editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Selepas tiga dekad mencipta sejarah dalam industri hiburan tanah air, kumpulan legenda KRU bakal melakar satu lagi detik bersejarah apabila mereka dan peminat akan berlayar bersama dalam pelayaran mewah “Star KRUise Showcase” selama lima hari empat malam di atas kapal Star Voyager Cruise (SVO) pada Januari 2026.
Pelayaran eksklusif ini adalah kolaborasi antara SUKA Cruise, StarDream Cruise dan Sony Music Malaysia, menjanjikan pengalaman luar biasa yang menggabungkan hiburan, percutian mewah dan interaksi rapat antara artis dan peminat.
Sejak penubuhan mereka pada tahun 1992, KRU yang dianggotai oleh Dato’ Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim, dan Edry Abdul Halim terus menjadi ikon inovasi dan kreativiti dalam muzik Malaysia.
Dari revolusi bunyi elektronik hingga penghasilan karya yang menjadi fenomena, legasi mereka kekal segar hingga kini.

Selepas kejayaan besar Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mei 2025 yang mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records, dan menjelang penganjuran GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November 2025, trio berpengaruh ini kini bersedia membawa peminat mereka menyusuri samudera dalam pengalaman muzik yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Star KRUise Showcase” akan berlangsung dalam dua pilihan tarikh iaitu 25 hingga 29 Januari 2026 (berlepas dari Singapura) dan 26 hingga 30 Januari 2026 (berlepas dari Port Klang, Malaysia).
Laluan pelayaran meliputi destinasi menarik seperti Singapura, Port Klang, Phuket, High Seas, Singapura / Port Klang, menawarkan gabungan hiburan, santai dan penjelajahan destinasi eksotik.

Ketua Pegawai Eksekutif SUKA Travel & Tours Sdn. Bhd. Adam Kamal berkata, penganjuran ini mencerminkan komitmen syarikat dalam menghadirkan pengalaman yang unik dan tidak dapat dilupakan kepada peminat.
“Kami sentiasa mencari kelainan untuk memberi kepuasan dan pengalaman berbeza, bukan hanya kepada peminat, tetapi juga kepada artis yang kami bawa,” katanya.
Bagi KRU, peluang membuat persembahan di atas kapal mewah adalah sesuatu yang sangat dinantikan.
Menurut Norman, pelayaran ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu perjalanan penuh makna yang menghubungkan artis dan peminat secara lebih peribadi.

“Kami amat teruja untuk membuat persembahan di atas kapal persiaran buat pertama kali dalam kerjaya kami.
“Persembahan ini direka khas untuk mencipta suasana yang lebih dekat dan santai bersama peminat berbeza daripada konsert berskala besar.
“Kami mahu setiap penonton merasai keikhlasan setiap lagu dalam suasana yang eksklusif,” katanya.
Selain persembahan istimewa KRU, penumpang akan menikmati pelbagai aktiviti hiburan, sajian antarabangsa halal, serta fasiliti bertaraf dunia yang disediakan di atas Star Voyager Cruise.
Antara tarikan utama termasuk sesi Meet & Greet, cenderahati eksklusif dan peluang berinteraksi secara langsung bersama artis sepanjang pelayaran.
“Kami tidak melakukan Star KRUise Showcase untuk mencari populariti, tetapi untuk memberikan pengalaman yang benar-benar berbeza kepada peminat.

Ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk berlayar bersama legenda,” tambah Norman.
Beberapa pakej istimewa disediakan bagi memenuhi keperluan peminat, termasuk kabin Interior Stateroom, Oceanview Stateroom, Balcony Stateroom dan Palace Suite, dengan harga bermula daripada RM2,588 seorang.
Setiap pakej termasuk cukai pelabuhan dan tiket showcase KRU, sementara penumpang juga boleh menaik taraf ke VVIP Pass (RM400/pax) untuk menikmati tempat duduk eksklusif, cenderahati khas dan sesi istimewa bersama KRU.
“Selain menikmati persembahan eksklusif, penumpang juga berpeluang menjelajahi destinasi menarik seperti Phuket dan Singapura.
“Ini bukan sekadar konsert, tetapi pengalaman hidup yang akan dikenang sepanjang hayat,” tambah Adam.
Tempat untuk pelayaran ini adalah terhad dan peminat dinasihatkan membuat tempahan awal melalui agen rasmi SUKA Cruise yang terpilih di seluruh negara.

