editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – MUSE+ mempersembahkan sebuah konsert yang dinanti-nantikan, KONSERT HITSTER VOL 1 – OTAI SANGAT MENYENGAT, yang akan menyatukan empat nama besar dalam industri muzik Malaysia dan Singapura.
Konsert ini bakal mempersembahkan vokalis legenda Dato’ Nash, Zamani, Ameng Spring, dan Jatt Ali di atas satu pentas untuk pertama kalinya pada 1 Februari 2025 di THE STAR THEATRE, SINGAPORE bermula jam 8 malam.
Bukan sekadar konsert biasa, acara ini menyemarakkan nostalgia muzik 90-an dengan membawa kembali lagu-lagu hits yang menjadi fenomena seperti Pada Syurga Di Wajahmu (Nash), Tak Mungkin Berpaling (Zamani), Sampai Hati (Ameng Spring), dan Khayalan (Jatt Ali).

Keempat-empat vokalis ini, yang masing-masing pernah memimpin kugiran ikonik seperti Lefthanded (Nash), Black Dog Bone (Jatt Ali), Spring (Ameng) dan Slam (Zamani), akan membawa pengalaman muzik yang melintasi zaman kepada peminat dari pelbagai generasi.
Pengarah Urusan MUSE+, Atrez, berkata, mereka amat teruja membuka tahun 2025 dengan konsert HITSTER VOL 1 – OTAI SANGAT MENYENGAT, yang direka untuk membawa kembali kenangan manis sekaligus menyatukan semua generasi pencinta muzik.
“Kami yakin bahawa Nash, Zamani, Ameng, dan Jatt Ali adalah vokalis yang paling layak mengisi konsert edisi pertama ini, kerana mereka telah menghasilkan lagu-lagu yang tetap relevan hingga hari ini,” katanya.

Zamani pula menyifatkan pembabitannya dalam konsert ini sebagai satu penghormatan besar.
“Bergabung dengan Nash, Ameng dan Jatt Ali di pentas yang sama adalah pengalaman yang luar biasa.
“Konsep yang dibawakan oleh penganjur ini sangat unik dan saya tidak sabar untuk berkongsi momen istimewa ini dengan peminat,” kata Zamani penuh teruja.
Tiket untuk KONSERT HITSTER VOL 1 – OTAI SANGAT MENYENGAT boleh didapati mulai harga $98 (GOLD) hingga $248 (VIP & MEET & GREET), yang boleh dibeli di WWW.STARTIX.SG.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan gemilang empat otai yang penuh dengan semangat dan nostalgia.

Konsert ini juga menandakan permulaan siri-siri konsert Hitster yang bakal meneroka konsep yang sama dengan menampilkan penyanyi legenda lain, termasuk mungkin barisan penyanyi wanita.
“Meskipun agak mencabar untuk menyatukan otai kita yang sangat sibuk, kami percaya bahawa usaha ini sangat berbaloi demi memberi peminat sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakan,” tambah Atrez.
Pastikan anda tidak terlepas peluang untuk menikmati konsert yang penuh dengan sejarah muzik tanah air ini.

