30 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 18, 2025

Malaysia bakal jadi hab kecantikan Asia Tenggara menerusi penganjuran barber, Salon dan Beauty Expo Mega 2025

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Industri rambut, salon dan kecantikan di Asia Tenggara bakal melakar sejarah tersendiri apabila tiga pameran utama iaitu Barber Expo Asia, Salon Expo Asia dan Beauty Expo Asia 2025 digabungkan dalam satu acara mega yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 September 2025 bertempat di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan, Selangor.

Mengambil tempat di ruang seluas 91,000 kaki persegi empat kali ganda lebih besar berbanding edisi tahun sebelumnya, acara ini dijangka menjadi platform sehenti terbesar yang menghimpunkan penggiat industri dari seluruh rantau Asia.

Dengan sasaran kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 pengunjung dari lebih 15 negara serta penyertaan lebih 200 jenama tempatan dan antarabangsa, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai pusat tumpuan utama industri grooming dan kecantikan di rantau ini.

Expo ini bukan sekadar pameran produk dan teknologi terkini dalam bidang rambut dan kecantikan, bahkan turut menampilkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang bakal mencuri tumpuan.

Antaranya termasuk pertandingan Barberlympix Asia 2025, demonstrasi secara langsung oleh ikon industri antarabangsa, bengkel interaktif “hands-on”, pertunjukan gaya rambut, sesi pendidikan khas serta persembahan pentas penuh gaya yang dijangka menarik minat khalayak pelbagai latar belakang.

Pengarah Urusan Retrobee Global Sdn Bhd merangkap penganjur acara, Firdaus Aziz berkata, salah satu tarikan utama penganjuran tahun ini adalah Forum Sphere, sebuah pentas perkongsian ilmu dan inspirasi yang akan menampilkan beberapa tokoh terkenal dalam dunia perniagaan dan keusahawanan tempatan.

Antara nama besar yang dijadualkan hadir ialah Christy Ng, Pengasas Christy Ng Shoes; Datuk Ameer, Pengarah Urusan Mydin Holdings; Ardy Damis, Pengasas Nimroc Barbershop; dan Asyraf Kamal, Pengasas Kopi Saigon.

“Mereka akan berkongsi pandangan berkaitan strategi perniagaan, kisah kejayaan serta peluang pembangunan kerjaya dalam industri yang semakin berkembang ini.

“Acara ini juga dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua segmen pelawat iaitu pemain industri (B2B) dan pengguna akhir (B2C).

“Bagi peserta B2B, penganjuran ini adalah platform strategik untuk membina rangkaian perniagaan, membuka peluang kerjasama baharu serta mengukuhkan kehadiran jenama di pasaran serantau,” katanya.

Sementara itu, pengunjung B2C pula berpeluang merasai pengalaman eksklusif mencuba produk baharu, meneroka trend terkini dan berinteraksi secara langsung dengan jenama pilihan mereka.

Dengan sokongan padu daripada penaja utama seperti myBarber dan Dyson, penganjuran Barber Expo Asia, Salon Expo Asia & Beauty Expo Asia 2025 dilihat sebagai pemacu utama kepada perkembangan industri rambut dan kecantikan di Asia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pendaftaran booth kini dibuka kepada usahawan, pengusaha dan jenama yang berminat untuk menyertai pameran ini. Tempat adalah terhad.

Untuk maklumat lanjut serta pengumuman berkaitan tiket dan penyertaan, orang ramai boleh melayari laman rasmi di www.barbersalonexpo.asia dan www.beautyexpoasia.com.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular