24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

Dato’ Dr Kalaivanar beri DBKL tempoh 10 hari segera ambil tindakan isu bina tembok kediaman

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) memberi tempoh 10 hari kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan isu pembinaan tembok yang didakwa melanggar peraturan jarak antara rumah di sebuah kawasan perumahan di Taman Taynton View, di sini.

Mewakili SBKN, Dato’ Dr Kalaivanar yang juga aktivis sosial berkata, prinsip keadilan dan undang-undang mesti ditegakkan tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Menurutnya, undang-undang perbandaran dengan jelas menetapkan jarak minimum antara rumah teres ialah 1.524 meter (lima kaki).

Namun, pemeriksaan di lokasi mendapati jarak binaan yang dilakukan melebihi 10 kaki, jauh melanggar syarat yang telah ditetapkan.

“Undang-undang menyatakan dengan jelas jarak antara rumah hanyalah 1.524 meter. Tapi di sini kita nampak lebih daripada 10 kaki. Soalannya, apa tindakan DBKL?” katanya ketika ditemui.

Beliau yang berada di lokasi kejadian turut menyuarakan kebimbangan wujudnya amalan ‘double standard’ dalam penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.

Katanya, pihaknya bersimpati terhadap Nasib salah seorang penduduk wanita yang didakwa mengalami tekanan akibat masalah itu.

Menurutnya, aduan telah beberapa kali dibuat kepada pihak DBKL namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

“Penduduk ini sudah berkali-kali naik turun pejabat DBKL membuat aduan, tapi masih tiada tindakan.

“Kalau orang biasa buat salah, cepat saja disaman. Tapi bila membabitkan pihak yang dikatakan berpengaruh, tiada tindakan diambil. Ini tidak adil,” katanya lagi.

Dr Kalaivanar berkata, mangsa mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Torts (Law of Tort) sekiranya berlaku pencerobohan atau pembinaan yang menjejaskan hak jiran.

Katanya, undang-undang terbabit membolehkan individu membuat tuntutan walaupun tanpa kemampuan kewangan besar.

“Saya sudah menghantar mesej kepada Datuk Bandar dan Pengarah Bahagian Pengurusan Bangunan DBKL supaya segera mengambil tindakan.

“Jika tiada tindakan dalam tempoh 10 hari, kami akan teruskan dengan surat rasmi kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan isu ini disiasat dengan serius,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, pembinaan terbabit bukan sahaja melanggar peraturan jarak, malah turut menimbulkan persoalan mengenai kewujudan longkang dan status tanah berhampiran kawasan yang dikatakan asalnya adalah padang permainan awam.

“Kalau benar kawasan itu asalnya padang permainan, bagaimana ia boleh diluluskan untuk didirikan rumah?.

“Adakah semuanya boleh dibeli dengan wang? Ini bukan soal pengaruh atau pangkat ini soal keadilan,” tegasnya.

Katanya, Malaysia ialah sebuah negara demokrasi yang berlandaskan rule of law (kedaulatan undang-undang) dan bukannya “law of the jungle”.

“Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang sama ada Datuk, Tan Sri atau Tun sekalipun.

“Penguatkuasaan mesti adil dan saksama. Kalau rakyat biasa boleh disaman, kenapa orang berpengaruh tidak?” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular