34 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

KWC Fashion Wholesale perkukuh peranan sebagai hab fesyen sempena Keretapi Sarong 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – KWC Fashion Wholesale, pusat borong fesyen Muslimah terbesar di Malaysia, mengorak langkah penuh bergaya apabila secara rasmi menyertai sambutan Keretapi Sarong 2025, sebuah acara budaya tahunan yang mengangkat warisan tempatan, tradisi dan semangat perpaduan rakyat Malaysia menerusi gaya dan busana.

Tahun ini, Stesen LRT Hang Tuah, yang terletak bersebelahan dengan kompleks membeli-belah KWC, diangkat sebagai salah satu stesen utama bagi acara terbabit sekaligus meletakkan KWC sebagai lokasi strategik dan penting dalam meraikan sambutan penuh warna-warni itu.

Langkah ini turut memperkukuhkan imej KWC sebagai destinasi pilihan utama untuk fesyen Muslimah borong yang lengkap, moden dan versatil.

Menempatkan lebih 800 kedai di bawah satu bumbung, KWC menawarkan pelbagai pilihan fesyen daripada batik kontemporari, kebaya, busana tradisional Melayu hinggalah pakaian moden, aksesori dan hijab menjadikan ia pusat sehenti untuk gaya perayaan dan harian yang mampu milik serta bergaya.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC Fashion Wholesale Wendy Lam berkata, penyertaan ini mencerminkan sokongan penuh KWC terhadap usaha meraikan budaya dan gaya tempatan.

“KWC amat berbesar hati untuk menyertai Keretapi Sarong tahun ini. Sebagai destinasi fesyen borong utama, kami menyokong acara yang meraikan kebanggaan budaya dan ekspresi gaya.

“Dengan Stesen LRT Hang Tuah sebagai hentian rasmi, kami tidak sabar untuk menyambut peserta dan mengalu-alukan mereka untuk meneroka kepelbagaian fesyen yang ditawarkan di KWC pada harga terbaik,” katanya.

Katanya, KWC turut menyediakan pelbagai ganjaran menarik sempena acara ini. Seramai 100 peserta terawal turut menerima beg cenderamata eksklusif serta hadiah percuma.

Bagi menyemarakkan lagi semangat komuniti dan kreativiti, KWC juga turut menganjurkan Anugerah Pakaian Terbaik dan Pertandingan Fotografi, yang dijangka menarik penyertaan ramai pencinta fesyen dan penggiat media sosial.

Acara turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen eksklusif, program penebusan hadiah serta aktiviti interaktif secara langsung yang menampilkan bagaimana busana tradisional boleh digayakan dengan sentuhan moden dan kontemporari.

Inisiatif ini bertujuan untuk menjadikan pakaian warisan lebih relevan kepada generasi muda, tanpa mengabaikan akar budaya yang menjadi asas identiti bangsa.

Sempena cuti sekolah, KWC tidak melupakan pengunjung cilik. Bermula dari 12 hingga 21 September 2025, KWC menganjurkan Holiday Funland Adventure, yang menampilkan aktiviti seperti Bouncy Castle, Claw Machine dan Mesin Arked.

Tiket masuk ke Bouncy Castle ditawarkan pada harga RM15, manakala Claw Machine dan Mesin Arked boleh dinikmati serendah RM2.

Menariknya, setiap pembelian bernilai RM50 dan ke atas di KWC melayakkan pengunjung untuk menebus satu tiket percuma ke Bouncy Castle untuk tempoh satu jam menjadikan KWC sebagai destinasi ideal untuk seisi keluarga.

Penyertaan KWC dalam Keretapi Sarong 2025 bukan sahaja memperkukuh kedudukan pusat beli-belah ini dalam industri fesyen tempatan, malah mencerminkan komitmen KWC untuk terus memartabatkan warisan budaya dan gaya hidup moden secara harmoni.

Dengan gabungan nilai tradisi dan pendekatan fesyen kontemporari, KWC bukan sahaja menjual pakaian, tetapi meraikan identiti dan keunikan Malaysia dalam setiap helaian.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular