editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara bakal berdepan cabaran sengit dalam misi menawan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 apabila Malaysia diundi sebaris dengan kuasa besar dunia, Thailand, dalam acara double.
Undian rasmi yang berlangsung secara langsung dari Kuala Lumpur itu menyaksikan Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Nepal sekali gus menjadikan laluan ke pentas final sebagai satu ujian getir buat pasukan negara.
Sementara itu, Kumpulan A bagi acara double dibarisi oleh Indonesia, India dan Brunei, yang turut dilihat bakal memberi saingan tersendiri kepada pasukan lawan dalam perebutan tempat ke pusingan seterusnya.
Dalam acara kuadran, Malaysia berpeluang mencipta laluan lebih selesa apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, China dan Filipina.

Kumpulan A pula menyaksikan pertembungan antara Vietnam, Singapura, Korea dan Pakistan satu kombinasi yang turut dijangka mencipta kejutan dalam kejohanan edisi kali ini.
Untuk acara regu berpasukan, Malaysia akan membuka kempen mereka dalam Kumpulan D menentang Filipina, Nepal dan Singapura.
Manakala dalam acara regu lelaki, skuad negara turut berdepan tentangan sengit dalam Kumpulan B yang menampilkan Korea, Brunei dan Jepun.
Kumpulan A pula menyenaraikan Thailand, China, India dan Singapura satu lagi kelompok yang dijangka mendebarkan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, undian awal ini adalah pendekatan baharu yang diperkenalkan bagi membolehkan setiap pasukan membuat persiapan yang lebih teratur dan menyeluruh menjelang kejohanan.
“Empat acara utama akan dipertandingkan regu (mandatori), kuadran, double dan regu berpasukan.
“Bagi memastikan ketelusan dan kesaksamaan, kami menyediakan platform siaran langsung untuk proses undian.
“Langkah ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada semua negara peserta, malah membolehkan pasukan menyusun strategi dan latihan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia menetapkan sasaran tinggi untuk mara ke semua empat pentas final dengan tumpuan khas diberikan kepada acara double dan regu dua acara yang pernah menjadi milik negara dalam kejohanan Piala Dunia yang lalu, juga berlangsung di lokasi yang sama.
“Sasaran kita jelas iaitu layak ke empat-empat final. Untuk acara double dan regu, kami sasar untuk meraih emas.
“Kejohanan ini berlangsung di tanah air sendiri, di depan penyokong kita. Ini adalah masa terbaik untuk membuktikan kemampuan sebenar pasukan,” katanya.

Sumali berkata, tahap persiapan pemain kini berada pada tahap 80 hingga 90 peratus hasil daripada penambahbaikan selepas Kejohanan Dunia di India baru-baru ini serta beberapa sesi post-mortem yang telah dijalankan.
“Fokus setiap pemain kini lebih tersusun. Penetapan pemain untuk setiap acara telah dibuat lebih awal bagi memastikan mereka dapat memberikan sepenuh tumpuan dalam baki masa sebulan ini sebelum kejohanan bermula,” katanya lagi.
Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur bermula dari 10 hingga 18 Mei ini.
Acara ini dijangka menjadi tumpuan utama peminat sukan tanah air yang ingin menyaksikan kebangkitan skuad sepak takraw Malaysia di gelanggang sendiri.


Good https://is.gd/tpjNyL
Good https://is.gd/tpjNyL
Good https://shorturl.at/2breu
Very good https://shorturl.at/2breu
Good https://lc.cx/xjXBQT