25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 21, 2026

Tarik ribuan pengunjung, Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 bukan sekadar festival

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 yang berlangsung di Kelantan baru-baru ini berjaya mencapai matlamat penganjuran apabila mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat, sekali gus memperlihatkan minat tinggi terhadap khazanah makanan dan seni budaya warisan negeri.

Program anjuran Jabatan Warisan Negara itu bertujuan mempromosikan makanan tradisional Pantai Timur, khususnya dari Kelantan, serta memperkenalkan semula warisan seni persembahan yang semakin dilupakan.

Lebih 150 menu makanan warisan dari 10 jajahan di seluruh Kelantan dipersembahkan, menjadikan festival ini sebagai medan penting untuk mendekatkan masyarakat dengan resipi nenek moyang yang hampir pupus ditelan zaman.

Antara menu unik yang diketengahkan termasuklah nasi seratus, itik solo dan ros lidah makanan tradisi yang sukar didapati di tempat lain dan tidak lagi disajikan secara meluas dalam kalangan masyarakat kini.

Menariknya, pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan demonstrasi penyediaan makanan-makanan ini, malah turut berpeluang merasai sampel secara percuma.

Lebih istimewa, festival turut menampilkan pelbagai seni persembahan tradisional Kelantan yang jarang dipertontonkan, termasuk Mak Yong dan Menora, yang kini diambang kepupusan.

Keunikan persembahan berkenaan menjadi daya tarikan utama, khususnya kepada generasi muda yang mungkin tidak pernah menyaksikannya secara langsung sebelum ini.

Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, Dr Eyo Leng Yan berkata, festival ini bukan hanya tentang mempromosikan kulinari warisan, tetapi juga sebagai usaha serius untuk memulihara dan mendokumentasikan warisan tidak ketara negara.

Selain makanan dan seni persembahan, elemen warisan lain yang turut diiktiraf termasuk bahasa dan persuratan, adat dan budaya, serta seni halus dan kraftangan.

“Peranan kami bukan sahaja menganjurkan program seperti ini, tetapi juga mendokumentasi, menghasilkan video, buku dan memberi pendidikan berkaitan warisan tidak ketara.

“Kami juga memainkan peranan dalam proses mewartakan elemen warisan ini sebagai Warisan Kebangsaan, bahkan mencalonkan ke peringkat UNESCO,” katanya.

Sehingga kini, Malaysia telah mendapat pengiktirafan UNESCO bagi sembilan elemen warisan tidak ketara, termasuk Mak Yong, Dondang Sayang, Silat, Perayaan Wangkang, Pantun, Songket, Budaya Serapan, Mek Mulung dan Kebaya.

Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur  2025 di Kelantan adalah lokasi ketiga selepas Kedah dan Tuaran, Sabah.

Program seterusnya akan diteruskan di Kuala Lumpur pada 12 hingga 16 September ini, bertempat di Taman Tasik Titiwangsa.

Edisi KL bakal mengetengahkan makanan warisan dari 14 negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, dengan 10 menu dipilih dari setiap negeri.

Festival ini kemudiannya akan melabuhkan tirai di Pulau Pinang dengan tema khas yang menampilkan kulinari hasil kreativiti pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Dikenali sebagai Festival Cita Rasa Warisan @ IPT, program ini memberi tumpuan kepada bakat dan kearifan belia dalam menghasilkan makanan tradisional, selari dengan usaha memastikan kesinambungan warisan budaya dalam kalangan generasi muda.

“Penyertaan belia dalam bidang kulinari warisan adalah langkah penting dalam memartabatkan semula makanan tradisional tempatan yang kian dilupakan.

“Dalam era dominasi makanan moden dan ‘fusion’, penglibatan generasi baharu diharap dapat menghidupkan semula minat terhadap sajian autentik yang menjadi identiti negara,” katanya.

Dr Eyo berkata, Jabatan Warisan Negara menzahirkan harapan agar festival seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan sokongan padu daripada komuniti setempat.

Ini kerana, pelestarian warisan tidak boleh digerakkan secara bersendirian oleh pihak kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama erat daripada rakyat sebagai pemegang amanah budaya bangsa.

“Komuniti adalah pemegang utama warisan. Tanpa sokongan dan penglibatan mereka, usaha kita untuk melindungi dan memartabatkan warisan tidak ketara tidak akan berjaya,”katanya.

Dengan pendekatan inklusif serta penglibatan pelbagai pihak, Festival Cita Rasa Warisan terbukti bukan sahaja menjadi pentas mempamerkan makanan tradisi, malah medan menyemai semula kecintaan rakyat terhadap budaya dan identiti bangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular