26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Zoey Rahman labur RM100,000 demi studio eksklusif untuk jenama Luna Clara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pelakon, pengacara dan usahawan terkenal, Zoey Rahman, membuktikan komitmennya dalam dunia perniagaan apabila sanggup melaburkan hampir RM100,000 bagi mewujudkan sebuah studio siaran langsung khas untuk jenama terbaharunya, Luna Clara.

Dalam usaha memasarkan produknya dengan cara tersendiri, Zoey memilih pendekatan berbeza iaitu menghindari kaedah pemasaran murahan atau sensasi viral demi membina kredibiliti jenama yang lebih berkualiti dan beretika.

Studio yang dibina khas ini menampilkan konsep unik berinspirasikan mini mart dan kafe retro, dengan elemen dekorasi pastel yang mencuri perhatian.

Idea segar ini lahir daripada keinginan Zoey untuk berinteraksi secara santai bersama pelanggan dan pengikut setia Luna Clara, dalam suasana yang menyeronokkan dan autentik.

“Jom main masak-masak sambil ‘packing parcel’ itu idea spontan saya ketika memikirkan bentuk interaksi dan pemasaran berbeza untuk baby baru saya, Luna Clara.

“Alhamdulillah, konsep ini berjaya menarik perhatian ramai dan maklum balas yang diterima sangat positif,” kata Zoey.

Sebagai figura seni yang telah menceburi bidang hiburan sejak lebih satu dekad lalu, Zoey tidak hanya bergantung kepada kerjaya lakonan dan pengacaraan.

Zoey mula membabitkan diri dalam dunia perniagaan hampir sepuluh tahun lalu dengan pelancaran jenama kecantikan Mikaseries dan sejak itu tidak pernah menoleh ke belakang.

Namun begitu, Zoey mengakui perjalanan sebagai usahawan bukanlah sesuatu yang mudah.

Lebih-lebih lagi dalam era digital yang serba pantas, dia perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan dunia perniagaan atas talian.

“Saya membuat persediaan sejak awal ketika masih aktif dalam dunia hiburan kerana saya memikirkan masa depan saya.

“Tapi realitinya, bidang perniagaan ini penuh cabaran. Setiap hari ada sahaja perubahan dalam sistem dan strategi pemasaran online. Kalau kita leka sedikit, memang mudah ketinggalan,” katanya.

Salah satu aspek paling membanggakan bagi Zoey ialah sambutan hangat daripada penonton siaran langsungnya yang rata-rata terpesona dengan latar belakang studio yang disangka menggunakan kesan khas atau teknologi digital.

“Ramai yang ingat saya guna green screen atau teknologi AI, sedangkan semua props yang ada dalam studio ini adalah sebenar.

“Mereka terkejut bila tahu semua ini dibina secara fizikal. Malah, segmen ‘main masak-masak’ kini menjadi permintaan utama setiap kali saya bersiaran langsung,” kata Zoey sambil tersenyum.

Kini, selepas kejayaan Mikaseries, Zoey tampil memperkenalkan jenama terbaharu di bawah syarikat miliknya iaitu Luna Clara, yang memfokuskan kepada produk penjagaan badan.

Menariknya, kali ini Zoey memilih untuk tidak menonjolkan diri sebagai wajah utama jenama itu, sebaliknya memberi ruang kepada individu istimewa yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Untuk Luna Clara, saya tak mahu ke depan. Saya mahu Ratu hati saya sendiri menjadi daya penarik utama.

“Insya-Allah, saya akan umumkan siapakah dia tidak lama lagi,” katanya penuh teka-teki.

Dengan pendekatan berbeza yang menggabungkan elemen kreativiti, integriti dan pengalaman, langkah Zoey Rahman ini dilihat sebagai satu penanda aras baharu dalam dunia keusahawanan selebriti tempatan.

Dalam dunia pemasaran yang semakin dipenuhi gimik dan sensasi, Zoey membuktikan bahawa strategi yang tulen, autentik dan berfokus tetap mampu menarik perhatian dan membina kepercayaan pelanggan dengan cara yang berkesan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular