28.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 9, 2025

Johor sasar usahawan dan PKS jadi pemain utama dalam zon ekonomi khas Johor–Singapura (JS-SEZ)

editormaxinfo@gmail.com

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menggesa usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan bersaing di peringkat serantau bagi merebut peluang besar yang bakal terhasil melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).

Zon ekonomi strategik yang meliputi kawasan seluas kira-kira 3,500 kilometer persegi itu dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri dengan tumpuan kepada pelbagai sektor berimpak tinggi seperti teknologi, pembuatan, logistik, digital serta perkhidmatan profesional.

Menurut Kerajaan Negeri, kewujudan JS-SEZ bukan sekadar membuka peluang pelaburan baharu, malah menuntut usahawan dan PKS tempatan untuk tampil lebih bersedia, inovatif serta berdaya saing agar dapat menjadi sebahagian daripada rantaian nilai ekonomi baharu yang diwujudkan.

Bagi memastikan PKS dan usahawan tempatan mampu memenuhi keperluan pelabur antarabangsa, mereka disarankan memperkukuh kemahiran, mempercepat adaptasi teknologi serta meneroka inovasi digital.

Langkah ini selaras dengan penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) yang bertujuan mempercepat urusan pelaburan dan memperluas kerjasama rentas sempadan antara Johor dan Singapura.

Kerajaan Negeri turut menegaskan pelabur di JS-SEZ perlu memainkan peranan aktif dalam menyokong ekosistem keusahawanan tempatan melalui program latihan, bimbingan dan penyertaan dalam rantaian bekalan.

Pendekatan ini penting bagi memastikan manfaat pelaburan yang dibawa dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Johor.

Dalam usaha memperkukuh keupayaan sektor keusahawanan, penganjuran Sidang Kemuncak dan Ekspo Perniagaan Johor (JBSE) 2025 dilihat sebagai platform utama yang menghubungkan usahawan, PKS dan pemain industri untuk meneroka pasaran baharu serta memperluas jaringan strategik ke peringkat global.

Acara dua hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) dengan kerjasama Kotler Impact Asia.

Ia menampilkan pelbagai pengisian interaktif termasuk sesi jaringan perniagaan, forum industri dan bengkel pembangunan inovasi yang bertujuan memacu Johor sebagai hab perniagaan terkemuka di rantau Asia Tenggara.

Majlis perasmian JBSE 2025 telah disempurnakan oleh Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

Turut hadir, Dato’ Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor; Mohd Hairi Mad Shah (HMS), Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor; serta Mohamad Radif Kosnin, Ketua Pegawai Eksekutif PUJB.

Penganjuran JBSE 2025 sekali lagi membuktikan kesungguhan Johor dalam memperkasa ekosistem keusahawanan dan pelaburan, seiring visi menjadikan negeri ini sebagai gerbang utama ekonomi serantau yang menghubungkan Malaysia dan Singapura melalui pelaksanaan JS-SEZ.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular