editormaxinfo@gmail.com
TOKYO – Di sebalik pakaian kerja sederhana dan rutin membersihkan kawasan awam, tidak siapa menyangka seorang lelaki berusia 56 tahun di Tokyo sebenarnya seorang jutawan.
Namun bagi Koichi Matsubara, kekayaan bukanlah ukuran kebahagiaan, sebaliknya kesihatan, kedamaian jiwa dan kehidupan yang sederhana menjadi pilihannya.
Matsubara yang memperoleh kira-kira 30 juta yen setahun (sekitar RM960,000) daripada hasil sewaan hartanah serta pelaburan bijak dalam saham dan dana, tetap memilih untuk bekerja sambilan sebagai pencuci bangunan di ibu kota Jepun.
Meskipun hanya dibayar sekitar 100,000 yen (RM3,300) sebulan jauh lebih rendah daripada purata gaji bulanan di Tokyo beliau tidak pernah melihat tugas itu sebagai beban, malah menganggapnya sebagai satu bentuk terapi harian.
“Setiap pagi saya bangun, membersih dan mengemas. Ia membuatkan saya rasa sangat baik,” katanya ketika ditemu bual oleh portal The Gold Online.
Beliau bekerja selama empat jam sehari, tiga kali seminggu, membersihkan kawasan awam serta melakukan penyelenggaraan ringan di sebuah kompleks kediaman.
Baginya, kerja fizikal ringan itu bukan soal wang, tetapi cara untuk kekal aktif secara mental dan fizikal, selain menghindari tekanan hidup yang sering membelenggu warga kota.
Matsubara membesar dalam sebuah keluarga ibu tunggal yang serba sederhana.
Dari usia muda, beliau sudah terbiasa dengan gaya hidup berjimat-cermat. Seusai tamat sekolah menengah, beliau bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan bulanan sekitar 180,000 yen (RM5,900).
Namun dalam tempoh hanya beberapa tahun, hasil disiplin menyimpan wang, beliau berjaya mengumpul hampir 3 juta yen (RM98,000).
Jumlah itu digunakan untuk membeli sebuah unit studio kecil ketika pasaran hartanah berada pada tahap rendah.
Keputusan itu menjadi titik tolak kepada perubahan hidupnya. Dengan strategi pelaburan yang berhemah dan fokus jangka panjang, beliau berjaya melangsaikan hutang awal dan menambah unit hartanah secara berperingkat sehingga kini memiliki tujuh unit rumah sewa di sekitar Tokyo dan kawasan pinggir bandar.
Hari ini, Matsubara mempunyai portfolio aset bernilai jutaan ringgit, menjadikan beliau sebagai antara ‘jutawan senyap’ Jepun golongan kaya yang tidak menunjuk-nunjuk atau menjalani gaya hidup mewah.
Berbeza dengan tanggapan umum terhadap golongan berada, Matsubara memilih untuk hidup sederhana.
Beliau menyewa sebuah rumah kecil, memasak sendiri setiap hari, tidak membeli pakaian baharu sejak lebih 10 tahun dan menggunakan telefon pintar asas tanpa aplikasi mewah.
Sebagai pengangkutan harian, beliau lebih gemar berbasikal berbanding memandu kereta atau menaiki pengangkutan awam.
Walaupun mampu bersara lebih awal, Matsubara memilih untuk terus bekerja secara ringan dan aktif sehingga usia 60 tahun, iaitu umur rasmi persaraan di Jepun.
Baginya, kerja sebagai pencuci bangunan memberikan makna dan struktur kepada kehidupan harian, di samping menjauhkan diri daripada gaya hidup konsumtif.
“Saya tidak mahu menunjuk kekayaan. Saya hanya mahu hidup tenang dan sihat,” katanya, sambil menegaskan tujuan hidupnya bukan untuk bersaing dengan orang lain, tetapi untuk hidup dalam batas keperluan dan kebahagiaan sebenar.
Kisah Matsubara menjadi inspirasi di negara matahari terbit itu, membuktikan bahawa kekayaan bukan semestinya dipamerkan.
Sebaliknya, disiplin kewangan, kesederhanaan dan nilai-nilai hidup sihat adalah kunci sebenar kepada kebahagiaan jangka panjang. -Agensi

