editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid kontemporari tanah air, UNIC, bakal menggegarkan pentas Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 20 Disember 2025 melalui konsert istimewa bertajuk “This Is UNIC: Live In Concert”.
Setelah lebih dua dekad mewarnai industri muzik dengan karya berunsur dakwah dan mesej positif, konsert ini menandakan satu bab penting dalam perjalanan seni kumpulan itu, selain menjadi konsert solo penuh pertama mereka selepas bersatu semula dengan barisan terkini yang terdiri daripada Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi.
Konsert ini dianjurkan oleh Triple Am Global dan bertujuan meraikan perjalanan panjang UNIC bersama peminat setia.
Bazli Hazwan berkata, matlamat konsert ini sangat peribadi bagi mereka.
“Selepas lebih dua dekad bersama peminat, inilah masa untuk meraikan perjalanan panjang UNIC dengan mereka yang setia sejak awal.
“Kami hendak kembalikan semangat nasyid ke pentas besar, membuktikan muzik dakwah masih relevan dan mampu menyatukan hati ramai orang,” katanya.

Konsert ini bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata, sebaliknya dirangka sebagai pengembaraan muzik dan jiwa.
Setiap segmen persembahan akan disusun mengikut fasa sejarah UNIC, membolehkan peminat menyusuri evolusi kumpulan ini dari awal kemunculan hingga ke era moden kini.
Dr. Fitri Haris pula berkata, konsert ini menonjolkan keseimbangan antara emosi, spiritual dan hiburan.
“Kami mahu peminat rasa setiap fasa evolusi UNIC daripada melodi lama yang membentuk identiti kami sehinggalah ke susunan moden yang lebih segar.
“Setiap nota adalah kenangan dan setiap lagu membawa mesej,” katanya.
Dengan iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman, gabungan susunan muzik moden dan tradisional bakal memberikan pengalaman yang bukan sekadar ditonton, tetapi dihayati sepenuhnya.

Sementara itu, Fakhrul Radhi berkata, persiapan vokal, mental dan fizikal telah dilakukan dengan teliti bagi memastikan setiap persembahan berada pada tahap terbaik.
Konsert ini turut menampilkan lagu-lagu ikonik UNIC seperti “Demi Cinta Suci”, “Hanya Tuhan Yang Tahu” dan “Ainul Mardhiah” dengan sentuhan susunan muzik baharu yang segar.
Selain itu, beberapa artis jemputan yang pernah berkongsi pengalaman seni bersama UNIC akan membuat penampilan istimewa, menambahkan kemeriahan malam konsert.
Bazli berkata, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi suasana kasih dan penghargaan antara artis dan peminat.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, Nursyaqif Aimer, menyifatkan penganjuran konsert ini sebagai tanda hormat terhadap perjalanan UNIC dalam menyebarkan dakwah melalui muzik.

Pihaknya menekankan “This Is UNIC” bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis dan peminat.
Selepas lebih 20 tahun berkarya, UNIC melihat konsert ini sebagai permulaan baharu untuk menghidupkan semula keindahan muzik nasyid di pentas arus perdana.
Mereka berharap konsert ini mampu memberi semangat baharu kepada peminat dan menegaskan bahawa muzik nasyid masih relevan dan mempunyai tempat di hati rakyat Malaysia.
Tiket konsert rasmi mula dijual sejak 17 Oktober 2025 melalui laman web www.ticket2u.com.my/ThisIsUNIC, dengan pelbagai kategori dan harga yang sesuai untuk semua lapisan penonton, bermula dari RM89 hingga RM249.

