah kesinambungan kepada siri filem “Hayya” terdahulu yang turut membawa mesej kemanusiaan dan kedamaian sejagat.
Melalui filem ini, produksi bukan sahaja ingin menyentuh hati penonton melalui penceritaan, tetapi juga menyeru kepada tindakan nyata dalam membantu saudara Islam di Palestin.

Dengan sokongan pelbagai pertubuhan kemanusiaan dan penggiat seni serantau, filem ini diharap dapat menjadi platform kesedaran global serta simbol perpaduan antara rakyat Malaysia, Indonesia dan dunia Islam dalam mempertahankan keadilan dan kemanusiaan.
“Hayya 3: Gaza adalah bentuk nyata dari aksi kemanusiaan. Kami percaya seni dan filem boleh menjadi jambatan untuk menyampaikan mesej kasih sayang, empati, dan perjuangan,” tambah Oki.
Filem “Hayya 3: Gaza” akan mula ditayangkan di semua pawagam utama di Malaysia bermula 30 Oktober 2025.


https://shorturl.fm/dLQAs