26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, October 10, 2025
Home Blog Page 8

‘Rumah Tanpa Luka’ tampil isu keluarga menyentuh hati, Shukri Yahaya vs Nadhir Nasar, siapa sebenarnya ‘Green Flag’?

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah lagi drama yang sarat emosi dan menyentuh isu keluarga kini menemui penonton menerusi slot malam di Astro Ria.

Berjudul Rumah Tanpa Luka, drama terbitan Suhan Movies & Trading bersama BamBam Studios ini mula bersiaran sejak 1 September lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Lebih daripada sekadar drama kekeluargaan, Rumah Tanpa Luka membawakan naskhah yang berani dengan mengangkat tema yang jarang diketengahkan kisah seorang kanak-kanak istimewa (Down Syndrome) yang tidak diterima oleh ibu bapanya sendiri, serta pergolakan emosi seorang anak perempuan sulung yang menggalas tanggungjawab besar dalam keluarga.

Disutradarai oleh Nur Ain Sharif, drama ini mempertemukan gandingan sulung tiga pelakon utama Erysha Emyra, Shukri Yahaya dan Nadhir Nasar dalam sebuah penceritaan yang kaya dengan konflik dalaman, nilai kasih sayang dan penebusan diri.

Membawakan watak antagonis sebagai Hayden Hayyan, Nadhir berkata, judul Rumah Tanpa Luka sendiri bersifat metafora, menggambarkan hakikat bahawa setiap rumah pasti menyimpan luka sama ada besar atau kecil.

“Kita tahu setiap rumah, walau nampak bahagia, pasti ada lukanya. Kalau nak tahu luka itu dalam atau tidak, kena tonton drama ini,” katanya.

Watak-watak lelaki dalam drama ini turut mencuri tumpuan kerana mewakili dua ‘archetype’ yang sering diperkatakan dalam masyarakat hari ini iaitu lelaki ‘green flag’ dan ‘red flag’.

Shukri Yahaya memegang watak Qiuzi, atau ‘Q’, seorang mekanik yang dalam diam memiliki lima bengkel sendiri.

Sifatnya yang merendah diri, setia, tidak menunjuk dan tidak pandai menggoda menjadikan watak ini sebagai simbol lelaki dambaan ramai.

“Qiuzi sangat down to earth, senang didekati dan tidak sombong. Dia tidak pandai bercinta, tapi sangat setia.

“Saya rasa ramai perempuan dambakan lelaki seperti ini, walaupun tak pasti ada atau tidak di dunia nyata,” kata Shukri.

Sebaliknya, watak Hayden Hayyan yang dibawa oleh Nadhir digambarkan sebagai lelaki ‘red flag’ penuh konflik, emosional dan menyimpan sejarah keluarga yang rumit.

Namun menurut Nadhir, persepsi itu harus dilihat secara mendalam kerana watak Hayyan juga menyimpan sisi tanggungjawab yang besar terhadap keluarga.

“Ramai anggap dia red flag, tapi sebenarnya dia anak yang sangat bertanggungjawab. Cuma mungkin caranya berbeza,” katanya sambil mengakui cabaran terbesar dalam membawa watak ini ialah mengawal emosi Hayyan yang kompleks dan tidak menentu.

Antara bintang utama yang mencuri perhatian dalam drama ini ialah kanak-kanak istimewa, Naura Arissa, yang membawa watak Rose Ameena seorang kanak-kanak Down Syndrome yang dilahirkan dalam keluarga yang tidak menginginkannya, malah dianggap membawa nasib malang.

Namun Rose memiliki jiwa yang besar, tabah menghadapi buli dan hanya ditemani seorang sahabat sejati bernama Dewi.

Penglibatan Naura bukan sahaja menyuntik elemen realisme dalam penceritaan, malah memberi pengalaman berharga kepada pelakon utama. Shukri menyifatkan pengalaman berlakon dengan Naura sebagai sesuatu yang menyentuh hati.

“Saya sangka ia akan sukar kerana dia anak istimewa, tetapi sebenarnya sangat mudah kerana dia sangat memberi. Cuma kita kena jaga emosinya agar dia rasa selesa,” katanya.

Nadhir turut berkongsi pandangan serupa dan memuji profesionalisme yang ditunjukkan Naura sepanjang penggambaran.

“Dia tahu bila masa ‘action’ dan ‘cut’. Bila dia sudah kenal kita, dia faham karakter dan tahu bila kita sedang berlakon. Ia bukan satu cabaran, tapi satu keberkatan,” katanya.

Rumah Tanpa Luka bukan sekadar drama air mata, sebaliknya membawa naratif penting yang membongkar isu pengabaian anak istimewa, dinamika keluarga dan peranan anak perempuan sebagai tunjang ketahanan emosi dalam rumah tangga.

Penonton bukan sahaja akan menyaksikan lakonan hebat dan konflik dramatik, malah turut dibawa menyelami realiti hidup sesetengah keluarga di Malaysia hari ini.

Drama ini boleh distrim menerusi Astro On Demand dan aplikasi Sooka.

Sinopsis:

Dalam kesempitan hidup, Kalsum tetap cekal menjaga anak istimewanya, Rose Ameena, walaupun disisihkan keluarga sendiri.

Kehadiran Qiuzi membawa sinar harapan dalam hidupnya, namun kebahagiaan itu tidak kekal apabila Hayden Hayyan muncul semula, mencetuskan gelora yang menguji kekuatan kasih seorang ibu.

Zfix Bakal catat rekod MBOR untuk penukaran bateri iPhone terbanyak dalam 12 jam

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Jenama tempatan yang semakin mendapat tempat dalam industri penyelenggaraan peranti pintar, Zfix, kini bersedia mencipta sejarah tersendiri apabila mengumumkan cubaan untuk mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penukaran bateri iPhone terbanyak dalam tempoh 12 jam.

Acara yang berlangsung pada Ahad di cawangan baharu Zfix di Bangunan PKNS Bizpoint, Seksyen 7, Shah Alam itu menyaksikan lebih 1,000 unit bateri iPhone ditukar dalam masa yang ditetapkan bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Inisiatif ini bukan sahaja berobjektifkan rekod, malah berperanan penting dalam memartabatkan profesionalisme dalam industri servis telefon pintar tempatan.

Cubaan yang membabitkan penyertaan 30 juruteknik bertauliah itu akan dipantau rapi oleh pasukan audit yang terdiri daripada 10 petugas teknikal dan logistik, dibantu lima kaunter pengesahan.

Setiap penukaran bateri akan direkodkan secara sistematik dengan pengambilan nombor siri bateri lama dan baharu, disahkan oleh juruteknik, direkod secara digital dan fizikal, serta dirakam tanpa henti sebagai bukti sah mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak MBOR.

Mengulas mengenai acara ini, Pengarah Zfix, Muhammad Zulhelmi Mohd Yusof berkata, cubaan itu bukan sekadar satu percubaan mencipta rekod, sebaliknya ia membawa mesej lebih besar terhadap keupayaan jenama tempatan untuk beroperasi dengan profesionalisme tinggi dan mematuhi piawaian antarabangsa.

“Zfix Mobile Fest ini adalah simbol kepada komitmen kami terhadap integriti, inovasi dan khidmat pelanggan.

“Kami ingin membuktikan bahawa jenama tempatan juga boleh menjadi penanda aras industri, bukan sahaja dalam kecekapan teknikal tetapi juga dalam aspek etika, keselamatan dan kepercayaan,” katanya.

Selain cubaan mencipta rekod, Zfix turut menganjurkan Zfix Mobile Fest, sebuah acara komuniti yang memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dunia servis telefon pintar dengan lebih dekat.

Festival ini menawarkan pelbagai aktiviti interaktif termasuk pemeriksaan kesihatan telefon percuma, bengkel penjagaan peranti, cabutan bertuah dengan hadiah menarik, booth interaktif TikTok, ruang rehat lengkap dengan Wi-Fi percuma serta zon permainan kanak-kanak.

Acara yang dirangka dengan pendekatan mesra keluarga ini turut menggalakkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan mendapatkan servis telefon daripada penyedia bertauliah serta penggunaan alat ganti asli demi keselamatan dan ketahanan peranti.

Zfix, yang ditubuhkan pada tahun 2022, telah menempatkan dirinya sebagai salah satu pusat servis telefon pintar tempatan yang diyakini pelanggan, khususnya bagi produk Apple.

Dengan operasi yang berteraskan kecekapan, ketelusan dan layanan profesional, jenama ini kini dalam landasan untuk menjadi pelopor dalam pembaikan peranti secara sah dan berdaftar di Malaysia.

Dengan usaha ini, Zfix bukan sahaja berhasrat mencipta nama dalam MBOR, tetapi juga membina kepercayaan jangka panjang dalam kalangan pengguna terhadap pentingnya amalan servis yang mematuhi standard industri.

Lebih daripada itu, kejayaan ini dijangka menjadi langkah permulaan kepada banyak lagi inisiatif teknologi yang berpaksikan keperluan pengguna, inovasi dan keselamatan.

Pihak Zfix turut menyatakan komitmen mereka untuk terus memperluaskan skop perkhidmatan serta mendidik masyarakat tentang penjagaan telefon pintar melalui program-program seumpama ini di masa akan datang.

Tarik ribuan pengunjung, Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 bukan sekadar festival

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 yang berlangsung di Kelantan baru-baru ini berjaya mencapai matlamat penganjuran apabila mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat, sekali gus memperlihatkan minat tinggi terhadap khazanah makanan dan seni budaya warisan negeri.

Program anjuran Jabatan Warisan Negara itu bertujuan mempromosikan makanan tradisional Pantai Timur, khususnya dari Kelantan, serta memperkenalkan semula warisan seni persembahan yang semakin dilupakan.

Lebih 150 menu makanan warisan dari 10 jajahan di seluruh Kelantan dipersembahkan, menjadikan festival ini sebagai medan penting untuk mendekatkan masyarakat dengan resipi nenek moyang yang hampir pupus ditelan zaman.

Antara menu unik yang diketengahkan termasuklah nasi seratus, itik solo dan ros lidah makanan tradisi yang sukar didapati di tempat lain dan tidak lagi disajikan secara meluas dalam kalangan masyarakat kini.

Menariknya, pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan demonstrasi penyediaan makanan-makanan ini, malah turut berpeluang merasai sampel secara percuma.

Lebih istimewa, festival turut menampilkan pelbagai seni persembahan tradisional Kelantan yang jarang dipertontonkan, termasuk Mak Yong dan Menora, yang kini diambang kepupusan.

Keunikan persembahan berkenaan menjadi daya tarikan utama, khususnya kepada generasi muda yang mungkin tidak pernah menyaksikannya secara langsung sebelum ini.

Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, Dr Eyo Leng Yan berkata, festival ini bukan hanya tentang mempromosikan kulinari warisan, tetapi juga sebagai usaha serius untuk memulihara dan mendokumentasikan warisan tidak ketara negara.

Selain makanan dan seni persembahan, elemen warisan lain yang turut diiktiraf termasuk bahasa dan persuratan, adat dan budaya, serta seni halus dan kraftangan.

“Peranan kami bukan sahaja menganjurkan program seperti ini, tetapi juga mendokumentasi, menghasilkan video, buku dan memberi pendidikan berkaitan warisan tidak ketara.

“Kami juga memainkan peranan dalam proses mewartakan elemen warisan ini sebagai Warisan Kebangsaan, bahkan mencalonkan ke peringkat UNESCO,” katanya.

Sehingga kini, Malaysia telah mendapat pengiktirafan UNESCO bagi sembilan elemen warisan tidak ketara, termasuk Mak Yong, Dondang Sayang, Silat, Perayaan Wangkang, Pantun, Songket, Budaya Serapan, Mek Mulung dan Kebaya.

Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur  2025 di Kelantan adalah lokasi ketiga selepas Kedah dan Tuaran, Sabah.

Program seterusnya akan diteruskan di Kuala Lumpur pada 12 hingga 16 September ini, bertempat di Taman Tasik Titiwangsa.

Edisi KL bakal mengetengahkan makanan warisan dari 14 negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, dengan 10 menu dipilih dari setiap negeri.

Festival ini kemudiannya akan melabuhkan tirai di Pulau Pinang dengan tema khas yang menampilkan kulinari hasil kreativiti pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Dikenali sebagai Festival Cita Rasa Warisan @ IPT, program ini memberi tumpuan kepada bakat dan kearifan belia dalam menghasilkan makanan tradisional, selari dengan usaha memastikan kesinambungan warisan budaya dalam kalangan generasi muda.

“Penyertaan belia dalam bidang kulinari warisan adalah langkah penting dalam memartabatkan semula makanan tradisional tempatan yang kian dilupakan.

“Dalam era dominasi makanan moden dan ‘fusion’, penglibatan generasi baharu diharap dapat menghidupkan semula minat terhadap sajian autentik yang menjadi identiti negara,” katanya.

Dr Eyo berkata, Jabatan Warisan Negara menzahirkan harapan agar festival seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan sokongan padu daripada komuniti setempat.

Ini kerana, pelestarian warisan tidak boleh digerakkan secara bersendirian oleh pihak kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama erat daripada rakyat sebagai pemegang amanah budaya bangsa.

“Komuniti adalah pemegang utama warisan. Tanpa sokongan dan penglibatan mereka, usaha kita untuk melindungi dan memartabatkan warisan tidak ketara tidak akan berjaya,”katanya.

Dengan pendekatan inklusif serta penglibatan pelbagai pihak, Festival Cita Rasa Warisan terbukti bukan sahaja menjadi pentas mempamerkan makanan tradisi, malah medan menyemai semula kecintaan rakyat terhadap budaya dan identiti bangsa.

JPJ lawat GGR Motor, sokong usaha bangunkan motosikal elektrik buatan Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha GGR Motor untuk muncul sebagai pengeluar pertama motosikal elektrik (EV) buatan Malaysia terus menerima pengiktirafan apabila syarikat itu menerima lawatan rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Lawatan bersejarah ini memperlihatkan sokongan penuh pihak berkuasa terhadap inisiatif tempatan dalam memperkasa industri kenderaan elektrik negara.

Seramai 25 anggota JPJ Wilayah Persekutuan yang diketuai Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang, telah mengadakan lawatan kerja ke kilang pemasangan GGR Legacy (M) Sdn Bhd yang terletak di Kampung Sungai Penchala.

Lawatan itu bertujuan memberi pendedahan lebih dekat kepada pegawai JPJ mengenai proses pemasangan motosikal EV serta memahami lebih lanjut operasi dan keupayaan pengeluaran GGR Motor sebagai pelopor dalam industri ini.

Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, menyifatkan kunjungan ini sebagai titik permulaan penting dalam merintis kerjasama erat antara industri dan agensi penguatkuasaan.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dan terima kasih atas kesudian pihak JPJ meluangkan masa untuk meninjau sendiri operasi kilang serta memberi sokongan terhadap pengeluaran motosikal elektrik tempatan.

“Ini adalah lawatan rasmi pertama daripada pihak berkuasa ke fasiliti kami, dan kami amat menghargainya.

“Ia memberi isyarat jelas bahawa usaha kami untuk membangunkan motosikal EV di Malaysia bukan sahaja diterima, tetapi turut disokong dari sudut peraturan dan pematuhan undang-undang,” katanya.

Lawatan kerja itu turut disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail.

Sepanjang sesi lawatan, anggota JPJ diberikan taklimat operasi dan dibawa meninjau keseluruhan proses pemasangan motosikal EV termasuk ruang pengeluaran, bengkel servis, bangunan jualan aksesori serta bahagian operasi yang menyokong ekosistem penuh kenderaan elektrik keluaran GGR.

Dalam perkembangan berkaitan, Mussaddiq turut mengumumkan motosikal elektrik sulung keluaran syarikat itu, Lion G1, kini boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.

Ini membuka laluan kepada lebih 6,000 unit motosikal yang telah ditempah untuk mula didaftarkan dan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat.

Model Lion G1 yang direka dan dibangunkan sepenuhnya melalui penyelidikan tempatan menampilkan gabungan teknologi moden dengan harga mampu milik.

Dicipta khusus untuk pasaran Malaysia, model ini turut menekankan ciri-ciri mesra alam dan sesuai dengan keperluan pengguna bandar serta luar bandar.

Kilang GGR Legacy di Sungai Penchala telah diwujudkan sebagai langkah awal ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran motosikal elektrik di rantau ASEAN.

Usaha ini turut sejajar dengan dasar kerajaan yang memberi galakan kepada pembangunan industri EV melalui pelbagai insentif dan sokongan strategik.

Sebelum ini, pada majlis pelancaran rasmi Lion G1 pada Julai lalu, GGR Motor mengumumkan sasaran pengeluaran sehingga 30,000 unit menjelang penghujung tahun 2025.

Sasaran ini dilihat realistik memandangkan sambutan luar biasa yang diterima di peringkat awal, apabila lebih 2,500 unit telah ditempah dalam masa seminggu selepas pelancaran.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Mussaddiq berkata, GGR Motor merancang untuk membuka sebuah lagi kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung.

Kilang yang akan dibina di atas tapak seluas lebih satu ekar itu, dijangka menjadi fasiliti pengeluaran utama bagi model Lion G1 dan beberapa model baharu yang bakal diperkenalkan.

“Pembukaan kilang ini akan mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu, terutama dalam bidang teknologi hijau dan automotif elektrik, sejajar dengan matlamat kami untuk memperkasa bakat tempatan,” katanya.

Tambahnya, inisiatif ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan rakan industri seperti PMH Motor, Bateriku.com, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM).

Kerjasama ini meliputi latihan teknikal, penyelenggaraan serta sokongan dalam rantaian bekalan, yang akan memperkukuh lagi daya saing GGR Motor sebagai jenama nasional dalam arena EV.

Dengan sokongan penuh agensi seperti JPJ dan sambutan positif dari pengguna, GGR Motor kini berada di landasan kukuh untuk membina legasi sebagai peneraju motosikal elektrik buatan Malaysia, sekaligus menjadikan mobiliti hijau satu realiti untuk semua.

Generasi: Perfect 10 mengungkap realiti tekanan remaja dalam mengejar impian dan mencari identiti

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro Originals sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam menghasilkan karya drama berkualiti dengan memperkenalkan siri terbaharu bertajuk Generasi: Perfect 10.

Drama inspirasi ini mengangkat kisah gadis remaja yang berjuang mengejar impian sebagai atlet gimnastik profesional, sebuah tema yang jarang diketengahkan di televisyen Malaysia.

Siri ini dijadualkan mula ditayangkan pada 19 September 2025, setiap hari Jumaat jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108), serta boleh ditonton lebih awal secara On Demand melalui Astro GO dan aplikasi Sooka.

Sebagai siri bertemakan sukan pertama keluaran Astro Originals, Generasi: Perfect 10 membawa penonton menyelami dunia kompetitif yang penuh cabaran dalam sukan gimnastik profesional.

Siri yang terdiri daripada lapan episod ini mengisahkan tentang Ezie, seorang gadis yang sejak kecil bercita-cita menjadi atlet gimnastik profesional.

Namun, apabila kelab gimnastik di sekolahnya ditutup secara tiba-tiba, Ezie mengambil langkah berani dengan memohon ke akademi sukan paling berprestij di negerinya.

Dari situ bermulalah perjalanan penuh liku yang membawa penonton merasai tekanan emosi, persaingan sengit, perkembangan diri, serta realiti pahit yang dihadapi dalam usaha mengejar impian.

Selain daripada jalan cerita yang menarik, siri ini juga menyentuh pelbagai isu sosial penting seperti pencarian arah hidup, peranan sokongan keluarga dalam membina keyakinan diri, ketabahan wanita dalam mengejar cita-cita dan semangat bersaing untuk mengubah nasib.

Melalui naratif ini, penonton diperlihatkan sisi kemanusiaan dan cabaran yang sebenar dihadapi oleh remaja masa kini, terutama dalam konteks sukan dan pembangunan peribadi.

Generasi: Perfect 10 diarah oleh pengarah terkenal, Sling Ng, dengan showrunner Nas Addina yang memastikan penceritaan bersifat autentik dan menyentuh hati.

Barisan pelakon yang membintangi siri ini terdiri daripada Arena Wan yang memegang watak utama sebagai Ezie, Arabella Ellen sebagai Victoria, Sofia Jane sebagai Coach Sue, Ellyza Azizi sebagai Amal, Daniel Fong sebagai Jun, Sharifah Sakinah sebagai Coach Farah, Qi Razali sebagai Azfar, serta Sherie Merlis sebagai Nazma.

Turut membuat penampilan istimewa adalah legenda atlet negara, Farah Ann, yang turut bertindak sebagai penasihat untuk siri ini.

Penerbit Eksekutif Generasi: Perfect 10, Raja Jastina Raja Arshad, yang juga Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro berkata, siri ini menampilkan naratif yang mendalam mengenai tema kemanusiaan dan sosial, khususnya dalam kalangan gadis remaja yang sedang berjuang mencari identiti dan mengejar impian.

Beliau turut menekankan Astro Shaw berhasrat untuk mengangkat semangat atlet Malaysia serta komuniti yang membentuk mereka melalui karya ini.

“Kami mengharapkan Generasi: Perfect 10 menjadi manifestasi tentang ketahanan dan kuasa transformasi yang mendefinisikan mereka sebagai seorang juara,” katanya.

Siri premium Astro Originals ini turut menampilkan kolaborasi dengan jenama ikonik tempatan, Goodday Charge susu diperkaya pertama di Malaysia yang mengandungi 10 nutrien penting untuk membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Kerjasama strategik ini bukan sahaja melibatkan promosi pemasaran bersama, malah turut menyaksikan penempatan produk di dalam siri ini.

Astro Shaw juga menghasilkan sebuah video khas berdurasi 30 saat sebagai sebahagian daripada inisiatif kolaborasi berkenaan.

Generasi: Perfect 10 adalah sebuah karya yang menjanjikan inspirasi dan motivasi kepada penonton, khususnya golongan muda yang sedang berusaha mencari arah dan membina identiti diri dalam dunia yang penuh cabaran.

Untuk maklumat terkini serta klip menarik, penonton boleh mengikuti platform media sosial rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw di Instagram, TikTok, Facebook dan X.

YBK sambut baik penubuhan Tabika Autisme di setiap negeri, langkah proaktif ringankan beban keluarga B40

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berhubung inisiatif kerajaan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah tadika (tabika) autisme di setiap negeri menjelang tahun 2026, sebelum diperluaskan ke peringkat daerah pada tahun 2027.

Menurut YBK, langkah ini dilihat sebagai satu tindakan proaktif yang amat dinanti-nantikan oleh banyak keluarga, khususnya dalam kalangan kumpulan B40 dan miskin tegar yang mempunyai anak-anak dengan spektrum autisme.

Buat masa ini, kebanyakan pendidikan awal dan terapi khas hanya ditawarkan oleh institusi swasta, yang mengenakan bayaran tinggi dan di luar kemampuan golongan berpendapatan rendah.

YBK melihat inisiatif ini sebagai satu bentuk keprihatinan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan khas yang lebih menyeluruh dan inklusif, selain berupaya meringankan beban kewangan yang selama ini terpaksa ditanggung oleh ibu bapa untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pendidikan yang sesuai untuk anak-anak istimewa mereka.

Pengurus Besar YBK, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, berkata, pelaksanaan tabika autisme yang disokong kerajaan bukan sahaja akan memberi peluang yang lebih adil kepada kanak-kanak autisme untuk mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti, malah akan membantu membina masa depan yang lebih cerah kepada mereka.

“Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif.

“Ia juga selari dengan hasrat negara untuk membangunkan sistem pendidikan yang tidak meminggirkan sesiapa, termasuk golongan berkeperluan khas,” katanya dalam satu kenyataan.

YBK turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta semua agensi berkaitan yang menerajui pelaksanaan dasar ini.

Menurut mereka, usaha berkenaan menggambarkan komitmen kerajaan untuk memperluas jaringan sokongan sosial kepada golongan terpinggir melalui pendekatan yang menyeluruh.

Sebagai sebuah pertubuhan yang telah lebih tiga dekad memperjuangkan isu kemiskinan dan ketidaksamarataan sosial, YBK menegaskan komitmennya untuk terus menyokong dasar-dasar kerajaan yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya keluarga miskin dan kumpulan rentan.

“Selaras dengan misi kami untuk membasmi kemiskinan dan membina kesejahteraan melalui pendidikan, pembangunan sosial dan pemerkasaan komuniti, YBK akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.

Tahun ini, YBK menyambut ulang tahun ke-35 penubuhannya, dengan tema “Komited Membasmi Kemiskinan, Membina Kesejahteraan” satu prinsip yang terus menjadi panduan dalam setiap langkah dan usaha yayasan itu dalam memperjuangkan nasib golongan yang memerlukan di seluruh negara.

Kuching sasar jadi tuan rumah Persidangan Bandar Gastronomi Unesco 2026

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Bandar raya Kuching sedang giat merancang pencalonan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Bandar Gastronomi Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) pada tahun 2026 satu langkah strategik yang dijangka akan menghimpunkan wakil dari 63 bandar utama dunia.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, sekiranya berjaya, penganjuran acara berprestij itu bukan sahaja akan mengukuhkan peranan Malaysia dalam diplomasi budaya dan pembangunan bandar lestari, malah berpotensi meletakkan negara sebagai peneraju dalam pertumbuhan ekonomi kreatif di rantau ini.

“Ini adalah peluang besar untuk Malaysia menampilkan kekayaan serta kepelbagaian warisan kulinari kepada dunia, di samping memperkukuh jalinan kerjasama antara bandar-bandar dalam negara dan rakan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi panel bertajuk ‘The Road to Unesco – Kota Bharu as a Creative City of Gastronomy’ sempena Festival Cita Rasa @ Warisan Pantai Timur yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam sesi itu, Wee turut berkongsi pengalaman Kuching sebagai bandar pertama di Malaysia yang diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO, yang dianugerahkan pada tahun 2021.

Menerusi perkongsian berkenaan, beliau berkata, kejayaan Kuching bukan sekadar satu pengiktirafan, malah mencerminkan komitmen jangka panjang dalam memperkasa komuniti tempatan, memelihara resipi warisan, memperkukuh rantaian bekalan makanan setempat serta memastikan kemajuan bandar turut dinikmati secara inklusif.

“Diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi UNESCO hanyalah satu permulaan. Tanggungjawab kita jauh lebih besar.

“Ia membabitkan usaha berterusan dalam memperkasa komuniti, memelihara resipi tradisional dan membina ekosistem ekonomi yang lestari,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Kuching telah melaksanakan pelan tindakan selama empat tahun yang merangkumi penglibatan secara langsung dengan peniaga kecil, belia, penggiat seni serta pengusaha pelancongan melalui pelbagai inisiatif.

Antaranya termasuklah penjenamaan semula gastronomi dalam kempen Visit Malaysia, serta penganjuran program pertukaran kulinari rentas sempadan yang memperkukuh kedudukan Kuching sebagai hab diplomasi budaya dan pelancongan lestari.

Program-program terbabit telah menarik lebih sejuta pengunjung setiap tahun ketika festival makanan berlangsung, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang ketara bagi komuniti setempat.

Selain itu, penglibatan belia turut menjadi fokus utama dalam strategi bandar berkenaan.

Beberapa inisiatif telah dilaksanakan untuk memperlengkapkan usahawan muda dengan kemahiran dalam pemasaran digital, keselamatan makanan serta dokumentasi resipi warisan usaha penting dalam memastikan kesinambungan masakan tradisional untuk generasi akan datang.

Katanya, pendekatan Kuching yang berteraskan inklusiviti, kelestarian dan pemerkasaan komuniti boleh dijadikan model berguna oleh bandar-bandar lain di Malaysia, termasuk Kota Bharu, yang kini dalam usaha menyertai rangkaian Bandar Kreatif UNESCO.

“Hasrat Kota Bharu untuk menyertai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO adalah satu peluang besar bagi Malaysia mempamerkan warisan kulinari pelbagai kaum di pentas global.

“Kita harus bekerjasama untuk membina ekosistem kebangsaan yang kukuh berteraskan inovasi bandar berasaskan budaya dan pelancongan lestari,” katanya.

Warisan kraf Kelantan ke peringkat global, Kota Bharu dicalonkan sebagai ‘World Craft City’

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Kota Bharu melakar satu lagi langkah penting dalam usaha mengangkat warisan seni kraf tempatan ke peringkat antarabangsa apabila Malaysian Craft Council (MCC) menganjurkan Majlis Menandatangani Plak Pencalonan Kota Bharu sebagai “World Craft City” di bawah pengiktirafan World Crafts Council (WCC).

Majlis penuh bersejarah yang berlangsung di Hotel Perdana, Kota Bharu itu menandakan permulaan rasmi kepada pencalonan bandar ini untuk meraih status antarabangsa sebagai salah satu kota kraf terkemuka dunia.

Walau bagaimanapun, pencalonan ini belum lagi menjanjikan pengiktirafan mutlak, sebaliknya akan melalui proses penilaian yang teliti oleh pihak WCC sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.

Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan tiba DYMM Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor dan Naib Presiden World Crafts Council bagi Rantau Asia Pasifik, Sundeep Kumar dari India.

Acara ini bukan sahaja menjadi simbol aspirasi besar negeri Kelantan untuk mengangkat seni warisan ke persada dunia, malah turut meraikan keunikan kraf tempatan yang menjadi identiti budaya negeri ini.

Antara yang diketengahkan termasuklah dua hasil seni tekstil yang begitu bernilai iaitu sulaman Kelingkan dan tenunan Songket, yang masing-masing diperagakan secara langsung oleh dua tokoh Adiguru tersohor Nik Marhamah Nik Megat dan Che Rohani Che Mood.

Demonstrasi eksklusif oleh kedua-dua maestro ini memberikan gambaran jelas terhadap ketelitian dan kehalusan seni kraf tradisional yang diwarisi turun-temurun.

Menurut wakil MCC, pencalonan ini membawa harapan besar bukan sahaja kepada penggiat kraf, malah kepada komuniti tempatan secara keseluruhan.

“Walaupun status ‘World Craft City’ masih menunggu proses penilaian rasmi oleh pihak World Crafts Council, pencalonan ini sendiri sudah cukup menjadi bukti bahawa warisan seni kraf Kelantan mempunyai kekuatan tersendiri dan mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak,” katanya.

Jika pencalonan ini berjaya, ia dijangka membuka lembaran baharu dalam memartabatkan seni kraf tempatan ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, ia turut diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat, terutamanya dalam kalangan wanita dan penggiat seni tekstil tradisional.

Pengiktirafan ini juga akan memperkukuh lagi kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan warisan budaya dan identiti tempatan yang unik.

Dengan langkah berani dan visi jelas yang ditunjukkan oleh MCC serta sokongan pelbagai pihak, Kota Bharu kini berada di landasan yang tepat untuk mengukir nama di pentas dunia sebagai sebuah bandar yang memelihara, memartabat dan memperkasa seni kraf warisan bangsa.

Sokong kepimpinan aktif PMX, elak kerugian besar kepada negara –  Salim Abdul Rahman

editormaxinfo@gmail.com

SUNGAI BULOH – Barisan Menteri Kabinet diseru tampil lebih proaktif dan memberikan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menerajui pentadbiran negara.

Aktivis sosial merangkap Presiden Yayasan Global Mesra, Dato Seri Salim Abdul Rahman berkata, komitmen serta keaktifan Perdana Menteri dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju negara perlu disambut dan didukung sepenuhnya oleh anggota pentadbiran yang lain.

“Kalau hanya Datuk Seri Anwar bergerak laju tetapi menteri-menteri lain tidak mengikut rentak yang sama, ini adalah satu kerugian besar kepada negara.

“Kepimpinan beliau harus disambut dengan semangat dan tindakan yang seiring,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Podcast sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bertemakan pemerintahan Perdana Menteri Ke-10 (PMX), baru-baru ini.

Salim  berkata, sepanjang tempoh pemerintahan Anwar Ibrahim, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk kepada golongan muda. Beliau turut menyifatkan ramai anak muda kini melihat Perdana Menteri sebagai sumber inspirasi yang membawa harapan baharu kepada negara.

“Semua rakyat Malaysia telah diberikan peluang yang adil. Apakah kita tidak dapat melihat masa depan yang lebih cerah di bawah pentadbiran beliau?

“Sudah tentu Anwar akan terus menjaga kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Katanya lagi, dengan tempoh dua tahun lagi yang masih berbaki dalam penggal pemerintahan ini, keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri perlu terus diperkukuhkan, terutamanya dalam memastikan rakyat mendapat manfaat secara menyeluruh.

“Saya yakin anak-anak muda akan terus menyokong dan saya sendiri mengharapkan agar Anwar terus diberi ruang dan peluang yang lebih luas untuk membantu rakyat,” katanya.

Mengulas dakwaan serta tuduhan liar berkaitan rasuah yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri, Salim menyifatkan ia sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak berasas.

“Untuk apa Datuk Seri mahu ambil rasuah? Kalau benar ada dakwaan, biarlah SPRM dan PDRM buat siasatan.

“Tiada masalah. Saya yakin beliau telus. Malah, kalau saya letakkan diri saya sebagai Anwar, apa yang hendak dibanggakan dengan rasuah sedangkan pendapatan sedia ada pun sudah cukup besar,” katanya.

Salim berkata, fitnah dan tohmahan sedemikian hanya akan melemahkan semangat rakyat serta mengganggu fokus kerajaan dalam usaha memulihkan ekonomi dan membina semula negara pasca pandemik.

Katanya, sokongan padu kepada Anwar bukan sahaja menjadi tanggungjawab Kabinet, tetapi juga rakyat keseluruhannya dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara terus terpelihara.