editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Suami kepada pengasas produk kecantikan terkenal Dnars, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad, iaitu Ahmad Shah Rizal Ibrahim menafikan dakwaan beliau telah mengambil atau menyembunyikan wang tunai berjumlah RM1.3 juta yang didakwa milik isterinya.
Ahmad Shah Rizal, 48, berkata, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak benar, malah boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai terhadap dirinya dan keluarga arwah.
Menurutnya, wang berkenaan kini berada dalam akaun bank pentadbir pusaka yang dikawal selia oleh pihak mahkamah dan tidak boleh disentuh oleh sesiapa, termasuk dirinya sendiri mahupun anak arwah, Mohamed Aqbar Hakim Jasman, yang turut dilantik sebagai pentadbir pusaka bersama.
“Wang itu adalah hasil usaha bersama saya dan Allahyarhamah semasa hayatnya. Bahkan saya sendiri secara sukarela telah mengisytiharkan keberadaan wang terbabit dalam mesyuarat keluarga selepas pemergiannya,” katanya pada sidang media maklum balas yang diadakan di sebuah kafe di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), hari ini.
Ahmad Shah Rizal berkata, wang RM1.3 juta itu telah dipindahkan ke dalam akaun pentadbir pusaka dalam tempoh empat hari bekerja selepas menerima kelulusan mahkamah, bagi memastikan segala urusan dilakukan secara telus dan mengikut undang-undang.
“Saya tidak ambil hak anak yatim seperti yang diwar-warkan. Tuduhan mengatakan saya makan harta anak yatim atau melarikan hak mereka adalah fitnah dan tohmahan tidak berasas,” katanya.

Ahmad Shah Rizal turut memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab serta boleh memesongkan fakta dan mengganggu proses mahkamah yang masih berjalan.
Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan peguam untuk memulakan tindakan undang-undang kali kedua terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan palsu bagi mempertahankan nama baik dan reputasi keluarganya.
“Saya sudah mengambil tindakan saman fitnah terhadap beberapa pihak pada tahun 2022, dan kes itu kini selesai dibicarakan.
“Kami hanya menunggu keputusan rasmi mahkamah yang dijangka diputuskan pada Januari 2026,” katanya.
Menurutnya, tindakan undang-undang susulan akan diambil bagi menghentikan mana-mana pihak daripada terus memanipulasi isu ini di media sosial untuk kepentingan peribadi atau promosi perniagaan.
Sementara itu, peguamnya Khairunnasriah Abdul Salam daripada tetuan Zaidah Abdul Salam & Co. berkata, proses pengagihan wang hanya boleh dimulakan selepas selesai perbicaraan kes harta sepencarian yang kini masih berlangsung di mahkamah.

“Segala-galanya perlu mengikut prosedur perundangan. Kita tunggu keputusan mengenai harta sepencarian dahulu sebelum isu RM1.3 juta itu boleh diputuskan. Setakat ini, tiada pihak dibenarkan menyentuh wang terbabit,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah dilaporkan telah mengarahkan Ahmad Shah Rizal memberikan penjelasan bertulis berhubung dakwaan kegagalan memulangkan wang RM1.3 juta seperti diperintahkan pada 13 Ogos lalu.
Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak menerima surat rasmi berkaitan arahan itu dan menegaskan wang berkenaan masih berada dalam simpanannya serta belum digunakan.
Untuk rekod, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad meninggal dunia pada 18 Mei 2019 selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand.
Dalam kejadian tragis pada bulan Ramadan itu, Faziani maut di lokasi akibat kecederaan parah, manakala suaminya cedera.
Pasangan itu dilaporkan dalam perjalanan ke sebuah rumah anak-anak tahfiz bagi menyampaikan sumbangan sebelum insiden berlaku.

