editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh daya saing industri pembinaan negara terus digiatkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Usahasama (JVA) antara CIDB Holdings Sdn. Bhd., Menara Rezeki Sdn. Bhd. (MRSB) dan JC Logistics Sdn. Bhd.
Majlis pemeteraian bersejarah itu yang berlangsung dengan penuh simbolik mencerminkan komitmen ketiga-tiga entiti dalam membina ekosistem pembinaan yang lebih mampan, berdaya saing dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Pengarah Urusan Menara Rezeki, Dato’ Saiful Nizam berkata, kerjasama ini adalah manifestasi kepada kepercayaan bersama yang terjalin melalui perbincangan panjang sejak lawatan kerja beliau ke China International Import Exhibition (CIIE) pada 2024.

Di sana, beliau menyaksikan sendiri potensi teknologi bahan binaan dari China yang menawarkan inovasi tinggi, kualiti bertaraf antarabangsa serta kos yang lebih kompetitif.
Menurutnya, teknologi berkenaan mampu memendekkan tempoh pembinaan, mengurangkan pembaziran bahan, meningkatkan keselamatan di tapak bina serta menjimatkan kos penyelenggaraan jangka panjang.
Justeru, menjadi satu keperluan yang harus dimanfaatkan industri pembinaan Malaysia bagi meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
“Setibanya di tanah air, saya telah berkongsi idea berkenaan dengan Pengerusi Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Dr. Azman Yusoff, yang juga Ahli Lembaga Pengarah CIDB Malaysia.
“Cadangan itu kemudiannya dibawa kepada Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal, yang menyambut baik dan membawa inisiatif ini ke peringkat pelaksanaan menerusi kerjasama bersama CIDB Holdings,” katanya.

Menara Rezeki Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan yang ditubuhkan pada 2002, kini berkembang pesat daripada syarikat reka bentuk dalaman kepada sebuah konsortium G7 yang merangkumi pelbagai sektor seperti pembinaan, pembangunan hartanah, hospitaliti, pertanian, perubatan, teknologi, tenaga boleh baharu serta rawatan air dan biojisim.
Perkembangan ini membuktikan keupayaan syarikat dalam meneroka potensi baharu selari dengan keperluan pasaran dan transformasi digital.
Sementara itu, Saiful Nizam berkata, kerjasama strategik bersama JC Logistics pula menambah nilai signifikan terhadap keseluruhan inisiatif ini, khususnya sebagai penghubung kepada pengeluar bahan binaan dari China dan sebagai rakan strategik yang menjamin kelancaran rantaian bekalan.
“Pemeteraian JVA ini bukan sekadar dokumen perundangan, sebaliknya mencerminkan keyakinan bersama dalam menjayakan transformasi sektor pembinaan negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal, dalam ucapannya berkata, inisiatif ini menjadi cerminan kepada komitmen serius dalam memperkukuh amalan kualiti dalam industri pembinaan.
Beliau turut menekankan peranan penting CIDB Holdings dalam pelaksanaan Akta 520 (Pindaan 2011), khususnya dalam memastikan hanya bahan binaan yang memenuhi standard dibenarkan digunakan di tapak binaan.
“Sebagai pelaksana teknikal, CIDB Holdings Sdn. Bhd. (CIDBH) berfungsi sebagai badan pengujian, pensijilan produk dan verifikasi bahan binaan sama ada dari dalam atau luar negara.
“Menerusi makmal yang diiktiraf ISO/IEC 17025 dan sistem pensijilan berdasarkan ISO/IEC 17065, CIDBH memastikan tahap keselamatan, kualiti dan integriti bahan binaan sentiasa terjamin,” katanya.

Lebih menarik, CIDBH kini sedang melaksanakan transformasi digital menerusi pelaksanaan platform ASSURE, satu sistem digital komprehensif yang merangkumi permohonan, pengujian, pensijilan dan pemantauan bahan binaan secara dalam talian.
“Sehingga kini, lebih 362 pemain industri telah menggunakan platform terbabit, yang bukan sahaja mempercepatkan proses tanpa keperluan interaksi fizikal, malah menjimatkan masa dan kos serta menyokong ketelusan pelaksanaan piawaian industri.
“CIDB dan CIDBH akan terus komited sebagai rakan teknikal yang telus dan proaktif, bagi menyokong pembangunan industri pembinaan negara ke arah yang lebih mampan, pintar dan bertanggungjawab,” katanya.
Kerjasama strategik ini membolehkan Menara Rezeki memanfaatkan platform ASSURE secara optimum dalam proses pengimportan bahan binaan yang lebih tersusun, menjimatkan kos, mengurangkan risiko kelewatan dan seterusnya meningkatkan mutu keseluruhan projek pembinaan.

Ini secara langsung dapat melonjakkan reputasi pemain tempatan di mata pelabur dan pengguna serta memacu Malaysia ke arah industri pembinaan yang lebih progresif dan profesional.
Dalam masa sama, keseluruhan inisiatif ini turut selari dengan aspirasi nasional seperti Dasar Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang menekankan adaptasi teknologi seperti AI, 5G dan IoT sebagai enjin pertumbuhan baharu negara.
Menutup ucapan, Saiful Nizam berkata, pihaknya berharap MoU dan JVA ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak projek kolaboratif berimpak tinggi pada masa akan datang.
Beliau berkata, Malaysia perlu memanfaatkan teknologi pembinaan terkini untuk berdiri setaraf dengan negara-negara maju dalam sektor ini, dengan kolaborasi seperti ini menjadi kunci utama kepada perubahan struktur industri pembinaan negara.





























