editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik antara 20dB Hearing Sdn Bhd dan PMG Healthcare bakal memperluaskan akses serta penyelesaian berkualiti dalam penjagaan kesihatan pendengaran di Malaysia.
Gabungan rangkaian penjagaan kesihatan meluas PMG dengan kepakaran khusus 20dB Hearing ini dijangka memberi pendekatan penjagaan lebih holistik dan berkesan kepada masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 20dB, Mok Yong Yaw, berkata kerjasama ini adalah langkah penting dalam memenuhi keperluan penjagaan pendengaran yang semakin mendesak di Malaysia.
“Kesihatan pendengaran sering diabaikan, tetapi ia adalah asas penting untuk kualiti hidup yang lebih baik.
“Dengan kerjasama bersama PMG, kami bertekad memastikan penjagaan pendengaran menjadi keutamaan kepada setiap rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif PMG Healthcare, Dr Chieng King Chong, menyifatkan kerjasama ini sebagai satu inisiatif penting untuk memperluaskan akses kepada penyelesaian pendengaran terkini, termasuk alat bantuan pendengaran dan implan koklea.
Menurutnya, usaha bersama ini bukan hanya bertujuan untuk meningkatkan kesihatan pendengaran individu, tetapi juga untuk memberi impak positif jangka panjang kepada masyarakat secara keseluruhannya.
“Dengan kerjasama ini, 20dB Hearing dan PMG Healthcare akan menetapkan standard baharu dalam penjagaan kesihatan pendengaran di Malaysia, memastikan setiap individu berpeluang untuk mendengar dengan lebih baik dan menjalani kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.
Langkah ini bukan sahaja memberikan akses lebih luas kepada teknologi terkini dalam penjagaan pendengaran, tetapi juga mengintegrasikan penjagaan tersebut dalam ekosistem kesihatan yang lebih meluas, memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia.