29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

MQA lancar e-MAS, platform bersepadu sistem akreditasi pendidikan tinggi negara

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melancarkan sistem akreditasi untuk membolehkan permohonan akreditasi dibuat sepenuhnya secara atas talian iaitu menerusi Electronic MQA Accreditation System atau singkatannya, e-MAS.

Melalui e-MAS ini, MQA akan menggabung dan mengintegrasikan kesemua modul-modul pengurusan berkaitan jaminan kualiti dan akreditasi untuk mewujudkan satu platform bersepadu yang memberi nilai tambah dan kemudahan kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini.

Ketua Pengawai Eksekutif MQA, Datuk Prof Mohammad Shatar Sabran berkata, selaras dengan hasrat KPT untuk memperkasa inisiatif pendigitalan, MQA bermula tahun 2022 telah membangunkan sistem ‘e-MAS’ yang mana tujuan utamanya adalah untuk mewujudkan satu platform akreditasi pendidikan tinggi yang bersepadu (integrated platform).

“Dengan adanya e-MAS ini, pihak bekepentingan terutama Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) akan menikmati kemudahan seperti proses permohonan akreditasi akan dilaksanakan secara 100 peratus dalam talian (online), semakan status permohonan boleh diakses hanya di hujung jari tanpa mengira masa (capaian terbuka untuk akses 24 jam), kemasukan data hanya satu kali sahaja, pengenalan sistem pengurusan rekod digital yang sistematik.

“Sistem ini juga turut membantu proses prapendaftaran program dapat dikurangkan, tiada lagi dokumen berbentuk salinan keras (hard copy) yang perlu dihantar ke MQA, setiap maklumat dan laporan boleh dijana secara automatik.

“Sistem ini telah melepasi fasa pengujian dan pelancaran akan dimulakan dengan perintisan 10 institusi pendidikan tinggi (IPT) rakan sistem e-MAS bermula 22 April 2024,” katanya ketika berucap pada majlis tautan kasih MQA, baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud berkata, selaku badan tunggal yang mengawal selia jaminan kualiti pendidikan tinggi negara, KPT sentiasa menggalakkan MQA untuk mempelopori organisasi jaminan kualiti terutama di Asia Tenggara dan Asia Tengah.

“Melalui Amanat Tahun Baru Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2024, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir telah menggariskan lima fokus Utama KPT dan salah satunya ialah pemantapan ekosistem pemboleh daya.

“Melalui inisiatif ini, KPT menyasarkan untuk memperhebat ekosistem pendigitalan dalam semua proses dan prosedur untuk meningkatkan aksesibiliti dan kebolehcapaian maklumat kepada umum,” katanya.

Dalam majlis yang sama, MQA turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT) Indonesia.

MoU antara dua badan jaminan kualiti itu bakal memudah cara elemen pengiktirafan bersama (mutual recognition) sekali gus memberi impak positif kepada pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan begitu juga pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Indonesia.

BAN-PT diketuai Pengarah Dewan Eksekutifnya, Ari Purbayanto.

Dalam pada itu, Shatar Sabran berkata, peranan Indonesia ini sangat luar biasa dan sekali gus melonjak imej pendidikan tinggi di negara ini.

“Insya-Allah saya dengan Pak Ari sentiasa akan bekerjasama antara satu sama lain kerana kami tahu pegangan tangan yang kuat diantara MQA dan BAN-PT ini mampu melonjakkan bukan sekadar pendidikan tinggi Malaysia tetapi juga di dua buah negara ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular