editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sebuah karya agung dalam sejarah muzik Melayu, “Nuri Terbang Malam,” sekali lagi menyinar, kali ini dengan sentuhan istimewa daripada legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir.
Lagu klasik yang berasal dari awal abad ke-20 ini kini diperbaharui dengan gaya dan emosi baharu, berkat pembawaan suara emas M. Nasir.
“Nuri Terbang Malam,” yang asalnya dirakam pada tahun 1903 oleh penyanyi Wayang Semarang, Qasim, dianggap sebagai salah satu lagu Melayu pertama yang direkodkan.
Lagu ini, yang menggabungkan elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah, berkisarkan tema cinta yang abadi, digambarkan dengan burung Nuri yang terbang di malam gelap mencari kekasihnya.

Kini, dengan pembaharuan ini, lagu tersebut menemui nafas baharu, sambil tetap menghargai sejarah muziknya yang kaya.
M Nasir berkata, sebagai seorang penggiat seni, beliau ingin membawa karya ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal usulnya.
“Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya,” katanya.
Dengan vokalnya yang penuh perasaan dan kreatif, M. Nasir tidak hanya menghidupkan kembali “Nuri Terbang Malam,” tetapi juga menghubungkan pendengar moden dengan warisan muzik Melayu yang tiada tandingan.
Projek pembaharuan lagu ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerjasama antara Luncai Emas Sdn Bhd dan World Business Affairs Sdn Bhd (WBA) melalui projek monumental “100 Lagu 100 Tahun.”
Dipelopori oleh Profesor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan komposer terkenal Dr. Mohd Azhar Abu Bakar (Azmeer), projek ini bertujuan untuk menghimpunkan 100 lagu Melayu klasik dari abad ke-20 dalam format audio dan buku yang bakal menjadi rujukan berharga untuk generasi kini dan mendatang.
Buku “100 Lagu 100 Tahun” akan diterbitkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) Press, manakala koleksi audio akan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd sepanjang tahun 2025.
“Lagu “Nuri Terbang Malam” ini dihasilkan semula oleh Allahyarham Hanafi Hamdan, atau lebih dikenali sebagai Nafie Spider, yang telah mencipta susunan muzik baharu dengan rentak lebih rancak sambil mengekalkan elemen tradisional yang menjadi tunjang asal lagu ini.

“Pengubahsuaian ini bertujuan memberikan nuansa moden dan segar, namun tetap menghormati jiwa asalnya. “Secara tidak langsung, lagu ini adalah dedikasi untuk arwah, yang banyak berusaha menghasilkan susunan muzik ini sebelum meninggal dunia akibat strok pada 22 November 2024,” kata Luncai Emas.
Untuk memberi pengalaman visual yang lebih mendalam, muzik video “Nuri Terbang Malam” juga telah dirakam dengan konsep teater bangsawan era 1950-an.
Muzik video yang diarahkan oleh Sha Bromo ini menggabungkan persembahan nyanyian M. Nasir sebagai watak pencerita, dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta penglibatan pelajar-pelajar akademi terbabit.
Lagu “Nuri Terbang Malam” kini boleh didengari di semua platform digital seperti YouTube, Spotify, dan Apple Music sejak 3 Januari lalu.
Dengan pelancaran ini, satu lagi warisan muzik tanah air dibangkitkan semula untuk dinikmati oleh generasi baharu.

