editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ketika semakin ramai wanita bergelut dengan tekanan hidup, depresi dan kekosongan jiwa, program Cahaya Hati 1.0: Bangkitlah Jiwa, Temui Cahaya Bahagia hadir sebagai sinar harapan baharu untuk membantu mereka kembali tenang dan bahagia melalui kekuatan rohani.
Dianjurkan oleh One World Muslimah (OWM), program yang berlangsung di Matrade Hall, Kuala Lumpur itu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei menjadikannya antara majlis ilmu wanita paling berimpak tahun ini.
Presiden OWM, Noor Razlina Noor Mohamed, berkata ilham untuk menganjurkan program ini lahir daripada kebimbangan terhadap peningkatan kes wanita yang berdepan tekanan mental dan kehilangan arah hidup.
“Kami melihat ramai wanita yang datang kepada kami dengan hati yang luka dan jiwa yang penat.
“Ada yang putus asa, ada yang rasa keseorangan. Oleh itu, melalui Cahaya Hati 1.0, kami mahu membantu mereka menemui semula ketenangan melalui ilmu, zikir dan cinta kepada Allah,” katanya penuh harapan.

Mengangkat tema Bangkitlah Jiwa, Temui Cahaya Bahagia, program ini turut menampilkan pendakwah dan aktres terkenal Indonesia, Ustazah Dr. Oki Setiana Dewi, yang dibawa khas dari Mesir, bersama dua figura inspirasi tanah air Datin Heliza Helmi dan Hazwani Helmi (The Helmis) yang dikenali atas perjuangan kemanusiaan mereka di peringkat antarabangsa.
Ustazah Oki dalam perkongsiannya berkata, beliau terpanggil untuk bersama kerana percaya program seperti ini mampu menyentuh dan menyembuhkan hati wanita yang selama ini terpendam derita.
“Saya bukan datang untuk mengajar, tetapi untuk bermuhasabah bersama.
“Jika ada yang menitiskan air mata, itu tandanya Allah sedang menyapa hati mereka. Itulah keindahan majlis ilmu seperti ini,” katanya.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada jenama fesyen Muslimah terkemuka, Minaz, yang bukan sekadar bertindak sebagai penaja tetapi juga sebagai rakan sinergi dalam memperkasa kesejahteraan wanita dari sudut dalaman dan luaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Minaz, Hafiza Abdul Hamid, berkata penyertaan Minaz mencerminkan komitmen syarikat untuk menyokong keseimbangan emosi dan spiritual wanita moden.
“Kami di Minaz percaya kecantikan sejati bermula dari dalam diri.
“Kami mahu setiap Muslimah bukan sahaja kelihatan bergaya, tetapi juga memiliki kekuatan emosi dan spiritual untuk terus melangkah dengan yakin,” katanya.

Tambahnya, pembabitan Minaz dalam program berasaskan nilai kerohanian seperti Cahaya Hati 1.0 menunjukkan bahawa jenama itu bukan hanya fokus pada penampilan luaran semata-mata, tetapi juga pada pembangunan jiwa wanita Muslimah agar lebih tenang dan berdaya.
Sambutan luar biasa terhadap program pertama ini mendorong One World Muslimah untuk merancang kesinambungannya menerusi Cahaya Hati 2.0 yang dijangka berlangsung pada Disember ini, sebelum dibawa ke peringkat antarabangsa melalui Cahaya Hati 3.0 di Brunei.

Dalam pada itu, Noor Razlina berkata, gabungan tokoh terkenal seperti Oki Setiana Dewi dan The Helmis bukan hanya menarik minat ramai peserta, tetapi juga menjadi pemangkin untuk lebih ramai wanita tampil mencari kekuatan rohani dalam suasana yang penuh kasih sayang dan empati.
“Kami mahu setiap wanita tahu bahawa mereka tidak keseorangan. Setiap hati yang sedih masih ada cahaya.
“Cahaya itu wujud dalam diri mereka, cuma perlu dicari, dipupuk dan dibangkitkan semula,” katanya menutup bicara.


https://shorturl.fm/JULfs