editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah apabila majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan yang berlangsung sepanjang tiga hari acara diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Majlis penutup yang berlangsung pada 7 September itu turut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan; Zameri Mat Nawang dan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN); Mohamad Muda Bahadin, yang menyampaikan hadiah kepada peserta yang berjaya menonjolkan kreativiti dan kemahiran mereka dalam pelbagai pertandingan berasaskan elemen budaya, kulinari dan seni warisan Melayu.
Antara pertandingan yang mencuri perhatian pengunjung ialah Pertandingan Belah, Kukur Nyiur dan Perah Santan, yang menyaksikan kumpulan Silaturahim muncul sebagai juara, diikuti kumpulan Anak Kampung sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Anggerik.
Ketiga-tiga kumpulan membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan serta hamper sumbangan Adabi. Tiga lagi kumpulan iaitu Onde-Onde, Karabu Sarang dan Bunga masing-masing menerima saguhati sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.

Acara turut dimeriahkan dengan Pertandingan Masakan Warisan Pantai Timur yang membabitkan penyertaan daripada beberapa buah hotel ternama di Kelantan.
Dalam pertandingan ini, Crown Garden Hotel berjaya menewaskan pesaing lain untuk dinobatkan sebagai juara, manakala Grand Riverview Hotel dan Perdana Kota Bharu masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Beberapa hotel lain turut menerima hadiah saguhati, termasuk Ibis Styles, Renai Hotel, H Elite, Jewel Kota Bharu, Tok Aman Bali dan Holiday Villa semuanya membawa pulang sijil penyertaan dan wang tunai sebagai tanda penghargaan.
Sementara itu, semangat kesenian dan estetika turut terserlah dalam Pertandingan Fotografi Makanan Warisan, yang berlangsung sepanjang tiga hari festival dari 5 hingga 7 September.
Karya-karya peserta telah dinilai berdasarkan keaslian, komposisi serta keupayaan menangkap nilai budaya dalam makanan warisan.
Azmi Han, melalui hantaran di Facebook, telah dinobatkan sebagai juara, diikuti Juana Jamaludin dan Suhaillawati Mohamed masing-masing sebagai naib johan dan tempat ketiga.
Tiga peserta lain menerima hadiah saguhati atas penyertaan kreatif mereka.
Dua pertandingan gubahan iaitu Pulut Kuning dan Sirih Junjung turut mendapat sambutan hangat, terutama dalam kalangan peserta wanita.
Dalam pertandingan Gubahan Pulut Kuning, kumpulan yang diwakili oleh Norshida Che Hussin meraih tempat pertama, diikuti Sharoza Mohd Shabudin dan Noor Suriani Mohamad di tempat kedua dan ketiga.

Bagi pertandingan Gubahan Sirih Junjung, gubahan kreatif oleh Nik Suratol Che Mud berjaya menarik perhatian juri untuk muncul sebagai juara, diikuti Zienirah Yunus sebagai naib johan dan Nor Suzielah Mohd Nor di tempat ketiga.
Setiap pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil penyertaan dan hamper sumbangan daripada Adabi, salah satu penaja utama yang menyokong acara-acara sepanjang festival ini.
Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 bukan sahaja menjadi medan pertemuan budaya dan komuniti, malah turut memainkan peranan penting dalam mengetengahkan warisan kulinari dan seni tradisional kepada generasi muda.
Melalui pelbagai pertandingan yang dianjurkan, festival ini telah berjaya menyerlahkan kekayaan budaya masyarakat Pantai Timur serta mewujudkan semangat kebersamaan dalam meraikan keunikan tradisi tempatan.
Dengan sambutan yang memberangsangkan, festival ini membuktikan bahawa warisan budaya negara terus mendapat tempat di hati rakyat, sekali gus memperkukuh usaha berterusan Jabatan Warisan Negara dalam memelihara dan mempromosikan identiti bangsa.


https://shorturl.fm/KcLFG