editormaxinfo@gmail.com
HULU LANGAT – “Bermula dari kosong, saya bangkit jadi jutawan pada usia 26 tahun. Kemudian, saya jatuh dan bankrap.
“Hari ini, saya kembali berdiri dengan semangat membantu usahawan kecil Melayu untuk terus maju dalam dunia perniagaan.
Itulah antara luahan penuh inspirasi usahawan tempatan, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, yang lebih dikenali dalam kalangan masyarakat sebagai Ridzuan Ikhlas.
Menerusi program Taklimat Usahawan Merdeka dan Demo Masakan Sinar Food bersama Chef Nick yang berlangsung baru-baru ini, beliau berkongsi kisah hidupnya yang penuh liku daripada menjadi pekerja biasa, mencipta kejayaan dalam industri automotif, sehinggalah melalui kejatuhan mendadak ketika krisis ekonomi pada tahun 1997 hingga 1998.

Menurutnya, titik tolak kejayaannya bermula apabila beliau menyewa satu lot kecil untuk perniagaan jual beli kereta terpakai.
Usaha kerasnya membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh lesen pengedar kenderaan baharu serta mendapat sokongan kewangan sebanyak RM800,000 daripada pihak CCM ketika berusia 26 tahun.
“Pegawai bank sendiri terkejut bila datang interview saya. Mereka tanya, ‘Awak ni bos ke?’, saya jawab, ‘Ya, sayalah bosnya,’” katanya mengimbas semula pengalaman manis itu.
Namun, kejayaan itu tidak bertahan lama. Krisis ekonomi Asia pada hujung 1997 menyaksikan beliau kehilangan segalanya.

Perniagaan runtuh, fasiliti pinjaman bank perlu dibayar dan akhirnya beliau diisytiharkan bankrap.
Lebih memeritkan, tekanan kewangan turut menggugat keharmonian rumah tangga.
“Bila kita jatuh, rumah tangga pun goyang. Ini realiti yang saya alami sendiri. Sejak itu, saya tidak lagi berani berhutang dengan bank,” katanya.
Walaupun pernah tersungkur, semangat Ridzuan untuk terus berniaga tidak pernah padam.

Hari ini, beliau giat berkongsi pengalaman serta membantu usahawan-usahawan kecil, khususnya dalam kalangan umat Islam dan peniaga Melayu.
“Saya pernah keluarkan produk kesihatan pada tahun 2005. Sehingga kini, saya masih aktif dalam bidang berkenaan dengan menghasilkan suplemen, kopi dan lain-lain.
“Sekarang saya juga sedang bantu platform seperti Sinar Food untuk bantu peniaga Muslim bangkit dan berdikari,” katanya.
Ridzuan menekankan pentingnya usahawan untuk berani menggunakan media sosial sebagai platform pemasaran, terutama TikTok dan Facebook yang kini menjadi medan utama jualan.
“Saya tengok sendiri makcik India pun boleh jual minyak rambut sampai lebih seribu botol. Jadi kenapa kita tak boleh? Kita kena belajar bercakap, berani tampil depan kamera,” katanya sambil menyentuh kejayaan figura seperti Dato’ Aliff Syukri yang menjana jualan mencecah ratusan ribu unit.

Beliau turut menyeru golongan muda, terutamanya graduan universiti yang belum mendapat pekerjaan tetap, agar mempertimbangkan untuk memulakan langkah dalam dunia perniagaan melalui platform-platform seperti Sinar Food.
“Tak mengapa bermula sebagai stokis dahulu. Belajar selok-belok pemasaran. Bila sudah mahir, boleh berbincang guna jenama sendiri. Peluang sentiasa ada,” katanya.
Ridzuan juga turut menitipkan pesan buat semua usahawan yang hadir, jika ingin memulakan perniagaan jangan sesekali meminjam daripada bank.
“Jangan pinjam duit daripada bank, carilah jalan bagaimana untuk mendapatkan sumber kewangan sama ada daripada keluarga atau kawan rapat,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Ridzuan berkata, hasratnya untuk terus membantu komuniti usahawan kecil bukan sekadar dari segi motivasi, malah dengan bimbingan praktikal berdasarkan pengalaman hidup sebenar.
“Insya-Allah, saya akan terus bantu, beri nasihat, kongsi pengalaman. Kita kena bantu sesama kita, terutama dalam mengangkat produk dan jenama Muslim,” katanya.

