27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 31, 2026

4U2C tuntut permohonan maaf, dakwa kredibiliti tercalar akibat isu hak cipta

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik terkenal era 90-an, 4U2C, tampil menuntut permohonan maaf terbuka daripada beberapa individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas berhubung isu hak cipta lagu yang akan dipersembahkan dalam konsert sulung mereka, WE 4U2C Live In Concert.

Menurut kumpulan itu, kenyataan-kenyataan berkenaan, bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah telah menjejaskan kredibiliti mereka serta memberi kesan terhadap persiapan dan jualan tiket konsert yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Dalam satu sidang media khas yang diadakan dan turut disiarkan secara langsung di Instagram rasmi 4U2C, peguam Tan Kong Hai yang mewakili penganjur konsert, Juss Events, berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk dakwaan yang bersifat fitnah atau tidak berlandaskan fakta sah.

“Sebagai penganjur yang bertanggungjawab, kami telah memastikan segala proses undang-undang dipatuhi termasuk mendapatkan permit dan lesen yang sah daripada badan-badan berkaitan untuk menganjurkan konsert ini.

“Oleh itu, kenyataan yang disebarkan oleh beberapa individu di media sosial adalah tidak benar dan boleh mencemarkan imej artis dan penganjur,” katanya.

Tambahnya, satu tuntutan rasmi telah dihantar kepada pihak yang terbabit agar membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi.

Terdahulu, kontroversi tercetus apabila komposer Man Senoi dan isterinya yang juga penyanyi rap, Mama Rap, mempertikaikan hak cipta beberapa lagu yang dijadualkan untuk dipersembahkan oleh 4U2C.

Pasangan terbabit turut menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan sekiranya lagu-lagu ciptaan mereka dinyanyikan tanpa kebenaran rasmi dalam konsert itu.

Isu ini kemudiannya menarik perhatian beberapa tokoh industri muzik tempatan, termasuk komposer Ajai dan Timbalan Presiden Music Malaysia yang juga Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid, yang tampil memberikan pandangan masing-masing.

Anggota 4U2C yang juga selebriti, Datuk AC Mizal, meluahkan rasa kecewa yang mendalam terhadap kenyataan yang menurutnya bersifat menjatuhkan dan membingungkan khalayak.

Emosinya jelas terganggu apabila beliau tidak dapat menahan sebak ketika menyatakan pendiriannya mengenai situasi yang disifatkan sebagai tidak adil terhadap mereka.

“Kami hanya ingin mencari rezeki melalui penganjuran konsert ini. Kenyataan yang dibuat oleh pihak tertentu memberi gambaran seolah-olah kami melanggar undang-undang.

“Sedangkan hakikatnya, kami telah mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan. Kami mahu menghiburkan peminat, bukan mencetuskan kontroversi,” kata AC dengan nada kesal.

AC turut berterima kasih kepada beberapa tokoh muzik tanah air seperti Datuk Zainal Abidin, Datuk Amy Search dan Datuk Norman Abdul Halim yang tampil memberikan sokongan moral serta pandangan profesional terhadap isu yang timbul.

Menurut AC lagi, berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan garis panduan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), artis tidak diwajibkan untuk mendapatkan kebenaran pencipta lagu untuk persembahan secara langsung sekiranya permit yang sah telah diperoleh daripada MACP.

“Kami berada di landasan yang betul dari segi undang-undang. Tetapi mengapa masih ada yang bersikap agresif terhadap kami?. 

“Kami tidak berniat bersaing dengan sesiapa. Kami hanya ingin kembali ke pentas untuk menghiburkan mereka yang membesar dengan lagu-lagu kami,” katanya lagi.

Kekecohan yang timbul turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan peminat, dengan ada yang menyuarakan kebimbangan dan meluahkan doa agar konsert yang dirancang dibatalkan.

Namun, pihak penganjur dan 4U2C tetap optimis dan bertegas bahawa konsert WE 4U2C Live In Concert akan diteruskan seperti dirancang, dengan menekankan komitmen mereka terhadap profesionalisme serta pematuhan kepada undang-undang yang sedia ada.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular