editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berhubung inisiatif kerajaan untuk menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah tadika (tabika) autisme di setiap negeri menjelang tahun 2026, sebelum diperluaskan ke peringkat daerah pada tahun 2027.
Menurut YBK, langkah ini dilihat sebagai satu tindakan proaktif yang amat dinanti-nantikan oleh banyak keluarga, khususnya dalam kalangan kumpulan B40 dan miskin tegar yang mempunyai anak-anak dengan spektrum autisme.
Buat masa ini, kebanyakan pendidikan awal dan terapi khas hanya ditawarkan oleh institusi swasta, yang mengenakan bayaran tinggi dan di luar kemampuan golongan berpendapatan rendah.
YBK melihat inisiatif ini sebagai satu bentuk keprihatinan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan khas yang lebih menyeluruh dan inklusif, selain berupaya meringankan beban kewangan yang selama ini terpaksa ditanggung oleh ibu bapa untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pendidikan yang sesuai untuk anak-anak istimewa mereka.
Pengurus Besar YBK, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, berkata, pelaksanaan tabika autisme yang disokong kerajaan bukan sahaja akan memberi peluang yang lebih adil kepada kanak-kanak autisme untuk mendapatkan pendidikan awal yang berkualiti, malah akan membantu membina masa depan yang lebih cerah kepada mereka.
“Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif.
“Ia juga selari dengan hasrat negara untuk membangunkan sistem pendidikan yang tidak meminggirkan sesiapa, termasuk golongan berkeperluan khas,” katanya dalam satu kenyataan.
YBK turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta semua agensi berkaitan yang menerajui pelaksanaan dasar ini.
Menurut mereka, usaha berkenaan menggambarkan komitmen kerajaan untuk memperluas jaringan sokongan sosial kepada golongan terpinggir melalui pendekatan yang menyeluruh.
Sebagai sebuah pertubuhan yang telah lebih tiga dekad memperjuangkan isu kemiskinan dan ketidaksamarataan sosial, YBK menegaskan komitmennya untuk terus menyokong dasar-dasar kerajaan yang berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya keluarga miskin dan kumpulan rentan.
“Selaras dengan misi kami untuk membasmi kemiskinan dan membina kesejahteraan melalui pendidikan, pembangunan sosial dan pemerkasaan komuniti, YBK akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.
Tahun ini, YBK menyambut ulang tahun ke-35 penubuhannya, dengan tema “Komited Membasmi Kemiskinan, Membina Kesejahteraan” satu prinsip yang terus menjadi panduan dalam setiap langkah dan usaha yayasan itu dalam memperjuangkan nasib golongan yang memerlukan di seluruh negara.

