25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 21, 2026
Home Blog Page 53

STAR Team Maritim Malaysia cipta sejarah sertai kursus terjunan statik bersama PASKUB bomba

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia terus mencipta sejarah apabila dua pegawainya berjaya menamatkan Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air yang dikendalikan oleh Pasukan Khas Udara (PASKUB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kursus ini turut mendapat sokongan jurulatih bertauliah daripada Unit 69 Komando, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kursus intensif yang berlangsung selama hampir dua minggu bermula 10 Ogos lalu di Lapangan Terbang Lama, Tekah, Taiping, Perak, menghimpunkan seramai 15 peserta daripada pelbagai agensi keselamatan negara.

Selain dua wakil STAR Team, kursus ini turut disertai seorang pegawai dari Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM serta anggota-anggota PASKUB BOMBA.

Sepanjang tempoh latihan, peserta berjaya melaksanakan 13 penerjunan dari ketinggian 4,000 kaki menggunakan pesawat Mi-17-IV (M994-01) milik JBPM yang dikenali sebagai BOMBA 01, menjadi platform rasmi bagi latihan berkenaan.

Penyertaan ini adalah kali pertama STAR Team terbabit dalam kursus terjunan statik sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu.

Ia sekali gus menjadi pencapaian penting dalam usaha memperluas kepakaran udara serta memperkukuh keupayaan taktikal operator elit Maritim Malaysia dalam melaksanakan misi khas di perairan negara.

Antara individu yang menjadi perintis kepada penglibatan STAR Team dalam kursus ini termasuk Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril Mat Noor, serta Ketua Skuadron Gempur Sabah dan Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nik Muhamad Hafizan Nik Muhamad Zawawi.

Majlis pemakaian sayap kepakaran terjunan telah berlangsung dengan penuh simbolik dan penghormatan di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya.

Penyampaian pengiktirafan itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad sempena Majlis Perhimpunan Bulanan jabatan itu.

Bagi pihak Maritim Malaysia, acara bersejarah itu turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony yang hadir mewakili kepimpinan tertinggi agensi.

Kejayaan ini dilihat sebagai titik tolak kepada kerjasama strategik antara STAR Team Maritim Malaysia dan PASKUB JBPM, sekaligus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh profesionalisme serta kesiapsiagaan aset keselamatan negara dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman dan cabaran di medan sebenar.

Anugerah Worthy Wonder Women 2025 raikan kejayaan, kepimpinan dan sumbangan wanita Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam semangat memperingati Hari Wanita Kebangsaan, Anugerah Worthy Wonder Women 2025 telah diadakan baru-baru ini dengan menampilkan barisan wanita unggul yang telah memberikan impak besar kepada masyarakat dan negara.

Dianjurkan oleh ADLA Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Semarak Cinta Kasih (Spread Love), acara ini mengetengahkan tema “Celebrating Women’s Success”, sebagai penghormatan kepada kepimpinan, ketabahan dan inspirasi wanita dari pelbagai lapisan masyarakat.

Pengasas ADLA Group Sdn. Bhd. merangkap penganjur anugerah, Datin Dr. Leez Hassan berkata, penganjuran ini menekankan misi untuk menghargai “kekuatan yang tenang, daya tahan harian dan kepimpinan yang sering tidak kelihatan namun signifikan.

Menurutnya, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu peringatan bahawa suara, sumbangan dan kehadiran wanita wajar diberi ruang, dihormati dan diperkasakan dalam semua sektor.

“Kita tidak hanya membawa pulang kenangan dan gambar, tetapi juga membawa pulang komitmen baharu untuk terus menyokong, membimbing dan mencipta ruang bagi wanita agar mereka dapat berkembang serta menyumbang secara maksimum dalam semua aspek kehidupan,” katanya.

Hadir menyerikan majlis, Pengerusi LPPKN dan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.

Menerusi ucapannya, Rohani turut menyentuh peranan penting wanita dalam pembangunan negara, sebelum dianugerahkan Worthy Woman Icon sebagai pengiktirafan terhadap perjuangan beliau dalam memperkasakan keluarga dan masyarakat, serta menjulang isu-isu berkaitan keterangkuman sosial dan kebajikan wanita.

Rohani berkata, Hari Wanita Kebangsaan, yang disambut setiap 25 Ogos, bukan sekadar satu tarikh simbolik, tetapi sebuah pengiktirafan nasional terhadap ketahanan, pencapaian dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang sosial, ekonomi, budaya dan politik.

Beliau turut menyeru agar masyarakat terus memberi ruang dan peluang kepada wanita untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membina masa depan negara.

Anugerah Worthy Wonder Women 2025 turut memberi penekanan terhadap kesinambungan usaha pemerkasaan wanita melalui pelbagai inisiatif jangka panjang yang digerakkan oleh ADLA Group dan Persatuan Semarak Cinta Kasih.

Antaranya termasuklah Women Mentoring Network, Women Wellness Wellbeing, Women Lifestyle Brunch, Voice of Change, Lady Boss Retreat, dan International Work-Life Balance Forum (IWLBF).

Kesemua platform ini diwujudkan untuk menyokong pembangunan kepimpinan, kesejahteraan emosi, kesihatan menyeluruh, serta jaringan sokongan dalam kalangan wanita dari pelbagai peringkat kerjaya dan kehidupan.

Acara berkenaan juga turut menyediakan ruang untuk inspirasi dan keterhubungan.

Sesi perkongsian berimpak oleh Dr. Soo Wincci bertajuk “The Beauty of the Heart” membuka wacana tentang kepimpinan yang lahir daripada hati dan nilai kemanusiaan, manakala sesi diskusi bertajuk “The Power of Being a Worthy Woman” menampilkan tokoh-tokoh berpengaruh seperti DCP (B) Dato’ Fatimah Abdul Hamid dan Dato’ Freida Mohd Pilus, yang berkongsi cabaran dan kekuatan dalam kepimpinan wanita.

Tayangan multimedia “Celebrating Our Journey (WOMEN)” pula menjadi sorotan istimewa acara, menampilkan perjalanan kolektif wanita Malaysia yang telah mengorak langkah berani dalam pelbagai bidang dan komuniti.

Kemuncak majlis adalah penyampaian anugerah kepada sepuluh penerima wanita cemerlang yang dipilih berdasarkan sumbangan tulen, impak kepada masyarakat, dan komitmen kepada pembangunan insan.

Seiring dengan tema keseimbangan kehidupan dan kerjaya, acara ini turut menyaksikan pelancaran rasmi International Work Life Balance Forum 2025 (IWLBF 2025) yang dijadualkan berlangsung pada 8 November 2025 di Corus Hotel KLCC.

Bertemakan “Beyond Balance: Building Resilient People and Responsible Businesses”, forum ini bakal menampilkan perbincangan mengenai strategi lestari dalam membina individu dan organisasi yang seimbang, berdaya tahan dan beretika.

Anugerah Worthy Wonder Women 2025 sekali lagi membuktikan bahawa apabila wanita diberi ruang untuk bersinar, seluruh masyarakat akan turut sama bersinar.

Ia bukan sahaja meraikan kejayaan, tetapi juga memperingati kekuatan dalaman, keberanian, dan belas ihsan wanita melalui nilai-nilai yang terus membentuk keluarga, komuniti dan masa depan negara.

Demonstrasi Maritim Malaysia jadi tarikan utama program sua mesra KDN di Bandar Baharu

editormaxinfo@gmail.com

BANDAR BAHARU – Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bakal berlangsung di Dataran Bandar Baharu, Kedah pada 23 Ogos ini dijangka menarik perhatian ramai dengan aksi berani anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Demonstrasi maritim itu dirancang sebagai tarikan utama acara, memperlihatkan kecekapan dan profesionalisme anggota pasukan dalam menjalankan operasi penyelamatan dan penguatkuasaan.

Dalam pertunjukan yang menarik itu, orang ramai akan berpeluang menyaksikan sendiri kehebatan STAR Team melakukan terjunan dari helikopter AS365N3 Dauphin milik Maritim Malaysia ke sungai di Bandar Baharu, sebelum meluncur menggunakan jetski yang telah disediakan di permukaan air.

Selain itu, pasukan perenang penyelamat atau rescue swimmer juga akan mempamerkan aksi dramatik mereka dalam misi menyelamat mangsa di air dengan bantuan pesawat yang sama, menonjolkan tahap ketangkasan dan keberanian pasukan dalam situasi kecemasan.

Selain demonstrasi maritim yang memukau, pengunjung yang hadir ke program Sua Mesra turut berpeluang menikmati pelbagai perkhidmatan mesra rakyat yang disediakan oleh beberapa agensi di bawah KDN.

Antaranya termasuklah tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kemudahan perkhidmatan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia, serta bas MEKAR yang disediakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan Scam Alert daripada PDRM sebagai usaha mempertingkatkan kesedaran dan keselamatan dalam masyarakat.

Program ini turut menyediakan aktiviti-aktiviti yang dekat dengan kehidupan harian masyarakat setempat.

Antaranya adalah program Jom Exchange Al-Quran, jualan produk oleh Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), serta khidmat gunting rambut percuma yang diadakan oleh anggota RELA.

Selain itu, suasana kemeriahan acara turut diperhebatkan dengan persembahan pancaragam dari Maritim Malaysia yang memeriahkan suasana.

Sua Mesra bukan sekadar acara pameran dan pertunjukan semata-mata, malah ia berperanan sebagai jambatan untuk mempereratkan hubungan antara rakyat dengan agensi keselamatan negara.

Program ini juga menjadi bukti usaha berterusan kerajaan dalam mendekati masyarakat dan memberi perkhidmatan secara langsung di lapangan.

Majlis perasmian Program Sua Mesra di Bandar Baharu ini dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman serta barisan ketua jabatan di bawah kementerian berkenaan.

Program akan bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada 5 petang. Ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan kemasukan adalah percuma.

Dengan pelbagai aktiviti menarik dan perkhidmatan yang disediakan, Program Sua Mesra di Bandar Baharu pastinya menjadi satu platform bermakna untuk rakyat mengenali dan menghargai peranan penting agensi keselamatan negara dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat.

Konsep doktor sosial bantu tangani isu masyarakat secara holistik

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Konsep doktor sosial dilihat mampu menjadi pemangkin baharu dalam usaha menangani pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat pada masa kini, sama ada membabitkan aspek sosial, ekonomi mahupun pembangunan kemahiran.

Menurut Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, doktor sosial bukan merujuk kepada pengamal perubatan seperti yang difahami umum, sebaliknya membawa maksud individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan berperanan membantu komuniti melalui pelbagai bentuk sumbangan sama ada secara sukarelawan mahupun menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Tambahnya, konsep ini membuka ruang kepada profesional, pengamal teknikal dan pakar dalam pelbagai bidang untuk menyumbang kepakaran mereka secara langsung kepada masyarakat, khususnya dalam menyelesaikan isu-isu setempat yang berlarutan.

“Sebagai contoh, jika masyarakat di luar bandar berdepan kesukaran dalam memasarkan produk tempatan, seorang doktor sosial yang mahir dalam bidang pemasaran boleh tampil membantu mereka membina strategi yang berkesan.

“Begitu juga anak-anak muda yang tidak memiliki kemahiran membaiki motosikal atau basikal, boleh dibimbing melalui bengkel atau kelas yang dikendalikan oleh individu berkemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Dialog Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Majlis Penasihat Industri Politeknik (MPIP) 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, pendekatan doktor sosial juga amat relevan dalam konteks pendidikan, khususnya dalam memperkukuhkan kefahaman pelajar terhadap subjek yang sukar difahami.

Justeru, tenaga akademik dari institusi pengajian tinggi disaran turun padang berkongsi ilmu serta kepakaran bersama komuniti luar kampus.

Jelas beliau, langkah itu bukan sahaja dapat membantu pelajar, malah mampu menghapuskan persepsi bahawa universiti wujud sebagai sebuah ‘pulau’ yang terasing daripada masyarakat sekeliling.

“Sekiranya setiap universiti memainkan peranan mereka secara aktif, masalah yang membelenggu masyarakat dapat ditangani dengan lebih cepat dan efektif.

“Kepakaran ratusan ahli akademik dalam pelbagai bidang yang terdapat di universiti wajar digembleng, bukannya hanya bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata,” katanya.

Tambahnya, penglibatan secara langsung institusi pengajian tinggi dalam agenda pembangunan sosial negara perlu diterjemahkan menerusi inisiatif konkrit, agar kepakaran yang dimiliki tidak hanya terhimpun di dalam bilik kuliah, tetapi dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan masyarakat.

Malaysia ketika ini memiliki 20 universiti awam dan lebih 300 institusi pengajian tinggi swasta.

Jika semua pihak berganding bahu dan menggembleng kepakaran yang ada, negara diyakini mampu melahirkan lebih ramai doktor sosial yang berfungsi sebagai agen perubahan sosial secara menyeluruh.

“Dengan jumlah pakar yang begitu ramai di universiti, kita tidak seharusnya mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan pelbagai isu masyarakat, baik dari segi ekonomi, sosial mahupun pendidikan.

“Peranan melahirkan doktor sosial tidak harus diletakkan di bahu kerajaan sahaja. Tanggungjawab ini perlu dikongsi bersama oleh institusi pendidikan tinggi, sektor swasta dan individu berkemahiran yang prihatin terhadap pembangunan negara,” katanya lagi.

Konsep doktor sosial ini, jika dilaksanakan secara meluas dan sistematik, berupaya menjadi pendekatan baharu dalam memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi ilmu dan masyarakat, sekali gus membawa Malaysia ke arah pembentukan sebuah masyarakat berpengetahuan, inklusif dan sejahtera.

Teleskop Angkasa Lepas James Webb temui bulan ke-29 Uranus

editormaxinfo@gmail.com

WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) mengumumkan penemuan penting dalam bidang astronomi apabila Teleskop Angkasa Lepas James Webb (JWST) berjaya mengesan sebuah satelit semula jadi baharu yang mengorbit planet Uranus.

Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan bulan Uranus kini meningkat kepada 29.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, satelit baharu yang buat sementara waktu dikenali sebagai S/2025 U1 itu ditemui oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Southwest Research Institute (SwRI) semasa pemerhatian menggunakan teleskop James Webb pada 2 Februari 2025.

S/2025 U1 dianggarkan mempunyai diameter hanya sekitar 10 kilometer, menjadikannya antara bulan terkecil yang mengorbit Uranus.

Disebabkan saiznya yang kecil dan jaraknya yang jauh dari planet berkenaan kira-kira 56,000 kilometer ia tidak dapat dikesan oleh kapal angkasa Voyager 2 milik NASA yang menghampiri Uranus pada tahun 1986.

NASA memaklumkan satelit baharu ini akan diberikan nama rasmi dalam masa terdekat, selaras dengan tradisi penamaan bulan Uranus sempena watak-watak dalam karya sastera oleh William Shakespeare dan Alexander Pope.

Penemuan ini menandakan satu lagi kejayaan besar bagi teleskop James Webb, yang terus memperkukuh peranannya sebagai instrumen utama dalam meneroka sistem suria dan memahami struktur kosmos secara lebih terperinci.

Selain menyumbang kepada penambahan data tentang Uranus planet yang sering kurang diberi perhatian berbanding gergasi gas lain ia juga memperlihatkan potensi sebenar teleskop angkasa generasi baharu dalam menyelongkar rahsia alam semesta. -Agensi

Astro lancar kempen ‘One for the Fans’ sempena musim Liga Perdana Inggeris 2025/26

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Saingan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26 menjanjikan pengalaman spektakular kepada peminat bola sepak di Malaysia apabila Astro memulakan musim ini dengan semangat baharu melalui kempen “One for the Fans” penghormatan sepanjang musim kepada peminat setia yang menjadikan setiap perlawanan satu detik berharga.

Kempen ini bukan sekadar slogan. Ia adalah wujudnya komitmen Astro untuk membawa EPL lebih dekat ke hati peminat dengan menyediakan akses menyeluruh kepada semua 380 perlawanan secara langsung melalui Astro, sooka dan NJOI, lengkap dengan liputan serba lengkap, analisis pakar, serta beberapa perlawanan penting dalam format 4K UHD. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Euan Smith berkata, peminat bola sepak di Malaysia adalah antara yang paling bersemangat di dunia.

Katanya, di bawah kempen ini, setiap gol adalah kenangan, setiap perlawanan adalah kisah yang dikongsi bersama dan setiap musim adalah peluang untuk merayakan semangat bola sepak di setiap pelusuk Tanah Air.

“Pemain bukan lagi fokus utama sahaja kini giliran peminat untuk dipaparkan dalam sorotan dan pengalaman yang diraikan oleh Astro,” katanya.

Menyedari bahawa bola sepak hidup bukan hanya di padang, Astro menjalinkan pengalaman bersama peminat melalui acara tontonan bersama dan acara komuniti.

Contohnya, sambutan awal musim menyaksikan lebih 400 peminat berkumpul di Strand Mall bagi menyaksikan perlawanan antara Arsenal dan Manchester United.

Suasana meriah, lengkap dengan suasana “stadium” melalui skrin besar, permainan interaktif, sorakan bersemangat, malah kehadiran selebriti dan bekas pemain terkenal menyulami malam tersebut dengan kenangan yang sukar dilupakan.

Tidak terhenti di situ, peminat turut berpeluang memenangi hadiah eksklusif seperti barangan edisi khas, pengalaman istimewa pada hari perlawanan, dan juga peluang ke United Kingdom untuk menyaksikan perlawanan secara langsung ini sebagai tanda penghargaan Astro kepada mereka yang menjadikan setiap perlawanan lebih bermakna.

Astro tidak bergerak sendiri dalam usaha ini. Mereka mendapat sokongan berterusan daripada penaja rasmi musim ini seperti Wonda Coffee, Zetrix oleh MYEG dan YES, yang bersama-sama berkongsi visi menyampaikan hiburan sukan bertaraf tinggi kepada rakyat Malaysia.

Di samping itu, Astro mengambil inisiatif memastikan bahawa pengalaman menonton EPL adalah mudah dan mesra pengguna.

Ini membolehkan peminat menikmati semua perlawanan melalui servis Astro GO di pelbagai peranti dari televisyen, telefon pintar sehingga ke tablet menjadikan peluang untuk menonton EPL lebih fleksibel dan dapat diakses di mana-mana sahaja.

Menangi siri HUAWEI Pura 80 dan pelbagai hadiah menarik dalam Pertandingan Fotografi Global HUAWEI XMAGE Awards 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peluang luar biasa menanti pengguna telefon pintar HUAWEI apabila HUAWEI XMAGE Awards kembali untuk edisi kelapan, membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk menyerlahkan kreativiti dan bakat bercerita mereka menerusi lensa fotografi mudah alih.

Pertandingan berprestij ini, yang dibuka secara eksklusif kepada pengguna telefon pintar HUAWEI, bertujuan meraikan kekuatan ekspresi visual melalui tema The Power of Image, yang mengangkat peranan fotografi sebagai medium merentasi sempadan dan bahasa dalam menyampaikan kisah yang menghubungkan dan menginspirasi.

Tahun ini, pertandingan ini memperkenalkan gabungan kategori baharu dan kegemaran ramai, antaranya So Far So Close, Good Night, dan Colour & Shade, di samping kategori ikonik seperti Faces, A Heartwarming World, Experimental Lab, Storyboard, dan Action.

Setiap kategori memberi peluang kepada peserta untuk meneroka gaya fotografi tersendiri, sama ada merakam emosi halus, mencipta naratif visual, mahupun menghasilkan karya eksperimental yang segar.

Seperti tahun-tahun terdahulu, tiga pemenang Hadiah Utama akan menerima Dana Cipta bernilai USD 10,000 setiap seorang, manakala 97 lagi penyertaan yang tersenarai dalam XMAGE Top 100 bakal membawa pulang USD 1,500 setiap satu.

Semua pemenang turut menerima sijil digital dan karya mereka akan dipamerkan dalam pelbagai platform dan pameran antarabangsa anjuran HUAWEI.

Menariknya, pengguna di Malaysia turut berpeluang memenangi hadiah eksklusif menerusi XMAGE Awards Malaysia 2025: The Power of Image.

Hadiah utama berupa sebuah HUAWEI Pura 80 Ultra bernilai RM6,599 beserta trofi, manakala pemenang tempat kedua akan menerima HUAWEI Pura 80 Pro bernilai RM4,599.

Hadiah lain termasuk HUAWEI FreeBuds 6 dan HUAWEI WATCH FIT 4 untuk pemenang tempat ketiga dan anugerah penghargaan.

Pertandingan ini kini dibuka dan berlangsung sehingga 15 September 2025.

Penyertaan boleh dihantar melalui media sosial dengan mengikuti akaun rasmi @huaweimobilemy di Instagram atau Facebook dan memuat naik gambar atau video yang diambil menggunakan telefon pintar HUAWEI dengan kapsyen mengandungi tanda pagar #HUAWEIXMAGEMY.

Akaun mestilah terbuka kepada umum untuk melayakkan penyertaan.

Selain itu, penyertaan juga boleh dihantar melalui platform HUAWEI Community Malaysia, di mana sejumlah 34 pemenang akan dipilih merentas pelbagai saluran rasmi HUAWEI termasuk Facebook dan Instagram.

Semua penyertaan dari komuniti Malaysia ini akan diselaraskan secara automatik ke laman web Global XMAGE Awards, membolehkan peserta bertanding untuk hadiah di peringkat antarabangsa.

Senarai pemenang XMAGE Awards Malaysia 2025 akan diumumkan di laman rasmi Facebook @huaweimobilemy dan dihubungi secara langsung oleh pihak HUAWEI Malaysia untuk urusan penebusan hadiah.

Untuk maklumat lanjut mengenai garis panduan penyertaan, penerangan kategori, dan kriteria penjurian, peserta digalakkan melayari laman rasmi HUAWEI XMAGE Awards.

Tampil Hebat Bersama Siri HUAWEI Pura 80

Bagi peserta yang ingin menyerlahkan potensi terbaik mereka dalam pertandingan ini, siri HUAWEI Pura 80 khususnya model Pro dan Ultra menawarkan keupayaan fotografi canggih untuk pelbagai senario.

Dilengkapi teknologi penderia termaju, prestasi unggul dalam pencahayaan rendah dan mod penggambaran pintar, siri ini menyediakan alat penting untuk merakam detik-detik penting yang boleh menawan hati juri pertandingan.

Sama ada untuk kategori Faces, Experimental Lab atau A Heartwarming World, HUAWEI Pura 80 Pro dan Ultra membolehkan pengguna menghasilkan imej berkualiti tinggi yang berpotensi besar untuk dinobatkan sebagai karya terbaik dalam HUAWEI XMAGE Awards 2025.

Untuk syarat dan terma penuh pertandingan, lawati laman web rasmi HUAWEI XMAGE Awards.

CIMB perkukuh komitmen sosial melalui lagu “Bangun, Kita Bagi Jadi” sempena sambutan Kemerdekaan ke-68

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuh peranannya sebagai institusi yang bukan sahaja berfungsi dalam sektor kewangan tetapi juga sebagai pemangkin perubahan sosial, CIMB Bank Berhad (CIMB) tampil dengan inisiatif terbaharu melalui gerakan sosial “Kita Bagi Jadi”, selari dengan matlamat korporatnya iaitu Memperkasakan Pelanggan dan Masyarakat (Advancing Customers and Society).

Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68, CIMB mempersembahkan satu projek istimewa berupa muzik video berjudul “Bangun, Kita Bagi Jadi”, hasil kolaborasi dengan penyanyi rap negara, Aman RA.

Lagu ini adalah versi baharu kepada karya asal “Bangun” yang telah sekian lama dikenali sebagai simbol semangat dan daya juang.

Pembikinan semula ini bukan sahaja menyuntik nafas baharu kepada karya terbabit, malah turut mencerminkan nilai-nilai ketahanan, harapan dan solidariti rakyat Malaysia yang diangkat melalui kempen ini.

Video muzik itu mengetengahkan gabungan dua figura yang sinonim dengan semangat tidak mudah menyerah Aman RA dan ikon Olimpik negara, Dato’ Azizulhasni Awang.

Naratif video memaparkan kisah-kisah perjuangan dan kejayaan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang termasuk usahawan, pelajar, serta artis muda yang telah menerima impak positif hasil sokongan program dan produk CIMB.

Kesemua kisah ini disatukan dalam satu mesej utama tiada cabaran yang terlalu besar jika wujud tekad dan keyakinan bahawa segalanya boleh menjadi kenyataan.

Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman berkata, muzik dan sukan telah lama menjadi medium penyatuan masyarakat, dan melalui pendekatan ini, CIMB mahu mendekati rakyat dengan cara yang lebih bermakna.

“Kita Bagi Jadi adalah ekspresi kreatif matlamat kami. Pada peringkat awal kempen, kami menyokong jaguh sukan negara seperti S. Sivasangari, Dato’ Azizulhasni dan terbaharu Amer Harris dalam merealisasikan impian mereka.

“Kini, melalui lagu dan kolaborasi ini, kami harap rakyat Malaysia terus mengingati bahawa semangat juang dan ketahanan adalah kunci untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, CIMB turut menekankan peranannya dalam memperkasa sektor budaya dan seni tempatan melalui platform CIMB Artober satu inisiatif yang bukan hanya meraikan seni, tetapi juga memberi kesan langsung kepada ekonomi kreatif negara.

Sehingga kini, platform berkenaan telah menjana lebih RM20 juta hasil jualan, memberi manfaat kepada lebih 100 artis dari Malaysia dan rantau ini.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar ini, CIMB Artober kini diiktiraf sebagai program rasmi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN 2025, mengangkat Malaysia sebagai pusat pertukaran budaya dan kreativiti serantau.

Edisi tahun ini dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025, dengan penyertaan lebih 20 galeri seni dan 100 orang seniman.

Salah satu tarikan utama adalah pameran eksklusif karya ‘belum pernah dipamerkan’ milik tokoh seni negara, Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein.

Melangkah ke hadapan, CIMB turut mengukuhkan impaknya di peringkat akar umbi menerusi pelancaran Kita Bagi Jadi Komuniti, sebuah komitmen jangka panjang bernilai RM200 juta untuk tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030.

Dana ini bertujuan menyokong komuniti yang kurang mendapat akses, merapatkan jurang sosial dan ekonomi, serta memupuk pertumbuhan inklusif yang tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang.

Melalui pendekatan holistik di bawah empat teras utama Komuniti, Produk & Penyelesaian Mesra Pelanggan, Kerjasama Jenama, serta Budaya & Seni CIMB membuktikan bahawa institusi kewangan juga mampu menjadi kuasa penggerak kepada perubahan positif dalam masyarakat.

Gerakan Kita Bagi Jadi bukan sekadar kempen, tetapi satu cerminan iltizam CIMB untuk bersama-sama rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran dan mengejar impian.

Gunung Lewotobi meletus, Indonesia keluarkan amaran penerbangan tahap tertinggi

editormaxinfo@gmail.com

JAKARTA – Gunung Lewotobi, salah sebuah gunung berapi aktif di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, kembali menunjukkan aktiviti berbahaya apabila meletus beberapa kali pada Isnin, sekali gus mencetuskan amaran penerbangan tahap tertinggi oleh pihak berkuasa.

Letusan yang berlaku dilaporkan menghamburkan awan panas dan abu tebal sehingga setinggi lapan kilometer ke ruang udara.

Kepulan asap berwarna kelabu pekat dilihat bergerak ke arah barat dan barat laut, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan serta penduduk yang berada berdekatan kawasan berisiko.

Susulan letusan itu, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia telah menaikkan Notis Pemerhatian Gunung Berapi untuk Penerbangan (VONA) ke tahap amaran tertinggi, iaitu merah.

Tahap ini bermaksud kawasan sekitar gunung terbabit kini diisytihar berbahaya untuk penerbangan dan semua pesawat dilarang terbang pada ketinggian bawah enam kilometer di zon berkenaan.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran kepada juruterbang agar berwaspada terhadap kewujudan abu gunung berapi di udara, kerana partikel halus ini mampu menjejaskan operasi enjin pesawat serta mengurangkan jarak penglihatan secara drastik dua faktor kritikal dalam aspek keselamatan penerbangan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, semua aktiviti manusia dalam radius tujuh kilometer dari kawah gunung berapi itu telah diarahkan dihentikan serta-merta.

Larangan ini membabitkan penduduk tempatan, pelancong, pendaki dan mana-mana pengunjung yang berada di kawasan sekitar, demi memastikan keselamatan nyawa orang awam terus terjamin.

Dalam kenyataan lanjut, PVMBG turut mengingatkan komuniti yang tinggal di lereng Gunung Lewotobi agar berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya banjir lahar, terutamanya ketika musim hujan.

Fenomena itu berpotensi berlaku apabila hujan lebat membawa bersama serpihan dan abu panas dari puncak gunung, menyebabkan limpahan sungai yang boleh merosakkan kediaman dan memutuskan laluan keluar masuk.

Gunung Lewotobi, yang memiliki ketinggian 1,584 meter dari paras laut, adalah salah satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia sebuah negara yang terletak di dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik, menjadikannya antara wilayah paling aktif secara geologi di dunia.

Pihak berkuasa kini terus memantau rapi perkembangan aktiviti gunung berkenaan dan menyeru semua pihak agar mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan, termasuk larangan memasuki zon bahaya dan mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi. -Agensi