24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

PETRONAS Grand Prix Malaysia 2025 sasar 200,000 penonton dengan Festival EDM dan pengalaman peminat bertaraf dunia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Acara sukan bermotor paling berprestij di Malaysia, PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 (MotoGP™ Malaysia) kembali dengan penuh gaya, menjanjikan pengalaman luar biasa buat peminat tempatan dan antarabangsa.

Acara yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober 2025 ini menandakan tahun ke-34 penglibatan Malaysia dalam kalendar MotoGP™ dunia, serta edisi ke-26 yang dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (PETRONAS SIC), menjadikannya acara sukan antarabangsa yang paling lama dianjurkan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran seramai 200,000 penonton tahun ini, meningkat daripada 184,923 yang dicatat pada 2024.

“Setakat ini, 75 peratus daripada kapasiti tiket telah terjual. Tahun ini, kami memperkenalkan pelbagai penambahbaikan menarik untuk pengalaman peminat, termasuk festival muzik elektronik (EDM) pra-lumba yang julung kali diadakan.

“Selain itu, RM1 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong Program Pembangunan Sukan Permotoran, mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam melahirkan bakat baharu dan menganjurkan acara bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam ucapannya berkata, kepentingan MotoGP™ Malaysia sebagai lebih daripada sekadar acara sukan.

“Selama lebih tiga dekad, MotoGP™ Malaysia bukan sahaja menjadi tarikan permotoran, malah berperanan sebagai aset strategik negara yang memacu pelancongan, mencipta peluang pekerjaan, dan menyokong pembangunan belia.

“Inisiatif seperti Tiket Rahmah dan Rakan Muda Rakan Litar memperlihatkan usaha untuk menjadikan sukan permotoran lebih aksesibel, inklusif dan mampan,” katanya.

Menurutnya lagi, acara ini memberi pulangan pelaburan sebanyak 6.3 kali ganda dan menjana lebih RM329 juta impak ekonomi satu pencapaian besar yang memberi manfaat langsung kepada ekonomi dan masyarakat tempatan.

Malah, kejayaan pelumba muda seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan menjadi bukti bahawa Malaysia mampu melahirkan juara bertaraf dunia.

Sebagai menyokong agenda Malaysia MADANI, PETRONAS SIC meneruskan inisiatif Tiket Rahmah dengan menawarkan tiket K2 Hillstand pada harga mampu milik RM49.90 dan promosi “Beli 1 Percuma 1” untuk tempoh terhad selama 24 jam bermula jam 12 tengah hari pada 12 Ogos.

Buat pertama kali dalam sejarah MotoGP™ Malaysia, dua festival EDM berskala besar akan mendahului Race Week, hasil kerjasama dengan Hi-Five Entertainment dan Neon Projects.

Festival akan bermula pada 18 Oktober dengan penganjuran HARDTECH, diikuti oleh debut Malaysia bagi festival antarabangsa terkenal, Transmission Festival pada 19 Oktober, bertemakan “The Awakening”.

Kehadiran ribuan peminat antarabangsa dijangka menyemarakkan suasana dan memberikan lonjakan ekonomi serta budaya sebelum perlumbaan utama bermula.

Race Week secara rasminya akan bermula pada 21 Oktober dengan acara perarakan motosikal dan sesi bertemu peminat bersama pelumba di IOI City Mall, Putrajaya.

Acara lain yang dinantikan termasuk Public Pit Lane Walk, Sesi Autograf Pelumba, dan Night Track Tour pada 24 Oktober.

Menambahkan lagi kemeriahan ialah MotoGP™ Mega Carnival, yang menghimpunkan lebih 100 jenama gaya hidup dan permotoran terkemuka, pelbagai aktiviti mesra keluarga, makanan dan minuman, serta hiburan, menjadikan acara ini bukan sekadar perlumbaan, tetapi satu festival untuk semua lapisan umur.

Acara kegemaran seperti Rider Parade dan Hero Walk akan berlangsung pada 25 dan 26 Oktober.

Peminat bertuah juga berpeluang membawa pulang motosikal Aprilia RS457 bernilai RM33,900 melalui peraduan #MalaysianGP2025 Mega Lucky Draw yang dibuka khas kepada pemegang tiket Grandstand.

Selain itu, 6 pasangan hadiah penginapan eksklusif hotel turut ditawarkan melalui pertandingan media sosial bulanan, dengan pemenang diumumkan pada setiap hujung bulan.

Tiket kini boleh dibeli secara dalam talian di www.sepangcircuit.com dan orang ramai digalakkan mengikuti saluran media sosial rasmi untuk maklumat terkini, aktiviti sepanjang minggu perlumbaan, promosi serta peraduan menarik.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular