27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 31, 2026

EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, tawar pengalaman konsert bertaraf premium buat peminat

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kumpulan legenda muzik tanah air, EXISTS, bakal mengadakan sebuah konsert eksklusif bertajuk EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ yang dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober 2025 di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor.

Konsert ini dijangka memberi satu pengalaman muzik yang jauh berbeza dan lebih mewah berbanding persembahan mereka sebelum ini.

Diarahkan kepada peminat setia dan penikmat muzik berkualiti, EXISTS yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad, telah lama dikenali sebagai kumpulan yang membawa karya bermutu tinggi sejak penubuhannya pada tahun 1991.

Keberhasilan mereka kekal relevan sehingga kini membuktikan bahawa EXISTS bukan sekadar kumpulan era 90-an, tetapi juga ikon muzik yang mampu menambat hati generasi masa kini.

Wakil dari JioBuddy yang juga penganjur konsert Sean Ng berkata, EXISTS kini berada pada tahap yang cukup tinggi dari segi populariti dan permintaan peminat.

Walaupun EXISTS aktif mengadakan pelbagai konsert sepanjang dua tahun kebelakangan ini, konsert EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ dijangka membawa satu dimensi baharu yang lebih intim dan eksklusif.

Menurutnya, walaupun EXISTS sering membawakan lagu-lagu hit mereka dalam banyak persembahan, penganjur mahu memastikan persembahan kali ini mempunyai identiti tersendiri yang mencerminkan kelas dan kemewahan.

“Audio berkualiti tinggi, persembahan muzik yang mantap dan suasana intim akan menjadi elemen utama yang membezakan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ daripada konsert-konsert sebelumnya,” katanya.

EXISTS pula melihat konsert ini sebagai sebuah kembara muzik yang unik dan mewah.

Salah seorang anggota kumpulan, Along berkata, muzik yang akan dibawakan bukan sahaja akan menyentuh jiwa peminat, malah bakal meninggalkan pengalaman yang sukar dilupakan.

“Konsert ini akan membawa rasa premium yang sebenar, di mana hanya mereka yang hadir akan dapat merasai sendiri makna kemewahan yang kami sajikan pada malam itu,” katanya.

Selain persembahan yang berkualiti tinggi, peminat turut berpeluang memiliki barangan eksklusif keluaran EXISTS dan menikmati peluang bergambar secara peribadi bersama anggota kumpulan bagi seratus peminat bertuah.

Ini menjadikan konsert berkenaan bukan sekadar tontonan, tetapi satu pengalaman peribadi yang amat bernilai.

Tiket untuk EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ ditawarkan dalam beberapa kategori, iaitu Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368).

Pemegang tiket boleh mendapatkannya melalui laman web rasmi www.jiolix.asia atau menghubungi talian hotline +6011 1660 1122, khas untuk peminat dari kalangan orang kelainan upaya (OKU).

ARTIKEL BERKAITAN

Popular