editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – RTM terus komited dalam menyampaikan mesej positif kepada masyarakat melalui penerbitan program-program yang relevan, terutama di tengah arus kemodenan yang pesat.
Dalam usaha ini, penerbitan sitkom Apartmen Putra musim 6 dan 7 menjadi salah satu langkah penting bagi Unit Drama TV RTM untuk menghubungkan penonton dengan isu-isu semasa, sambil menyampaikan nilai-nilai murni melalui medium hiburan yang santai.
Garapan skrip Apartmen Putra musim terbaru ini ditulis oleh Ares Bahar, penulis skrip berpengalaman yang telah mencipta karya-karya berimpak dalam industri penyiaran tempatan.

Bekerjasama dengan dua pengarah muda berbakat, Rohayu Abdul Wahab dan Mohd Zairool Fahmee Khairudin, sitkom ini memberi sentuhan segar kepada penonton, menampilkan RTM sebagai stesen penyiaran yang berkredibiliti dan penuh daya cipta.
Mengangkat kisah masyarakat kelas pertengahan yang berlatarkan sebuah apartmen di tengah-tengah Kuala Lumpur, Apartmen Putra musim 6 dan 7 mengangkat isu-isu semasa yang sangat dekat dengan kehidupan masyarakat.
Setiap episod membawa tema yang menginspirasi seperti Pemerkasaan Wanita, Ekonomi Digital, TVET, Perpaduan Kaum, dan Peralihan Tenaga.
Watak-watak menarik dan artis jemputan yang berbeza pada setiap episod memberikan nilai tambah yang menyegarkan bagi penonton.
Bukan sekadar itu, musim baru kali ini juga menampilkan elemen gaya hidup popular di Malaysia – kopi.
Dengan kemunculan NESQ CAFE, sebuah kedai kopi moden yang menjadi latar baharu, sitkom ini bakal membawa suasana baru kepada penonton.
Apa yang lebih menarik, Apartmen Putra musim 6 dan 7 turut mendapat tajaan masa siaran untuk 26 episod daripada NESQ Resources (M) Sdn Bhd.

RTM juga amat berbangga dengan kerjasama yang dijalin dengan Todak Fusion Sdn Bhd, Corporate Coffee Solutions, JV Smart Vending Sdn Bhd, serta beberapa jenama tempatan lainnya seperti Rehan, Ve’Ladid dan Cumisal, yang turut memeriahkan set dan menjadikan Apartmen Putra musim 6 dan 7 lebih komersial dan relevan dengan citarasa semasa.
Projek kerjasama strategik ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh industri tempatan, tetapi juga mengangkat kualiti kandungan kreatif tanah air ke peringkat global.
Jangan ketinggalan, Apartmen Putra Musim 6 dan 7 akan mula bersiaran pada 8 Januari 2025, setiap hari Rabu, jam 9 malam di TV2 dan RTMKlik.
Dengan pengisian yang versatil dan kualiti yang tinggi, sitkom ini dijangka mampu menarik perhatian pelbagai lapisan penonton dan terus kekal relevan dengan zaman.

