30.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026

JPJ lawat GGR Motor, sokong usaha bangunkan motosikal elektrik buatan Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha GGR Motor untuk muncul sebagai pengeluar pertama motosikal elektrik (EV) buatan Malaysia terus menerima pengiktirafan apabila syarikat itu menerima lawatan rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Lawatan bersejarah ini memperlihatkan sokongan penuh pihak berkuasa terhadap inisiatif tempatan dalam memperkasa industri kenderaan elektrik negara.

Seramai 25 anggota JPJ Wilayah Persekutuan yang diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang, telah mengadakan lawatan kerja ke kilang pemasangan GGR Legacy (M) Sdn Bhd yang terletak di Kampung Sungai Penchala.

Lawatan itu bertujuan memberi pendedahan lebih dekat kepada pegawai JPJ mengenai proses pemasangan motosikal EV serta memahami lebih lanjut operasi dan keupayaan pengeluaran GGR Motor sebagai pelopor dalam industri ini.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, menyifatkan kunjungan ini sebagai titik permulaan penting dalam merintis kerjasama erat antara industri dan agensi penguatkuasaan.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dan terima kasih atas kesudian pihak JPJ meluangkan masa untuk meninjau sendiri operasi kilang serta memberi sokongan terhadap pengeluaran motosikal elektrik tempatan.

“Ini adalah lawatan rasmi pertama daripada pihak berkuasa ke fasiliti kami, dan kami amat menghargainya.

“Ia memberi isyarat jelas bahawa usaha kami untuk membangunkan motosikal EV di Malaysia bukan sahaja diterima, tetapi turut disokong dari sudut peraturan dan pematuhan undang-undang,” katanya.

Lawatan kerja itu turut disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail.

Sepanjang sesi lawatan, anggota JPJ diberikan taklimat operasi dan dibawa meninjau keseluruhan proses pemasangan motosikal EV termasuk ruang pengeluaran, bengkel servis, bangunan jualan aksesori serta bahagian operasi yang menyokong ekosistem penuh kenderaan elektrik keluaran GGR.

Dalam perkembangan berkaitan, Mussaddiq turut mengumumkan motosikal elektrik sulung keluaran syarikat itu, Lion G1, kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.

Ini membuka laluan kepada lebih 6,000 unit motosikal yang telah ditempah untuk mula didaftarkan dan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat.

Model Lion G1 yang direka dan dibangunkan sepenuhnya melalui penyelidikan tempatan menampilkan gabungan teknologi moden dengan harga mampu milik.

Dicipta khusus untuk pasaran Malaysia, model ini turut menekankan ciri-ciri mesra alam dan sesuai dengan keperluan pengguna bandar serta luar bandar.

Kilang GGR Legacy di Sungai Penchala telah diwujudkan sebagai langkah awal ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN.

Usaha ini turut sejajar dengan dasar kerajaan yang memberi galakan kepada pembangunan industri EV melalui pelbagai insentif dan sokongan strategik.

Sebelum ini, pada majlis pelancaran rasmi Lion G1 pada Julai lalu, GGR Motor mengumumkan sasaran pengeluaran sehingga 30,000 unit menjelang penghujung tahun 2025.

Sasaran ini dilihat realistik memandangkan sambutan luar biasa yang diterima di peringkat awal, apabila lebih 2,500 unit telah ditempah dalam masa seminggu selepas pelancaran.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Mussaddiq berkata, GGR Motor merancang untuk membuka sebuah lagi kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung.

Kilang yang akan dibina di atas tapak seluas lebih satu ekar itu, dijangka menjadi fasiliti pengeluaran utama bagi model Lion G1 dan beberapa model baharu yang bakal diperkenalkan.

“Pembukaan kilang ini akan mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu, terutama dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik, sejajar dengan matlamat kami untuk memperkasa bakat tempatan,” katanya.

Tambahnya, inisiatif ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan rakan industri seperti PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM).

Kerjasama ini meliputi latihan teknikal, penyelenggaraan serta sokongan dalam rantaian bekalan, yang akan memperkukuh lagi daya saing GGR Motor sebagai jenama nasional dalam arena EV.

Dengan sokongan penuh agensi seperti JPJ dan sambutan positif dari pengguna, GGR Motor kini berada di landasan kukuh untuk membina legasi sebagai peneraju motosikal elektrik buatan Malaysia, sekaligus menjadikan mobiliti hijau satu realiti untuk semua.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular