editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tempatan bakal menyaksikan satu lagi fenomena baharu apabila Astro memperkenalkan sebuah program realiti berkonsep unik dan menyentuh emosi, Talk To My Manager.
Program ini bukan sekadar pertandingan hiburan biasa, malah menjadi pentas yang menggabungkan bakat generasi kedua dalam industri seni dengan bimbingan dan tunjang legasi keluarga mereka.
Bakal bersiaran mulai 24 Ogos 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) serta boleh distrim melalui Astro GO dan sooka, Talk To My Manager mengetengahkan pasangan istimewa yang terdiri daripada selebriti terkenal tanah air bersama anak-anak mereka.
Menariknya, peranan dalam program ini dibahagikan secara unik anak-anak beraksi sebagai artis utama di pentas, manakala ibu atau bapa mereka mengambil peranan sebagai pengurus atau ‘manager’ yang bertanggungjawab merancang dan mengemudi setiap persembahan mingguan.
Program ini hadir seiring dengan gelombang kemunculan bakat generasi kedua dalam pelbagai cabang seni daripada nyanyian dan lakonan, sehinggalah ke tarian dan komedi.

Astro mengambil inisiatif untuk meneroka dan meraikan fenomena ini dengan mengetengahkan naratif yang lebih mendalam bagaimana bakat, dedikasi dan hubungan kekeluargaan boleh menjadi ramuan utama dalam membentuk penghibur profesional.
Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata, konsep program ini adalah cerminan kepercayaan Astro terhadap kekuatan legasi dalam membentuk landskap industri hiburan.
“Astro sentiasa percaya kepada kuasa legasi. Kini kita menyaksikan gelombang baharu bakat generasi kedua yang mula menyerlah.
“Program ini memberikan peluang kepada penonton untuk mengikuti perjalanan itu dengan lebih dekat menyaksikan personaliti ternama berganding bahu bersama anak mereka dalam menghasilkan persembahan yang bukan hanya memukau, tetapi sarat dengan emosi, kreativiti dan perjuangan,” katanya.

Antara pasangan artis dan pengurus yang bakal menghiasi musim pertama termasuk nama-nama seperti Siti Saerah & Amad, Ameng & Ammar, Aziz M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie, serta Liza Hanim & Marsya.
Mereka bakal diuji dalam pelbagai cabaran kreatif setiap minggu, membabitkan latihan vokal, tarian, strategi persembahan dan pengurusan masa kesemuanya dijalankan dalam suasana pertandingan yang menguji kesabaran dan kerjasama antara ibu bapa dan anak.
Program ini akan dikendalikan oleh pengacara legenda, Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil), manakala kerusi juri pula bakal diisi oleh dua figura berpengaruh dalam industri iaitu Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal.
Dalam aspek penjurian, Talk To My Manager menggunakan sistem pemarkahan sepenuhnya oleh juri profesional, yang dibahagikan kepada dua komponen utama 60 peratus berdasarkan kecekapan dan strategi pengurusan oleh ‘manager’, manakala 40 peratus lagi memberi fokus kepada kualiti persembahan dan vokal ‘artis’.

Menariknya, pasangan dengan undian dalam talian tertinggi setiap minggu turut akan menerima ganjaran istimewa yang memberi kelebihan dalam minggu seterusnya, termasuk peluang kedua untuk membuat persembahan, penambahan markah, atau kebolehan memilih juri yang akan memberi komen terhadap persembahan mereka.
Elemen eksklusif turut diterapkan menerusi segmen interaksi media secara langsung, di mana peserta perlu menjawab soalan daripada media semasa program berlangsung.
Manakala bagi penonton digital, Astro memperkenalkan Talk To My Manager Live+, sebuah program iringan yang bersiaran serentak di www.gempak.com, dihoskan oleh Mika Nabil dan Fiza Frizzy.
Sebagai tambahan kepada konsert utama setiap Ahad, penonton juga boleh mengikuti dua program sokongan lain iaitu:

-Studio Talk To My Manager (setiap Sabtu, jam 10 malam mulai 23 Ogos 2025) memperlihatkan persiapan peserta termasuk latihan vokal dan tarian di bawah bimbingan ibu bapa mereka dan para mentor.
-BTS Talk To My Manager (setiap Rabu, jam 8.30 malam mulai 20 Ogos 2025) memaparkan klip-klip eksklusif di balik tabir serta sorotan perjalanan mingguan setiap pasangan.

Musim sulung Talk To My Manager akan berlangsung selama tujuh minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, dengan Astro Gempak sebagai Rakan Digital Rasmi dan SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi.
Dengan kombinasi emosi, bakat dan ikatan keluarga, Talk To My Manager bukan sahaja menjanjikan hiburan yang segar, tetapi juga menyuntik inspirasi kepada generasi akan datang tentang nilai kerja keras, pengorbanan dan sokongan keluarga dalam mengejar impian.


I very delighted to find this internet site on bing, just what I was searching for as well saved to fav
https://shorturl.fm/n5xWQ