editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi bakal menjadi tumpuan pemain industri serantau apabila Malaysia International Machinery Fair (MIMF) kembali dengan edisi ke-36 pada 10 hingga 12 Julai 2025 bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Penganjuran tahunan berprestij itu dianjurkan oleh ES International Event Management Sdn Bhd, salah satu pengendali pameran paling berpengalaman di negara ini sejak 1989.
Sebagai platform industri yang terus relevan merentasi lebih tiga dekad, MIMF bukan sekadar pameran perdagangan biasa, malah telah berkembang menjadi medan penting bagi menyokong kemajuan teknologi, pertukaran ilmu serta jalinan kerjasama antara syarikat tempatan dan antarabangsa terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengurus Besar Es International Event Management Sdn Bhd, Datin Fan Shu Hua berkata, edisi kali ini akan mengangkat tema selari dengan kemunculan era Industry 5.0, iaitu gabungan teknologi pintar seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan kolaborasi manusia dalam mempertingkatkan kecekapan dan kemampanan industri.
“MIMF 2025 dijangka menghimpunkan lebih 450 syarikat dari dalam dan luar negara, dengan lebih 700 gerai pameran yang mewakili pelbagai sektor utama seperti plastik dan acuan, pemprosesan makanan, peralatan pembungkusan, mesin bakeri, teknologi pintar, LED dan sistem papan tanda digital.
“Antara negara yang bakal mengambil bahagian termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Jerman, Itali, India, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Singapura,” katanya pada majlis pengenalan MIMF 2025.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia; Dato Chong Chong Tik, Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia; Lady Puan Sri Dr Susan Cheah, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM); Dato Seri Abu Hassan Mohd Nor, Pengerusi ZAJAS SDN BHD; Datuk Zainal Abidin Bin Jaffar, Naib Presiden Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia; Alan Ong, (Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia – DPUM) Datin Seri Norliah Che Mohammad, Naib Presiden Bahagian Halal, Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia; Datuk Mohd Zulhelmi Sardi Md Hallme, Timbalan Presiden Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia; Raymond Liew dan Presiden Persatuan Peniaga Bakeri, Biskut, Konfeksi, Mee dan Kuey Teow Malaysia; Chaang Tuck Cheong.
Acara tahun ini akan memberi tumpuan kepada tiga zon pameran utama iaitu;
Zon Plastik dan Acuan (Mould & PLAS)
Zon ini menampilkan pelbagai inovasi dalam mesin suntikan plastik, mesin tiupan acuan, teknologi automasi dan bahan mentah industri.
Kolaborasi jangka panjang dengan CMEC International Exhibition Co., Ltd. sekali lagi bakal membawa delegasi besar dari China, memperkukuh lagi hubungan industri antara China dan ASEAN, serta menyokong pembangunan sektor plastik dan acuan Malaysia ke arah lebih mampan dan berdaya saing secara global.
Zon Pemprosesan Makanan, Pembungkusan & Peralatan Bakeri
Melihat kepada potensi pertumbuhan kukuh sektor makanan negara, MIMF 2025 akan menyaksikan kerjasama strategik bersama Persekutuan Pembungkusan China (China Packaging Federation).
Pelbagai teknologi terkini seperti sistem pelabelan pintar, mesin pengisian dan penutup, sistem penaik automatik, dan bahan pembungkusan inovatif bakal dipamerkan memberi peluang kepada syarikat makanan tempatan meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pematuhan piawaian antarabangsa.
Zon Teknologi Pintar & Paparan LED
Mengikuti arus Industri 5.0, zon ini memberi tumpuan kepada sistem automasi industri, platform kawalan AI, robotik, teknologi dron, sistem penjagaan kesihatan pintar, pemeriksaan visual industri dan pencahayaan LED.
Menariknya, penganjur menjanjikan pameran ekosistem pengeluaran menyeluruh daripada pengurusan bahan mentah hingga pembungkusan akhir yang mencerminkan integrasi teknologi pintar sebenar.
Dengan matlamat untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi digital dan kemajuan industri tempatan, MIMF 2025 juga berperanan sebagai jambatan penting dalam memperkukuh kerjasama dagang dan pertukaran teknologi antara Malaysia dan China, serta negara-negara ASEAN yang lain.
“Melalui usaha bersama ini, kami percaya Malaysia mampu muncul sebagai pengeksport produk industri berjenama yang lebih berpengaruh di Asia,” kata Fan lagi.

Orang ramai khususnya usahawan, pemain industri, wakil persatuan dan rakan kongsi perniagaan dijemput hadir ke 36th Malaysia International Machinery Fair 2025 di MITEC dari 10 hingga 12 Julai nanti, bagi sama-sama menjelajah potensi teknologi masa depan dan membina jaringan kerjasama yang strategik.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari www.mymachine.com.my.

