editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Industri hiburan Malaysia bersedia menyaksikan sebuah pengalaman muzik yang unik apabila Healing Night 2026 dijadual berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Acara ini dijayakan oleh penyanyi tersohor tempatan iaitu Ella, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, serta dua bintang Indonesia, Kangen Band dan Lyodra, dalam sebuah konsert yang memanfaatkan muzik sebagai medium terapeutik untuk pemulihan diri dan semangat positif.
Healing Night 2026 adalah inisiatif julung kali penganjur Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Creative Page Sdn Bhd untuk produksi, serta Yumeca Sdn Bhd bagi strategi, pemasaran, tajaan dan penglibatan pengguna.
Konsep konsert ini memanfaatkan idea “healing” yang kini menjadi istilah popular, menekankan pemulihan mental dan emosi melalui muzik, menjadikan hiburan bukan sekadar tontonan tetapi juga pengalaman menyembuhkan diri.
Penghibur yang dipilih membawakan kepelbagaian genre muzik yang seiring dengan konsep pemulihan.

Anuar Zain, Ella, dan Dayang Nurfaizah mewakili Malaysia, manakala Kangen Band dan Lyodra melengkapkan kolaborasi serantau yang memupuk perpaduan budaya Nusantara.
Setiap persembahan dijangka membawa pengalaman baharu kepada penonton, selari dengan tujuan konsert yang bukan sekadar hiburan biasa, tetapi pesta keraian dengan nilai terapeutik.
Menurut Herman Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, Healing Night 2026 menekankan bahawa muzik tidak semestinya bersifat “keras dan bingit” atau negatif.
“Selepas pandemik, masyarakat global kini memilih fasa pemulihan melalui pelbagai cara.
“Salah satunya adalah melalui terapi muzik dan Healing Night 2026 memberikan peluang untuk penonton menikmati muzik sebagai medium pemulihan yang menyeronokkan,” katanya.

Acara ini turut menampilkan konsep yang diterjemahkan secara menyeluruh bukan sekadar persembahan di pentas, tetapi juga suasana konsert yang menyokong kesejahteraan, termasuk healing tents dan relaxation zones bagi memberi pengalaman santai kepada pengunjung.
Konsert ini bukan sahaja menghimpunkan bakat terkenal, malah menekankan lokasi ikonik, tenaga produksi profesional dan penglibatan pengunjung secara aktif.
Healing Night 2026 mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), yang menegaskan konsert ini inisiatif penting untuk memperkenalkan budaya dan seni Malaysia kepada pelancong.
Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot berkata, kerjasama serantau ini memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia, serta membuka peluang baharu kepada penggiat industri kreatif negara untuk berkembang di pentas antarabangsa.

Dalam pada itu, Ella menyifatkan konsep Healing Night 2026 sebagai idea segar dan signifikan dengan situasi semasa.
Menurut Ella, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi saluran terapi yang baik untuk melepaskan tekanan dan kepenatan.
“Saya tidak sabar untuk menghiburkan peminat bersama rakan penyanyi lain yang cukup berkaliber,” katanya.
Healing Night 2026 menawarkan tiket bermula dari RM190 dengan pelbagai kategori harga, boleh dibeli melalui laman web Ticket2u.

