editormaxinfo@gmail.com
STOCKHOLM – Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengesahkan empat rakyat Malaysia cedera dalam kemalangan bas yang berlaku berhampiran Tasik Pasresvatnet, Norway, pada Khamis lalu.
Keempat-empat individu terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan kini ditempatkan di Hotel Thon di Lofoten.
Wisma Putra dalam kenyataannya menyatakan bahawa mereka telah diberikan penginapan di Thon Hotel.
Walau bagaimanapun, disebabkan siasatan yang masih dijalankan, penumpang-penumpang terbabit tidak dibenarkan mengakses telefon atau berhubung secara langsung dengan dunia luar.
Pihak hotel juga diberi arahan agar tidak berhubung dengan penumpang berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa tiga orang disahkan maut manakala empat lagi cedera parah selepas sebuah bas terbabas dari lebuh raya dan terjunam ke dalam tasik di utara Norway.
Penumpang bas yang sebahagiannya tenggelam dalam tasik terdiri daripada pelancong asing dari pelbagai negara termasuk China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis, dan Ukraine.
Ketua Staf Daerah Polis Nordland, Bent Are Eilertsen, mengesahkan bahawa bas terbabit sebahagiannya tenggelam.
“Tiga kematian telah disahkan dan empat orang mengalami kecederaan parah. Pasukan kecemasan berjaya menyelamatkan semua penumpang dari bas itu,” katanya dalam laporan media antarabangsa.
Wisma Putra juga memaklumkan bahawa pasukan konsular Kedutaan Malaysia sedang berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mengenal pasti jumlah sebenar rakyat Malaysia yang terbabit dan memberikan bantuan yang diperlukan. -Agensi