editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-8 Ducati Official Club Malaysia (DOCM) 2025 mencatatkan sejarah besar apabila lebih 400 pemilik jentera Ducati yang mengagumkan meramaikan ibu negara, menjadikannya salah satu perhimpunan terbesar Ducati di Asia Tenggara.
Perhimpunan yang berlangsung pada Sabtu lalu itu menarik perhatian ramai dengan kehadiran ahli DOCM dan peminat tegar jenama motosikal Itali ini.
Perhimpunan ini bertujuan untuk membincangkan pencapaian kelab, hala tuju serta inisiatif yang bakal dilaksanakan pada masa depan.
Acara dimulakan dengan aktiviti konvoi dari pusat beli-belah Publika yang membabitkan 400 jentera Ducati pelbagai model.
Konvoi megah ini menuju ke Menara Berkembar Petronas, simbolik kepada kerjasama antara DOCM dan Petronas Sprinta.
Selepas itu, konvoi berkenaan bergerak ke Sepang sebelum berakhir di Movenpick Hotel & Convention Centre, lokasi bagi program AGM tahunan dan Majlis Pelantikan Presiden DOCM 2025 yang baharu, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin.
Majlis pelantikan ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Datuk Seri Nazir, yang sebelum ini adalah penasihat kelab pada tahun 2023 dan menguruskan hal korporat DOCM, kini menggantikan Hishamuddin Md Sani sebagai Presiden DOCM setelah perkhidmatan Hishamuddin berakhir.
Nazir, yang telah aktif dalam kelab selama tiga tahun berturut-turut, menyatakan komitmennya untuk memperkukuhkan hubungan antara ahli dan pemilik Ducati sebagai satu keluarga besar.
Dalam ucapannya, Nazir berkata, beliau akan memberikan komitmen sepenuh hati untuk menyatupadukan semua ahli kelab, bukan hanya sebagai platform untuk ukhuwah dan hobi, tetapi untuk membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

“Ramai anak Melayu pemilik Ducati, kita akan menjadi gergasi di Asia Tenggara dan pada masa yang sama menarik pelancong ke negara ini untuk menunggang bersama kita,” kata Nazir dengan penuh semangat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, turut memberi sokongan kepada perkembangan sukan permotoran sebagai platform penyatuan belia dan menjalin kolaborasi strategik.
“Penajaan Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM) kepada DOCM adalah bukti gandingan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengeluar unggul minyak terbaik dunia yang saling memberi impak positif antara satu sama lain,” katanya.
DOCM, yang didaftarkan pada tahun 2016, kini memiliki lebih 1,500 ahli, termasuk dari Singapura dan Thailand, dan terus berkembang pesat sebagai kelab pemilik rasmi Ducati Malaysia.
Kejayaan acara ini membuktikan bahawa dunia permotoran terus mendapat perhatian dan sokongan yang kukuh, dan Ducati terus mencipta impak yang besar di rantau ini.
Dengan visi dan semangat baru yang dibawa oleh Presiden DOCM yang baharu, kelab ini dijangka akan terus berkembang dan membawa jenama Ducati ke lebih banyak pentas global.