27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 43

Klook dedah trend “Coolcation”: Percutian sejuk jadi pilihan utama hujung tahun ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Platform pelancongan dan pengalaman global terkemuka, Klook, mendedahkan fenomena baharu dalam dunia pelancongan menjelang hujung tahun ini trend yang digelar “Coolcation”, iaitu kecenderungan pelancong memilih destinasi percutian yang sejuk, sama ada dari segi iklim mahupun gaya hidup.

Menurut data Klook, semakin ramai pelancong memilih untuk menamatkan tahun mereka dengan pengalaman yang menyegarkan sama ada menikmati salji sebenar di pergunungan bersalji atau mencari suasana yang “cool” dari segi budaya, sosial dan estetika.

Fenomena ini mencerminkan perubahan ketara dalam cara pelancong moden mentafsirkan erti “percutian hujung tahun”.

Destinasi Bersalji Jadi Tarikan Utama

Bagi mereka yang ingin merasai keindahan musim sejuk sebenar, Jepun, Korea Selatan, dan Switzerland muncul sebagai destinasi pilihan paling popular di platform Klook.

Jepun kekal di tangga teratas sebagai destinasi musim sejuk paling digemari, menawan hati pelancong dengan bandar onsen yang ikonik, festival salji berwarna-warni serta sajian musim sejuk yang menggamit selera.

Peningkatan minat terhadap aktiviti ski di Jepun amat ketara, dengan Klook mencatatkan lonjakan 131 peratus dalam tempahan lawatan ski oleh pelancong Malaysia berbanding tahun lalu.

Sementara itu, Korea Selatan menawarkan keseimbangan sempurna antara keseronokan dan kehangatan.

Resort ski bertaraf dunia, taman tema musim sejuk, serta hidangan tradisional seperti rebusan panas Korea menjadikan negara ini destinasi serba lengkap bagi pelancong yang mencari pengalaman musim sejuk yang selesa.

Di Eropah pula, Switzerland mengekalkan reputasinya sebagai destinasi musim sejuk klasik dengan landskap alpine yang memukau, pasar Krismas yang meriah dan chalet kayu yang selesa di celah-celah puncak bersalji.

Negara ini terus menjadi pilihan bagi mereka yang mahu menikmati keindahan musim sejuk Eropah yang elegan dan abadi.

Destinasi Tropika yang Tetap “Sejuk”

Menariknya, bagi pelancong dari Asia Tenggara yang memilih untuk kekal di kawasan tropika, data Klook menunjukkan peningkatan minat terhadap aktiviti dan pengalaman yang menawarkan suasana lebih “sejuk” baik dari segi suasana mahupun aktiviti.

Antara pilihan popular termasuk pelayaran sungai di Singapura dan Thailand, pengembaraan alam semula jadi di Indonesia dan Filipina, serta aktiviti malam seperti lawatan berpandu, glamping dan penerokaan istana bersejarah selepas matahari terbenam.

Bagi mereka yang mahu merasai “musim sejuk sebenar” tanpa meninggalkan Asia Tenggara, Sapa di utara Vietnam muncul sebagai destinasi unik.

Dikenali dengan sawah padi bertingkat dan pemandangan berkabus, Sapa bertukar menjadi “dunia ajaib musim sejuk” antara Disember hingga Februari, dengan kemungkinan salji nipis yang menjadikan suasananya luar biasa bagi rantau tropika.

“Sejuk” dari Segi Sosial: Destinasi Baharu Jadi Tumpuan

Klook turut mendedahkan peningkatan minat terhadap destinasi yang dianggap “sejuk” dari segi sosial iaitu tempat-tempat unik dan autentik yang masih belum sesak dengan pelancong.

Antara destinasi yang mencatat lonjakan tertinggi dalam tempahan termasuk:

  • Lijiang, China (+463%) — bandar lama yang menawan di kaki pergunungan Himalaya, terkenal dengan budaya Naxi dan pemandangan Gunung Jade Dragon yang bersalji.
  • Chiang Rai, Thailand (+241%) — destinasi penuh seni dan budaya dengan kuil putih, biru dan hitam yang ikonik serta pemandangan pergunungan yang damai.
  • Phu Quoc, Vietnam (+95.8%) — pulau tropika mempesona di Teluk Thailand dengan pantai biru kehijauan, pasar malam meriah dan pengalaman eko-mewah yang kian berkembang.

China: Gabungan “Sejuk” dari Segi Iklim dan Budaya

China menonjol sebagai destinasi yang memenuhi kedua-dua makna “sejuk” dari landskap ais di Harbin hingga komuniti seni kontemporari di Shanghai.

Polisi bebas visa yang diperluas serta peningkatan sambungan penerbangan antarabangsa menjadikan perjalanan ke China lebih mudah berbanding sebelum ini.

Klook turut mencatatkan peningkatan ketara dalam jualan China Rail Pass dan tempahan lawatan peribadi, menandakan minat yang semakin tinggi terhadap penerokaan destinasi yang kurang dikenali di negara itu.

Kemudahan Perjalanan Antara Destinasi Semakin Mudah

Selain pilihan destinasi, pelancong kini semakin memilih pas pengangkutan pelbagai destinasi yang memudahkan perjalanan antara bandar dan negara.

Antara yang paling popular termasuk Swiss Travel Pass, yang membolehkan pelancong menikmati perjalanan tanpa had menaiki kereta api, bas dan bot ke lokasi utama seperti Zurich, Lucerne dan Gunung Titlis, serta akses percuma ke lebih 500 muzium di seluruh Switzerland.

Jualan Eurail Pass turut meningkat, menawarkan perjalanan tanpa had merentasi 33 bandar utama Eropah.

Dalam masa yang sama, permintaan terhadap perjalanan rel berkelajuan tinggi di China, Hong Kong, Taiwan dan Jepun meningkat lebih 140 peratus dari suku ke suku, menandakan momentum pelancongan hujung tahun yang semakin rancak.

“Coolcation”: Simbol Gaya Baharu Pelancongan Hujung Tahun

Daripada memburu salji di Jepun hingga menikmati suasana santai di pulau tropika Vietnam, fenomena “Coolcation” kini mendefinisikan semula cara pelancong menutup tahun mereka.

Ia bukan sekadar percutian musim sejuk, tetapi cerminan gaya hidup baharu yang menggabungkan keselesaan, keaslian dan rasa ingin tahu.

Sama ada mencari kesejukan iklim atau suasana yang “cool”, pelancong moden kini memilih untuk menamatkan tahun mereka dengan pengalaman yang bukan sahaja indah, tetapi juga bermakna.

Dato’ Dr. Kalaivanar seru pemandu lori hadir ke Parlimen 19 November ini serah memorandum isu penggantungan lesen

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) menyeru semua pemandu dan pengusaha lori di seluruh negara untuk hadir beramai-ramai ke perkarangan Parlimen Malaysia pada 19 November ini, jam 2 petang, bagi menyerahkan memorandum berkaitan isu penggantungan lesen memandu yang didakwa membebankan golongan terbabit.

Wakilnya, Dato’ Dr Kalaivanar yang juga aktivis sosial berkata, himpunan itu bukan bertujuan menentang kerajaan atau Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sebaliknya sebagai satu usaha untuk menyuarakan keresahan pemandu lori terhadap pelaksanaan undang-undang baharu yang dianggap terlalu menekan.

Kita bukan menentang kerajaan, bukan juga menentang Anthony Loke. Kalau kerajaan buat perkara yang baik, kita tetap sokong,” katanya.

Beliau mendakwa, tindakan kementerian yang kerap memperkenalkan peraturan baharu setiap hari telah menyebabkan ramai pengusaha dan pemandu lori terjejas, khususnya apabila lesen mereka digantung atas kesalahan tertentu ketika menjalankan tugas.

Menurut beliau, penggantungan lesen yang membabitkan semua kategori termasuk B2 dan B memberi kesan besar kepada pemandu yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan sebagai sumber pendapatan.

“Kalau lesen lori digantung, mereka masih boleh cari makan dengan motor atau kenderaan lain. Tapi bila semua lesen digantung, bagaimana mereka nak teruskan hidup?” katanya.

Dr Kalaivanar turut menggesa semua pihak yang terbabit agar tidak hanya mengeluh atau berbincang di kedai kopi, sebaliknya turun secara aman ke Parlimen sebagai tanda solidariti.

“Kalau kita duduk saja di rumah, masalah tidak akan selesai. Hanya dengan turun beramai-ramai, kerajaan akan nampak dan dengar suara kita,” katanya lagi.

Memorandum yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri itu dijangka mengandungi cadangan serta rayuan agar kerajaan meneliti semula dasar penggantungan lesen, selain mewujudkan mekanisme yang lebih adil dan tidak membebankan pemandu lori di seluruh negara.

Dr Kalaivanar berharap langkah berkenaan dapat membuka ruang dialog antara kerajaan dan pengusaha lori bagi mencari penyelesaian terbaik demi masa depan industri pengangkutan negara.

“Kami mahu satu wadah baharu yang lebih adil untuk semua pemandu lori yang kini merana. Demi masa depan mereka dan keluarga mereka,” katanya.

Teater ubah hidup anak Chow Kit, Cikgu Mohd Azam jadikan pentas Karmabakalala sekolah keberanian

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Di sebalik tirai pementasan teater yang kini kembali mengisi pentas selepas hampir tiga dekad, tersingkap kisah inspirasi seorang pendidik yang menjadikan dunia lakonan sebagai medium membentuk keyakinan dan jati diri pelajarnya.

Bagi Cikgu Mohd Azam Rezali, Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit, penglibatan pelajar-pelajarnya dalam pementasan Karmabakalala bukan sekadar aktiviti seni, sebaliknya satu perjalanan membina keberanian dan peluang untuk mereka mengenali potensi diri yang selama ini tersembunyi.

“Saya melihat diri saya pada mereka. Dahulu saya juga pemalu, tidak berani dan ragu-ragu untuk berdiri di hadapan orang.

“Teater telah mengubah saya menjadi lebih yakin, dan saya mahu anak-anak SBJK merasai perubahan yang sama,” katanya penuh semangat.

Perjalanan Cikgu Azam dalam dunia teater bermula sejak zaman kolej apabila beliau terinspirasi dengan karya dan bimbingan penulis serta penggiat seni terkenal, Subroto Katimin, yang kini menerajui Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA).

“Saudara Subroto bukan orang asing bagi saya. Kami sama-sama belajar di ITSM dan saya pernah menawarkan diri untuk tinggal serumah dengannya semata-mata ingin belajar daripadanya,” katanya sambil tersenyum mengimbau kenangan lama.

Ketika naskhah Karmabakalala mula dipentaskan sekitar tahun 1996, beliau tidak berpeluang menontonnya.

Oleh itu, apabila karya itu dipentaskan semula hampir 30 tahun kemudian, Cikgu Azam menjadi antara yang pertama menawarkan diri untuk turut serta membawa semangat baharu kepada pementasan terbabit.

Mengimbangi dua dunia iaitu sebagai guru dan pelakon bukan sesuatu yang mudah. Namun, bagi Cikgu Azam, pengalaman itu menjadikan hubungan beliau dengan pelajar semakin akrab dan bermakna.

“Di sekolah saya mentadbir mereka, tetapi di pentas mereka menonton saya. Ia menjadikan kami lebih rapat kerana mereka mula berbual, bertanya dan berminat untuk tahu lebih banyak tentang teater,” katanya.

Beliau juga bersyukur kerana lokasi SBJK di kawasan Chow Kit, berhampiran dengan beberapa pusat pementasan utama di ibu kota, membuka ruang luas untuk beliau mengimbangi minat terhadap seni dan tanggungjawab sebagai pendidik.

Membimbing pelajar yang tidak pernah menjejakkan kaki ke pentas teater sememangnya mencabar, namun bagi Cikgu Azam, kepercayaan kepada potensi pelajar adalah kunci utama.

“Cabaran terbesar adalah mengubah cara mereka melihat diri sendiri. Ramai antara mereka datang dari latar belakang yang jauh dari dunia teater. Tapi saya selalu pesan perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama,” katanya.

Menariknya, SBJK turut menawarkan subjek kemahiran teater, memberi peluang kepada pelajar mempelajari asas lakonan di bilik darjah sebelum menjalani latihan profesional selepas waktu persekolahan.

“Bagi pelajar yang mengambil subjek Teater, saya gunakan masa di kelas untuk latihan asas. Manakala sesi bersama pelakon profesional diadakan selepas sekolah.

“Dari situ, mereka belajar bahawa teater memerlukan disiplin dan usaha berterusan,” katanya.

Bagi Cikgu Azam, teater bukan hanya tentang lakonan di pentas, tetapi tentang nilai kehidupan yang dipelajari sepanjang prosesnya.

“Sejak sesi pertama pembacaan skrip lagi, pelajar belajar tentang disiplin, kerjasama, keyakinan diri dan rasa hormat terhadap ahli kumpulan lain.

“Ia membentuk mereka bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi sebagai manusia yang lebih baik,” katanya.

Baginya, teater adalah sekolah kehidupan tempat di mana anak-anak SBJK bukan sekadar menghafal dialog, tetapi menulis semula kisah keberanian, kepercayaan dan harapan baharu dalam hidup mereka.

Saksikan mereka dalam Teater Karmabakalala, karya yang mengajak penonton menyelami sisi terdalam jiwa manusia di antara cinta dan dosa, setia dan derita, karma dan penebusan.

Itulah Karmabakalala, sebuah teater epik garapan Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang bakal dipentaskan pada 14 hingga 16 November 2025 di Auditorium DBP, Kuala Lumpur.

Karya yang ditulis, diarahkan dan diterbitkan oleh Subroto Katimin ini bukan sekadar pementasan, tetapi renungan mendalam terhadap makna kemanusiaan.

Menggabungkan elemen sejarah, falsafah dan spiritual, Karmabakalala mengetuk pintu hati untuk menyoal kembali apa yang kita faham tentang karma dan takdir.

Dato’ Dr Kalaivanar serah memorandum, tuntut siasatan kematian lelaki dalam tahanan polis Kuala Langat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, menuntut siasatan menyeluruh berhubung kematian seorang lelaki India, Thirunavagasaru a/l Naraynan yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada September lalu.

Mewakili SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar yang juga aktivis sosial berkata, penyerahan memorandum itu dilakukan sebagai tanda solidariti terhadap keluarga mendiang yang mendakwa berlaku unsur salah laku ketika mangsa berada dalam lokap.

Beliau berkata, kes ini menimbulkan banyak persoalan dan memerlukan ketelusan penuh daripada pihak berkuasa bagi memulihkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi polis.

“Menurut maklumat yang diperoleh daripada keluarga dan beberapa saksi dalam tahanan, mendiang yang berusia 37 tahun telah ditahan pada 12 September dan ditempatkan di lokap IPD Kuala Langat.

“Dua hari kemudian, beliau dikejarkan ke hospital tanpa pengetahuan keluarganya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa individu yang turut berada dalam tahanan pada masa itu memaklumkan kepada keluarga Thirunavagasaru kelihatan lemah dan tidak bermaya, dipercayai akibat dipukul.

Keluarga mangsa mendakwa mereka hanya dimaklumkan mengenai pemindahan dan pertuduhan di Mahkamah Sepang pada 18 September dan tidak lama selepas itu, Thirunavagasaru disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh.

Dr Kalaivanar berkata, keluarga mendiang telah membuat laporan polis pada 11 Oktober bagi menuntut siasatan terhadap dakwaan penderaan dan kematian dalam tahanan terbabit.

Namun, sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang maklum balas atau panggilan untuk dirakamkan kenyataan oleh pihak berkuasa.

“Kita percaya ada sesuatu yang tidak kena. Saksi-saksi yang berada dalam lokap mendakwa mangsa bukan sahaja dipukul, malah ada yang mengatakan beliau dikenakan renjatan elektrik.

“Ini satu perkara serius dan tidak boleh dibiarkan tanpa siasatan menyeluruh,” tegasnya.

Tambah beliau, pihaknya menuntut agar semua anggota yang bertugas di IPD Kuala Langat ketika kejadian, termasuk pegawai penyiasat dan anggota detektif, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku.

“Apabila seseorang ditahan di bawah jagaan polis, keselamatan dan nyawanya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa.

“Jika kematian berlaku dalam tahanan, satu siasatan bebas atau inkues rasmi perlu diadakan bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya lagi.

Dr Kalaivanar turut memaklumkan pihaknya akan menyerahkan satu lagi memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) minggu depan bagi mendesak siasatan bebas dijalankan.

Keluarga mendiang yang turut hadir semasa penyerahan memorandum di Bukit Aman dilihat masih berduka dan berharap agar keadilan dapat ditegakkan bagi pihak Thirunavagasaru.

“Keluarga ini bukan menuduh, tetapi mereka berhak tahu apa yang berlaku kepada anak mereka ketika berada dalam tahanan,” katanya.

Pasukan Tiny Techies Malaysia raih empat emas di Global Robotics Competition 2025 Bangkok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR –  Kehebatan generasi muda Malaysia sekali lagi menyerlah di pentas antarabangsa apabila pasukan Tiny Techies Malaysia merangkul empat pingat emas dalam Global Robotics Competitions (GRC) 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand dari 30 Oktober hingga 2 November lalu.

Pencapaian membanggakan ini dilakar oleh kumpulan pelajar berbakat dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) FELDA Linggiu, Johor dan NADI FELDA Gunung Besout 1, Perak yang berjaya mengharumkan nama negara melalui pelbagai kategori termasuk Sumo Robot dan Creative Project.

Antara wira muda yang mengharumkan nama Malaysia ialah Muhammad Afiq Mohd Nazre dan Mohamad Ariff Danial Mohammad Rizal dari NADI FELDA Linggiu bagi kategori Senior, manakala kategori Junior diwakili oleh Nur Damia Khalisya Mohd Rizalman dan Deeniya Irdhina Muhammad Sobri dari NADI FELDA Gunung Besout 1.

Mereka masing-masing dibimbing oleh petugas NADI berpengalaman, Nur Fadzlin Maarus dan Suhaila Suliman.

Pengarah Program Tiny Techies, Areehan Abdullah berkata, kejayaan luar biasa ini disertai dengan pencapaian lain termasuk satu perak, dua gangsa dan dua tempat keempat dalam kategori Sumo Robot dan Creative Project.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa semangat ingin belajar, inovasi dan kerja berpasukan mampu membawa generasi muda kita ke peringkat antarabangsa.

“Tiny Techies akan terus komited melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif, berdaya saing dan mahir dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Beliau berkata, kejayaan pasukan ini adalah bukti bahawa pelajar dari kawasan FELDA juga mampu berdiri sama tinggi dengan pelajar antarabangsa apabila diberi ruang, bimbingan dan peluang yang betul.

Program Tiny Techies adalah inisiatif pendidikan digital yang dilaksanakan bersama pusat NADI di seluruh negara dengan objektif memperkasakan pelajar melalui kemahiran STEM, robotik dan pengaturcaraan.

Inisiatif ini turut membuka peluang kepada pelajar luar bandar untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa dan membina keyakinan diri dalam bidang teknologi masa depan.

Sementara itu, Pengurusan NADI FELDA Linggiu dan NADI Gunung Besout 1 turut melahirkan rasa syukur dan bangga atas semangat juang tinggi serta dedikasi pelajar dan tenaga pengajar yang membimbing pasukan Tiny Techies hingga mencapai kejayaan besar ini.

“Penguasaan ilmu STEM dan elemen robotik amat bermakna kepada pelajar kami. Ia bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi tentang keberanian mereka untuk bersaing dan meneroka potensi diri,” kata wakil pengurusan NADI.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) berkata, pihaknya akan terus menyokong usaha murni yang memperkasa pelajar FELDA, masyarakat Orang Asli dan kelompok B40 dalam bidang STEM dan robotik.

“Tiada yang mustahil untuk dicapai. Kejayaan pelajar dari kawasan FELDA di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa bakat dan kemampuan mereka setanding pelajar bandar apabila diberi peluang dan panduan yang betul,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas NADI, jurulatih, tenaga pengajar serta ibu bapa atas sokongan berterusan yang menjadi tunjang kejayaan pasukan Tiny Techies.

Kejayaan pasukan Tiny Techies Malaysia di Global Robotics Competitions 2025 bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus meneroka bidang sains dan teknologi.

Semangat inovasi, disiplin dan kerja berpasukan yang ditunjukkan peserta menjadi bukti bahawa pelajar Malaysia walau dari mana pun asal mereka mampu bersaing di persada dunia apabila diberi peluang dan bimbingan yang betul.

“Kecil-kecil cili padi, tetapi semangat dan kebijaksanaan mereka besar nilainya untuk masa depan negara,” kata Areehan penuh bangga.

Canon lancar EOS R6 Mark III dan lensa RF45mm F1.2 STM: buka era baharu fotografi tanpa cermin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Canon Marketing Malaysia memperkenalkan dua inovasi terbaharu dalam dunia pengimejan digital dengan pelancaran kamera bingkai penuh EOS R6 Mark III dan lensa perdana RF45mm F1.2 STM.

Kedua-dua produk ini menandakan komitmen berterusan Canon dalam memperkasa kreativiti pengguna melalui teknologi pengimejan yang canggih dan mudah diakses.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Masato Yoshiie, bersama Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej, Edward Chang.

Dalam ucapannya, Edward Chang  berkata, EOS R6 Mark III mewakili evolusi baharu siri kamera ‘6’ Canon yang terkenal dengan prestasi dan kepelbagaian luar biasa.

“EOS R6 Mark III melambangkan evolusi seterusnya bagi siri ‘6’ Canon, sebuah kamera yang menggabungkan prestasi, inovasi dan kepelbagaian.

“Ia dibangunkan untuk pencerita yang ingin merakam hasil karya mereka dengan lebih bebas dan tepat, memperkasakan mereka untuk menginjak batasan kreativiti,” katanya.

Kamera Serba Boleh untuk Pencipta Kandungan Moden

EOS R6 Mark III hadir dengan peningkatan ketara dari segi kualiti imej, kelajuan, dan kebolehpercayaan, menjadikannya kamera serba boleh yang sesuai untuk jurugambar profesional mahupun pencipta kandungan digital.

Model ini direka untuk mereka yang ingin merakam setiap detik dengan ketepatan dan kejelasan luar biasa, tanpa mengorbankan kemudahan penggunaan.

Apabila digandingkan dengan lensa RF45mm F1.2 STM, pengguna boleh menikmati keupayaan apertur luas yang menghasilkan kesan bokeh menawan, prestasi unggul dalam keadaan cahaya malap, serta fleksibiliti dalam pelbagai situasi penggambaran.

Lensa baharu ini juga menjadi lensa Canon dengan apertur paling luas dalam kategori bukan profesional setakat ini, membuktikan kesungguhan Canon dalam membawa teknologi premium ke pasaran yang lebih meluas.

Kempen “Drive Your Dream” Tawar Hadiah Bernilai RM300,000 Termasuk Tesla Model 3

Bersempena dengan pelancaran bersejarah ini, Canon turut melancarkan kempen nasional “Drive Your Dream” yang berlangsung dari 1 November 2025 hingga 31 Januari 2026.

Kempen ini terbuka kepada semua pelanggan yang membeli kamera atau lensa Canon yang mengambil bahagian di kedai sah di seluruh Malaysia.

Menariknya, peserta berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai lebih RM300,000, termasuk Hadiah Utama sebuah Tesla Model 3, kamera dan lensa Canon, telefon Apple iPhone, serta pelbagai barangan eksklusif lain.

Untuk menyertai, pelanggan hanya perlu membeli produk Canon yang layak, mendaftar dan memuat naik resit pembelian di laman rasmi ylwc.canon.com.my, serta menjawab satu soalan mudah.

Setiap penyertaan yang berjaya turut menikmati lanjutan jaminan tambahan selama satu tahun di atas tempoh sedia ada (1+2 tahun), memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pemilik baharu Canon.

Canon Kekal Komited Memperkasa Komuniti Kreatif

Pelancaran EOS R6 Mark III dan RF45mm F1.2 STM ini mengukuhkan lagi kedudukan Canon sebagai peneraju dalam inovasi fotografi dan videografi di Malaysia.

Melalui rangkaian produk yang semakin canggih dan mudah diakses, Canon terus menyokong jurugambar, pencerita visual dan pencipta kandungan dalam mengembangkan potensi mereka.

Kamera Canon EOS R6 Mark III kini dibuka untuk pra-tempahan sehingga 16 November 2025 di pengedar sah seluruh negara dengan harga bermula RM10,999 untuk badan sahaja, RM12,499 dengan lensa RF24-105mm F4-7.1 IS STM, dan RM15,599 dengan lensa RF24-105mm F4L IS USM.

Dengan pelancaran ini, Canon bukan sekadar memperkenalkan peralatan pengimejan baharu, tetapi juga menyemarakkan semangat kreatif rakyat Malaysia untuk terus merakam kisah mereka kerana seperti kata Canon, “Delight in Every Shot.”

Dato’ Dr Kalaivanar beri DBKL tempoh 10 hari segera ambil tindakan isu bina tembok kediaman

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) memberi tempoh 10 hari kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan isu pembinaan tembok yang didakwa melanggar peraturan jarak antara rumah di sebuah kawasan perumahan di Taman Taynton View, di sini.

Mewakili SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar yang juga aktivis sosial berkata, prinsip keadilan dan undang-undang mesti ditegakkan tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Menurutnya, undang-undang perbandaran dengan jelas menetapkan jarak minimum antara rumah teres ialah 1.524 meter (lima kaki).

Namun, pemeriksaan di lokasi mendapati jarak binaan yang dilakukan melebihi 10 kaki, jauh melanggar syarat yang telah ditetapkan.

“Undang-undang menyatakan dengan jelas jarak antara rumah hanyalah 1.524 meter. Tapi di sini kita nampak lebih daripada 10 kaki. Soalannya, apa tindakan DBKL?” katanya ketika ditemui.

Beliau yang berada di lokasi kejadian turut menyuarakan kebimbangan wujudnya amalan ‘double standard’ dalam penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.

Katanya, pihaknya bersimpati terhadap Nasib salah seorang penduduk wanita yang didakwa mengalami tekanan akibat masalah itu.

Menurutnya, aduan telah beberapa kali dibuat kepada pihak DBKL namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

“Penduduk ini sudah berkali-kali naik turun pejabat DBKL membuat aduan, tapi masih tiada tindakan.

“Kalau orang biasa buat salah, cepat saja disaman. Tapi bila membabitkan pihak yang dikatakan berpengaruh, tiada tindakan diambil. Ini tidak adil,” katanya lagi.

Dr Kalaivanar berkata, mangsa mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Torts (Law of Tort) sekiranya berlaku pencerobohan atau pembinaan yang menjejaskan hak jiran.

Katanya, undang-undang terbabit membolehkan individu membuat tuntutan walaupun tanpa kemampuan kewangan besar.

“Saya sudah menghantar mesej kepada Datuk Bandar dan Pengarah Bahagian Pengurusan Bangunan DBKL supaya segera mengambil tindakan.

“Jika tiada tindakan dalam tempoh 10 hari, kami akan teruskan dengan surat rasmi kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan isu ini disiasat dengan serius,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, pembinaan terbabit bukan sahaja melanggar peraturan jarak, malah turut menimbulkan persoalan mengenai kewujudan longkang dan status tanah berhampiran kawasan yang dikatakan asalnya adalah padang permainan awam.

“Kalau benar kawasan itu asalnya padang permainan, bagaimana ia boleh diluluskan untuk didirikan rumah?.

“Adakah semuanya boleh dibeli dengan wang? Ini bukan soal pengaruh atau pangkat ini soal keadilan,” tegasnya.

Katanya, Malaysia ialah sebuah negara demokrasi yang berlandaskan rule of law (kedaulatan undang-undang) dan bukannya “law of the jungle”.

“Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang sama ada Datuk, Tan Sri atau Tun sekalipun.

“Penguatkuasaan mesti adil dan saksama. Kalau rakyat biasa boleh disaman, kenapa orang berpengaruh tidak?” katanya.

Siti Nordiana gabung nostalgia dan nasihat cinta dalam irama Malaysia moden menerusi ‘Ahai’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi tanah air, Siti Nordiana, atau lebih mesra disapa Nana, kembali dengan kelainan menerusi single terbaharunya berjudul Ahai, sebuah karya yang menyatukan elemen tradisional dan moden dalam gaya Irama Malaysia kontemporari.

Lagu ini adalah ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, diterbitkan di bawah label 1711 Music.

Menurut Nana, Ahai adalah hasil daripada impiannya selama dua tahun untuk mengembalikan semula keindahan dan nostalgia muzik Irama Malaysia yang pernah menjadi sebahagian besar daripada perjalanan seninya.

“Sudah lama sebenarnya saya berniat untuk keluarkan lagu Irama Malaysia. Dulu saya pernah rakam lagu genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu.

“Jadi selepas dua tahun berfikir dan merancang, alhamdulillah akhirnya terlaksana juga bila saya kongsi hasrat itu dengan Ikhwan dan Wan Saleh,” katanya.

Nana berkata, proses penghasilan Ahai telah dirancang sejak awal tahun dan melalui beberapa siri rakaman sebelum dimuktamadkan.

Kolaborasi bersama dua komposer berpengalaman itu, katanya, amat serasi dan berjaya menghasilkan sebuah karya yang benar-benar dekat di hatinya.

“Saya memang puas hati dengan duo hebat ni. Apa yang saya mahu mereka berikan.

Ahai memang jiwa saya sebab ada bunyi kompang, gendang dan elemen tradisional yang mengimbau zaman kita membesar dulu, tapi dalam gaya moden. Lenggok vokal pun hasil perbincangan kami bertiga,” katanya lagi.

Tidak sekadar menghiburkan, Ahai membawa mesej yang cukup bermakna iaitu sebuah nasihat penuh kasih sayang tentang tanggungjawab dan keikhlasan dalam hubungan suami isteri.

“Lagu ni bercerita dan memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin. Jadi, saya kena main dengan emosi yang ada masa lembut, ada masa tegas, tapi masih dalam nada gurau senda.

“Rentaknya pun laju, jadi kena seimbang antara tenaga dan kelembutan,” kata Nana tentang cabaran vokal yang dihadapinya ketika rakaman.

Lirik Ahai yang puitis disertai melodi ceria menjadikannya bukan sekadar lagu cinta, tetapi juga peringatan agar sentiasa menghargai pasangan dan tidak melakukan kezaliman dalam rumah tangga.

“Lirik lagu ini sangat indah dan bermanfaat. Ia mengingatkan kita supaya menjaga niat perkahwinan dan berbuat baik kepada pasangan.

“Jangan sesekali aniaya orang yang kita sayang sebab setiap perbuatan ada balasannya. Lagu ini boleh dijadikan panduan hidup, bukan sekadar hiburan,” katanya.

Nana berkata, Ahai sebagai langkah kecil namun bermakna untuk memartabatkan semula muzik tradisional tempatan agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.

“Irama Malaysia ini memang jiwa saya dari dulu lagi. Saya membesar dengan lagu-lagu genre ini dan pernah menyertai pertandingan bintang asli sejak kecil.

“Malah, dulu saya pernah keluarkan album Irama Malaysia berjudul Firuz pada tahun 2003. Bila peminat pun sering minta saya nyanyi lagu Irama Malaysia masa persembahan, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk kembalikan genre ini dengan pendekatan lebih segar,” katanya lagi.

Bersempena pelancaran lagu berkenaan, Siti Nordiana turut mempersembahkan video muzik rasmi Ahai yang ditayangkan pada 7 November jam 9 malam di saluran YouTube rasmi 1711 Music.

Menariknya, video muzik berkenaan turut menampilkan kehadiran kelab peminat rasmi Siti Nordiana FC sebagai artis undangan, menjadikan visual lagu ini lebih meriah dan bermakna.

Ahai kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music menerusi pautan berikut: https://youtu.be/jXNGC3N6eHk?si=O9EVoI3638skcGpI.

Huawei 11.11 Grand Sale 2025 tawar diskaun sehingga 60 peratus dan hadiah percuma bernilai RM3,999

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Musim membeli-belah paling dinanti kini Kembali. Jenama teknologi global, Huawei, meraikan HUAWEI 11.11 Grand Sale 2025 dengan tawaran luar biasa merangkumi diskaun sehingga 60 peratus dan hadiah percuma bernilai sehingga RM3,999.

Sama ada untuk menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada insan tersayang atau memanjakan diri sendiri, jualan besar-besaran ini menawarkan pelbagai produk hebat merangkumi telefon pintar, tablet, aksesori audio dan peranti boleh pakai pintar.

Kempen ini berlangsung di pelbagai platform rasmi Huawei bagi memberi lebih banyak peluang kepada pengguna untuk menikmati tawaran terbaik.

Laman Web Rasmi Huawei akan memulakan jualan dari 10 hingga 30 November, manakala HUAWEI Official Store di Shopee dan HUAWEI Flagship Store di Lazada akan menawarkan promosi khas dari 10 hingga 14 November, bermula jam 8 malam. B

agi mereka yang gemar membeli-belah awal, HUAWEI Official TikTok Shop telah pun memulakan jualan eksklusif dari 1 hingga 11 November.

Pengalaman Audio Premium untuk Setiap Gaya Hidup

Bagi pencinta muzik dan hiburan, siri fon telinga HUAWEI FreeBuds menawarkan kualiti audio yang menakjubkan dalam reka bentuk bergaya.

Model FreeBuds SE 2, yang dijual secara eksklusif di HUAWEI Official Store, menampilkan bunyi jernih dan hayat bateri tahan lama untuk kegunaan harian.

Untuk pengalaman audio lebih canggih, FreeBuds SE 4 dan FreeBuds 6 hadir dengan reka bentuk premium dan pembatalan hingar yang dipertingkat, manakala model baharu FreeBuds 7i memperkenalkan Intelligent Dynamic ANC 4.0, memberikan kualiti panggilan jelas, bunyi spatial tanpa had, dan pengalaman mendengar yang lebih mendalam.

Telefon Pintar Gaya Moden dengan Ciri AI Terkini

Bagi mereka yang menghargai gaya dan prestasi, siri telefon pintar HUAWEI nova 14 memperkenalkan kamera hadapan 50MP Ultra Speed Snapshot dengan teknologi Ultra Chroma, sempurna untuk pencipta kandungan dan penggemar swafoto.

Fungsi baharu seperti AI Gesture Control dan AI Best Expression turut meningkatkan keupayaan tangkapan potret serta penggunaan harian.

Bagi pengguna profesional yang mencari kehebatan fotografi, siri HUAWEI Pura 80 menetapkan piawaian baharu dalam kejuruteraan kamera pintar, manakala HUAWEI Mate X6 pula memberikan pengalaman telefon boleh lipat premium yang menyatukan produktiviti, kreativiti dan kemewahan.

Produktiviti, Kreativiti dan Hiburan Dalam Satu Peranti

Untuk pelajar, profesional dan pencipta kandungan, siri HUAWEI MatePad menawarkan kuasa pemprosesan yang tinggi serta paparan yang menakjubkan.

Model MatePad 11.5”S (8+256) yang eksklusif di HUAWEI Official Store memberikan prestasi hebat untuk belajar dan berhibur.

Sementara itu, MatePad 11.5” 2025 PaperMatte Edition direka khas untuk pengalaman menulis dan melukis yang menyerupai tekstur kertas sebenar, manakala MatePad Pro 13.2” memberi pengalaman setanding komputer riba, sesuai untuk mereka yang bekerja secara kreatif.

Kekal Aktif dan Sihat dengan HUAWEI Wearables

Huawei turut memperkenalkan barisan jam tangan pintar dan penjejak kesihatan terkini untuk gaya hidup aktif.

HUAWEI WATCH GT 6 dan WATCH GT 6 Pro menampilkan reka bentuk elegan dengan ciri pemantauan kesihatan yang dipertingkat, termasuk mod larian dan berbasikal yang lebih pintar.

Untuk pengembara lasak, HUAWEI WATCH Ultimate 2 menawarkan ketahanan tinggi dengan prestasi kukuh, manakala WATCH FIT 4 Pro, WATCH FIT SE dan Band 10 memberi keseimbangan gaya dan fungsi dengan pelbagai mod kecergasan serta penjejak kesihatan pintar.

Tidak ketinggalan, HUAWEI Scale 3 membantu pengguna menjejak kemajuan kesihatan dan kecergasan dengan lebih tepat, menjadikannya pelengkap sempurna bagi rutin harian yang sihat.

Sambut 11.11 dengan Teknologi yang Menyatukan Inovasi dan Inspirasi

Melalui kempen HUAWEI 11.11 Grand Sale 2025, Huawei meraikan inovasi teknologi yang memperkayakan kehidupan harian dan menghubungkan pengguna dengan lebih banyak kemungkinan.

Jangan lepaskan peluang menikmati tawaran eksklusif ini yang tersedia di HUAWEI Experience Stores, Laman Web Rasmi Huawei, Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.