editormaxinfo@gmail.com
MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mencipta peralatan rehabilitasi canggih yang bertujuan untuk membantu memulihkan pesakit, khususnya mereka yang memerlukan rawatan fisioterapi dalam komuniti di negeri ini.
Menurut Ketua Projek, Prof Madya Dr Mariam Md Ghazaly, inisiatif itu dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan rawatan fisioterapi kepada golongan B40 di kawasan setempat.
Kerjasama antara UTeM dan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam telah membuahkan hasil yang membanggakan.
“Dengan kepakaran kejuruteraan yang ada di UTeM, kami berjaya membangunkan beberapa peralatan rehabilitasi berteknologi tinggi, termasuk dua alat inovatif untuk pemulihan kaki yang bertujuan mempercepatkan proses pemulihan pesakit angin ahmar, kemalangan atau selepas pembedahan,” kata Dr Mariam dalam satu kenyataan.
Antara peralatan yang dibangunkan adalah Wearable Assistive Lower Limb Exoskeleton (WALLEs) dan Assistive Lower Limb Chair (ALLC), yang direka untuk membantu pesakit pulih dengan lebih pantas.
Selain itu, sarung tangan automatik pemulihan tangan turut dipamerkan dalam demonstrasi.
Program ini memberi manfaat kepada 40 orang pesakit di kawasan terbabit, yang kini dapat menikmati kemudahan peralatan fisioterapi ini, memberikan mereka harapan baru untuk proses pemulihan yang lebih berkesan.
Projek ini dibiayai melalui Geran Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti @UniMADANI) Fasa 2, 2024, yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan melalui Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, pembangunan produk inovasi dan penyelidikan ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada komuniti tempatan, malah berpotensi untuk dikembangkan di peringkat antarabangsa.
“Usaha penyelidikan yang memberi impak terus kepada komuniti seperti ini merupakan satu inisiatif berterusan yang dijayakan oleh UTeM.
Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan sokongan pemulihan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara UTeM dan masyarakat setempat, memastikan kepakaran kami dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Melaka,” katanya.
Dengan pencapaian ini, UTeM terus membuktikan komitmennya dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui inovasi dan teknologi dalam bidang kesihatan.