27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Hukuman sebat di khalayak ramai tidak bangkitkan isu Islamofobia – JKSM

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai tidak akan menimbulkan isu Islamofobia, kerana kehadiran orang ramai untuk menyaksikan hukuman terbabit tertakluk kepada kebenaran Mahkamah Syariah.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sangat jelas mengenai had kehadiran khalayak.

Kehadiran orang luar hanya dibenarkan dengan kebenaran Mahkamah Syariah, dan biasanya terhad kepada pegawai kehakiman syariah, pendakwa, serta pihak-pihak yang difikirkan wajar oleh mahkamah untuk hadir.

“Sebarang kehadiran pihak lain bergantung kepada budi bicara mahkamah yang akan mempertimbangkan sensitiviti dan menjaga maruah serta keselamatan semua pihak.

“SOP tidak membenarkan kehadiran khalayak awam, apatah lagi dalam jumlah besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat lalu, tukang rumah Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama yang dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, selepas didapati bersalah atas kesalahan khalwat berulang.

Keputusan hukuman itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lalu.

Mohd Amran juga menjelaskan bahawa tempat pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara bagi negeri Terengganu telah ditetapkan secara rasmi, dengan beberapa masjid utama seperti Masjid Abidin dan Masjid A-Muktafi Billah Shah dipilih sebagai lokasi pelaksanaannya.

“Lokasi ini memastikan hukuman dilaksanakan dalam persekitaran yang terkawal dan hanya disaksikan oleh umat Islam.

“Ini bertujuan untuk mendidik masyarakat Islam agar tidak mengulangi kesalahan yang sama,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa tujuan utama hukuman sebatan syariah bukan untuk menghukum secara kejam, tetapi untuk mendidik dan mencegah, serta menyedarkan masyarakat tentang pentingnya mematuhi nilai-nilai agama.

Prinsip kemanusiaan diutamakan, dengan pegawai perubatan memastikan keadaan kesihatan pesalah sebelum dan selepas hukuman, serta penggunaan alat sebatan yang direka khas untuk mengurangkan kecederaan fizikal.

“Sebatan ini dilakukan dengan penuh etika, demi kepentingan pencegahan dan penyedaran,” kata Mohd Amran lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular