editormaxinfo@gmail.com
BATU CAVES – Desam Media sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mengiktiraf kecemerlangan dan pencapaian individu apabila bakal menganjurkan Majlis Anugerah Desam International Icon Award (DIIA) 2025 yang dijadual berlangsung dengan penuh gemilang pada 28 November 2025 di Shenga Convention Hall, Batu Caves.
Pengasas Desam Media, Gunalan Manium berkata, segala persiapan kini berjalan lancar bagi memastikan majlis berprestij itu mencapai standard tertinggi dalam meraikan lebih 50 penerima anugerah daripada pelbagai kategori termasuk usahawan, artis, wartawan serta individu berprestasi tinggi dari pelbagai bidang profesional.
“Tahun ini, Desam Media meneruskan tradisi menghargai mereka yang berpotensi besar serta memberi impak positif kepada masyarakat.
“Kami ingin memastikan setiap penerima anugerah benar-benar mencerminkan nilai kecemerlangan dan inspirasi,” kata Gunalan.

Desam Media yang diasaskan pada 31 Ogos 2009 sebagai sebuah majalah mingguan kini berkembang menjadi antara portal berita digital utama di Malaysia sejak memulakan operasi dalam talian pada tahun 2015.
Tradisi penganugerahan Desam bermula pada tahun 2010 bersempena sambutan ulang tahun pertamanya, dengan hanya 10 penerima anugerah pertama.
Sejak itu, jenama Desam terus kukuh sebagai media pertama di Malaysia yang konsisten mengiktiraf bakat dan kejayaan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Sepanjang tempoh 2010 hingga 2024, lebih daripada 1,000 tokoh telah menerima pengiktirafan Desam Media, merangkumi usahawan berjaya, pemimpin NGO, tokoh masyarakat dan personaliti media.

Gunalan berkata, sempena ulang tahun ke-16 penubuhannya, Desam Media tetap berpegang kepada prinsip utama untuk menghargai dan mengiktiraf individu yang benar-benar layak serta berpotensi besar dalam bidang masing-masing.
Menariknya, Desam Media kini turut mencipta sejarah sebagai media Malaysia pertama yang melangkaui sempadan negara apabila berjaya menganjurkan majlis anugerah di Chennai dan Thiruvannamalai, India.
Langkah ini sekaligus mengangkat nama Desam ke peringkat antarabangsa serta mengukuhkan reputasinya sebagai jenama media berpengaruh dalam pengiktirafan global.
Bagi edisi DIIA 2025, satu kategori baharu iaitu “Desa Thalapathi Award” akan diperkenalkan buat pertama kali.
Anugerah istimewa ini bakal diberikan kepada seorang tokoh unggul yang menonjol dengan pencapaian luar biasa serta memberi sumbangan besar dalam bidangnya.

Gunalan turut menjangkakan majlis kali ini akan menghimpunkan sekitar 1,000 tetamu termasuk ahli politik, tokoh korporat, wartawan dan personaliti terkenal dari pelbagai sektor.
Katanya, proses pemilihan penerima anugerah dilakukan dengan teliti oleh panel juri profesional yang terdiri daripada lima orang ahli, manakala beberapa kategori khas akan ditentukan secara langsung oleh pasukan editorial Desam Media.
“Objektif utama Desam Media adalah untuk mengenal pasti, menghargai dan meraikan individu yang memberi inspirasi kepada masyarakat melalui usaha, dedikasi dan kejayaan mereka,” katanya.

