28 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
Home Blog Page 29

Mubasyyir Travel sasar 5,000 jemaah umrah 2026–2027, tawar pakej ekonomi RM4,999

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Syarikat pengurusan umrah, Mubasyyir Travel & Tours Sdn Bhd menyasarkan untuk menerbangkan seramai 5,000 jemaah bagi tahun 2026 hingga 2027, selari dengan perancangan strategik dan penambahbaikan pengurusan yang sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Pengarah Urusan Mubasyyir Travel & Tours, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid berkata, sasaran itu membabitkan tempoh operasi selama kira-kira 10 bulan, merangkumi perjalanan sebelum dan selepas musim haji.

“Buat masa ini, syarikat memilih untuk menangguhkan sebarang perancangan berkaitan pengurusan jemaah haji sehingga tahun 2027 bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pengurusan benar-benar mantap dan teratur.

“Dalam usaha memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, Mubasyyir turut memperkenalkan pakej umrah ekonomi yang ditawarkan pada harga di bawah RM5,000.

“Pakej ini disasarkan kepada jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah dengan kos mampu milik tanpa menjejaskan aspek asas seperti tiket penerbangan pergi dan balik, penginapan yang selesa serta bimbingan umrah sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

Antara tawaran utama yang diperkenalkan ialah pakej umrah ekonomi berharga RM4,999, membabitkan penerbangan transit, penginapan selama lima malam di Mekah dan tiga malam di Madinah, dengan hotel yang disediakan berjarak tertentu dari Masjidil Haram serta menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.

Pakej ini ditawarkan bagi penerbangan pada musim biasa, di mana kos operasi adalah lebih rendah berbanding musim puncak seperti November, Disember, Januari dan Ramadan.

Selain pakej ekonomi, Mubasyyir turut menawarkan pakej premium yang menyediakan penginapan hotel bertaraf lima bintang yang lebih hampir dengan Masjidil Haram.

Pakej ini menyasarkan jemaah yang mengutamakan keselesaan maksimum, termasuk pergerakan yang lebih mudah serta perkhidmatan tambahan.

Pada masa sama, syarikat turut menyediakan pakej khas berkumpulan kecil dan pakej lebih sesuai bagi keluarga atau kumpulan persendirian.

Mengulas kebimbangan masyarakat terhadap pakej umrah murah yang sering dikaitkan dengan pelbagai isu, Pengurus Besar Mubasyyir Travel & Tours, Ustaz Haji Muhammad Salleh berkata, mereka memberi jaminan setiap pakej yang ditawarkan telah diperincikan secara telus merangkumi kos tiket penerbangan, penginapan di Mekah dan Madinah, khidmat mutawif, pengangkutan serta lawatan sepanjang berada di Tanah Suci.

“Kesemua tiket penerbangan adalah sah dan disusun mengikut perancangan operasi yang realistik.

“Keunikan utama Mubasyyir turut terletak pada pendekatan umrah berpengisian, di mana jemaah bukan sekadar menunaikan ibadah, malah diberikan penghayatan rohani melalui bimbingan berterusan daripada barisan asatizah yang terbabit secara langsung sepanjang perjalanan.

Pendekatan ini dilihat sebagai nilai tambah yang membezakan Mubasyyir daripada agensi lain di pasaran,” katanya.

Walaupun sasaran 5,000 jemaah dianggap sederhana berbanding agensi besar yang mampu mengendalikan ribuan jemaah setiap bulan, pihak pengurusan optimis sasaran terbabit mampu dicapai.

Penetapan jumlah ini dibuat bagi memastikan tahap kepuasan, keselesaan serta kawalan kualiti perkhidmatan dapat dikekalkan, sejajar dengan kemampuan pasukan pengurusan sedia ada.

Sejak penubuhan Mubasyyir, syarikat telah mengendalikan penerbangan umrah secara berperingkat dengan kapasiti antara 25 hingga 120 jemaah bagi setiap penerbangan.

Dengan kemasukan pengurusan baharu serta perancangan perniagaan yang lebih tersusun, Mubasyyir Travel kini menyasarkan pertumbuhan sehingga tiga kali ganda berdasarkan keupayaan pasukan dan strategi yang dirangka.

Buat masa ini, Mubasyyir Travel beroperasi melalui ibu pejabat sahaja dan belum membuka cawangan lain, selari dengan kedudukan syarikat sebagai pemain baharu dalam industri.

Namun, dengan sokongan pasukan pengurusan yang datang daripada pelbagai latar belakang serta kerjasama strategik bersama pihak berkaitan termasuk syarikat penerbangan tempatan, Mubasyyir yakin mampu muncul sebagai salah satu nama yang dikenali dalam industri umrah menjelang tahun 2026.

Sistem bunyi ditutup mengejut, penganjur konsert Pentas RadjaWali bakal ambil tindakan undang-undang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penganjur konsert Pentas RadjaWali, Impian Al Fateh Sdn. Bhd. bersama GIS Entertainment & Events serta Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events), tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung insiden penutupan sistem bunyi secara tiba-tiba semasa konsert yang berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 10 Januari lalu.

Insiden berlaku ketika kumpulan popular dari Indonesia, Wali Band, sedang menyampaikan lagu ke-10 berjudul Ada Gajah Di Balik Batu, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton.

Kejadian itu turut mengundang kecaman terhadap penganjur di media sosial, meskipun ramai tidak mengetahui situasi sebenar yang berlaku di sebalik tabir.

Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd. Aris berkata, isu berkenaan diperkatakan secara meluas sehingga menjejaskan reputasi syarikat, barisan artis yang terbabit serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pihak berkepentingan.

Memandang serius insiden berkenaan, penganjur telah mengadakan perbincangan bersama panel peguam bagi meneliti tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan venue atas faktor kecuaian serta pelanggaran persetujuan.

Mubarak Akhtar berkata, selain faktor menghormati azan dan waktu solat Isyak seperti yang dinyatakan sebelum ini, pihaknya turut berdepan pelbagai isu teknikal yang berada di luar kawalan penganjur sehingga menyumbang kepada kelewatan acara.

“Kelewatan permulaan konsert bukan berpunca daripada kelemahan artis atau penganjur semata-mata, sebaliknya disebabkan masalah sistem tiket yang dikendalikan oleh penyedia tiket yang dilantik pihak venue.

“Gangguan pada sistem terbabit menyebabkan proses pengesahan tiket menjadi perlahan, ditambah pula dengan masalah liputan internet yang lemah di dalam kawasan dewan, sekali gus menyukarkan penonton memaparkan kod QR dan menyukarkan petugas melakukan imbasan.

“Keadaan itu mengakibatkan kesesakan luar biasa di pintu masuk dan memberi kesan langsung terhadap jadual persembahan yang sepatutnya bermula tepat pada masanya,” katanya.

Mubarak berkata, kelewatan itu berpunca daripada pasukan tiket yang dilantik oleh pihak Idea Live Arena dan bukannya disebabkan oleh artis.

Mengulas lanjut, siasatan awal dan nasihat guaman mendapati tindakan pihak pengurusan venue menutup bekalan elektrik tepat jam 12 tengah malam adalah satu tindakan unilateral tanpa sebarang rundingan atau persetujuan terlebih dahulu dengan pihak penganjur.

“Kami telah berusaha berunding dengan pihak pengurusan Idea Live Arena serta wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berada di lokasi bagi mendapatkan kelonggaran masa sehingga jam 12.30 tengah malam, bagi membolehkan Wali Band menamatkan persembahan dengan sempurna.

“Kami juga sanggup menanggung risiko termasuk kehilangan deposit atau dikenakan denda demi memastikan kepuasan peminat dan penutupan konsert yang baik.

“Persetujuan awal telah dicapai bagi membenarkan satu lagu terakhir sebagai penutup dan saya sendiri telah naik ke pentas untuk memaklumkan perkara itu kepada vokalis Wali Band,” katanya.

Namun begitu, sebaik sahaja lagu yang sedang dinyanyikan tamat, pihak venue bertindak mematikan sistem bunyi tanpa membenarkan artis membuat sebarang pengumuman atau mengucapkan selamat tinggal kepada penonton, sekali gus mencetuskan kekeliruan dan kekecewaan dalam kalangan hadirin.

“Tiada sebarang klausa atau persetujuan bersama yang membenarkan pemilik venue untuk mematikan sistem bunyi secara mengejut ketika persembahan sedang berlangsung.

“Malah, menurut Enakmen Hiburan Negeri Selangor, acara hiburan yang dijalankan di dalam dewan dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 pagi,” katanya lagi.

Justeru, tindakan mematikan sistem bunyi pada jam 12 tengah malam disifatkan sebagai tidak berasas, bertentangan dengan kebenaran operasi dan berpotensi menimbulkan risiko keselamatan awam.

Situasi terbabit berisiko mencetuskan kekecohan atau kemarahan penonton, walaupun keadaan masih terkawal berikutan tahap disiplin penonton tempatan.

Ketika ini, penganjur sedang memuktamadkan jumlah kerugian yang dialami termasuk kerosakan reputasi dan kerugian material, sebelum membawa perkara ini ke Mahkamah.

Tindakan undang-undang dijangka dimulakan sebaik sahaja penilaian penuh selesai dijalankan.

Dalam pada itu, sebagai tanda penghargaan dan permohonan maaf kepada peminat yang terkesan, penganjur mengumumkan perancangan untuk membawa semula kumpulan Wali Band dan Radja ke Malaysia bagi sebuah konsert khas yang dijadualkan pada 1 Mei akan datang.

Penonton yang hadir pada malam kejadian layak menerima diskaun istimewa dengan mengemukakan bukti pembelian atau tiket konsert terdahulu.

Wings Orang Kita 2026: Era baharu legenda rock Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda rock tanah air, Wings, kembali menggegarkan persada muzik tempatan menerusi sebuah konsert khas bertajuk Wings Orang Kita, yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari 2026.

Dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah, konsert ini menjanjikan sebuah malam penuh emosi, semangat dan pembaharuan, khusus buat peminat setia Wings.

Lebih empat dekad mewarnai industri muzik, Wings terus membuktikan bahawa semangat dan jiwa mereka kekal utuh meskipun melalui perubahan zaman.

Dengan kemasukan dua ahli baharu, Pae dan Arm, Wings kini melangkah ke fasa dan konsep baharu yang lebih segar serta relevan, tanpa mengorbankan identiti asal yang menjadi kekuatan utama kumpulan ini sejak awal penubuhan.

Gabungan tenaga lama dan semangat baharu ini dijangka membawa dimensi persembahan yang lebih matang, bertenaga dan dinamik.

Kehadiran Pae dan Arm bukan sekadar melengkapkan barisan ahli, malah menandakan permulaan era baharu buat Wings dalam meneroka idea-idea muzik yang lebih segar.

Seiring dengan perkembangan ini, Wings turut merancang untuk menghasilkan dan melancarkan lagu-lagu baharu, sekali gus menyuntik nafas baharu ke dalam perjalanan seni mereka yang panjang dan berpengaruh.

Konsert Wings Orang Kita dianjurkan sebagai penghargaan istimewa kepada peminat yang sentiasa berdiri teguh bersama Wings sepanjang perjalanan karier mereka.

Ia bukan sahaja memberi peluang kepada peminat yang terlepas menyaksikan konsert Wings 40 Tahun sebelum ini, malah menjadi tanda terima kasih kepada mereka yang telah hadir dan memberikan sokongan padu terhadap konsert bersejarah berkenaan.

Konsert ini diraikan sebagai simbol hubungan erat antara Wings dan peminat, yang digelar sebagai “Orang Kita”.

Menambah keterujaan, konsert ini turut menjanjikan pelbagai elemen kejutan eksklusif yang dirancang khas buat penonton.

Kejutan-kejutan ini hanya dapat dirasai secara langsung pada malam konsert, menjadikan Wings Orang Kita sebagai satu pengalaman muzik yang istimewa dan sukar dilupakan.

Walaupun melalui perubahan barisan ahli, semangat Wings kekal tidak pernah pudar.

Jiwa, tenaga dan roh kumpulan ini terus dipacu oleh kecintaan terhadap muzik serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat.

Wings juga mengalu-alukan kehadiran peminat baharu sebagai sebahagian daripada keluarga besar Wings, untuk bersama-sama membawa kumpulan ini melangkah ke tahap seterusnya.

Bagi memenuhi keperluan penonton, konsert Wings Orang Kita menawarkan pelbagai kategori tiket termasuk penambahan kategori baharu Rockzone Seating.

Tiket ditawarkan bermula dari Rockzone Standing dan Free Standing, sehinggalah ke kategori Premium Seat, Standard Seat dan VIP Box, memberi pilihan kepada peminat untuk menikmati konsert mengikut keselesaan masing-masing.

Dengan gabungan legasi, perubahan dan hala tuju masa depan, Wings Orang Kita dijangka menjadi satu lagi detik bermakna dalam sejarah perjalanan Wings, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kumpulan rock ikonik yang terus relevan bersama peminat dari pelbagai generasi.

Khadim Ummah Holidays, Lah Ahmad lancar pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Khadim Ummah Holidays Sdn Bhd secara rasmi memeterai perjanjian kerjasama strategik bersama penyanyi, komposer dan penulis lirik tanah air, Lah Ahmad, bagi penganjuran Pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul bersama Lah Ahmad yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2026.

Majlis menandatangani perjanjian itu telah diadakan di Mardhiyah Hotel & Suites, Shah Alam, sekali gus menandakan satu kolaborasi istimewa yang menggabungkan elemen ibadah, seni dan penghayatan cinta kepada Rasulullah dalam sebuah pengalaman umrah yang eksklusif serta bermakna.

Kerjasama ini dilihat sebagai pendekatan baharu dalam industri pengurusan umrah, khususnya dalam menawarkan nilai tambah dari sudut pengisian rohani dan emosi jemaah.

Lah Ahmad sememangnya dikenali sebagai figura seni yang konsisten menghasilkan karya-karya berunsur ketuhanan, sarat dengan mesej positif serta kecintaan kepada Allah dan Rasulullah.

Keperibadian dan latar belakang seni beliau yang dekat dengan nilai spiritual menjadikan Lah Ahmad pilihan tepat untuk mengiringi konsep Umrah Kasih Premium, yang menekankan ketenangan jiwa, pengisian rohani serta nilai kasih sepanjang perjalanan ibadah di Tanah Suci.

Ketua Pegawai Eksekutif Khadim Ummah Holidays Sdn Bhd, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil berkata, kerjasama strategik ini adalah satu inisiatif segar yang memberi dimensi baharu kepada pengalaman umrah.

Menurut beliau, seni yang baik mampu menyentuh hati dan menjadi medium mendekatkan manusia kepada Penciptanya.

“Kehadiran Lah Ahmad dalam Pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul ini diharap dapat membantu jemaah menghayati perjalanan umrah bukan sekadar sebagai ibadah fizikal semata-mata, tetapi sebagai satu perjalanan hati yang dipenuhi rasa cinta kepada Rasulullah,” katanya.

Melalui pakej eksklusif ini, jemaah bakal menikmati pengisian khas bersama Lah Ahmad sepanjang tempoh perjalanan, termasuk sesi refleksi Maulidur Rasul, perkongsian pengalaman peribadi, serta penghayatan mesej-mesej kasih dan ketuhanan yang selari dengan tema sambutan Maulidur Rasul.

Pengisian ini dirangka bagi memperkukuhkan penghayatan rohani jemaah di samping menambah nilai kepada pengalaman umrah mereka.

Pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul bersama Lah Ahmad dijadualkan berlangsung dari 25 Ogos hingga 4 September 2026.

Ia turut menawarkan penginapan bertaraf premium yang berhampiran dengan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, penerbangan terus, pengangkutan berhawa dingin, khidmat mutawwif berpengalaman serta pelbagai aktiviti istimewa yang dirancang secara tersusun dan eksklusif bagi memastikan keselesaan serta kekhusyukan jemaah.

Kerjasama antara Khadim Ummah Holidays Sdn Bhd dan Lah Ahmad ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan, khususnya daripada jemaah yang menginginkan pengalaman umrah yang lebih mendalam dengan gabungan ibadah, ilmu, seni dan penghayatan rohani bersempena sambutan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pakej Umrah Kasih Premium Maulidur Rasul bersama Lah Ahmad boleh melayari laman web rasmi Khadim Ummah Holidays Sdn Bhd di www.khadimummahholidays.com.my.

Musk tuntut AS$109 bilion daripada OpenAI, dakwa keuntungan diperoleh secara tidak sah

editormaxinfo@gmail.com

SAN JOSE, California – Bilionair teknologi Elon Musk memfailkan tuntutan mahkamah terhadap OpenAI dengan menuntut pampasan sehingga AS$109.4 bilion, dengan mendakwa beliau berhak menerima bayaran atas apa yang disifatkannya sebagai “keuntungan salah” hasil sokongan awalnya terhadap syarikat kecerdasan buatan (AI) itu sebagai pengasas bersama.

Menurut dokumen yang difailkan di sebuah mahkamah di California pada Jumaat, pasukan guaman Musk merujuk kepada penilaian pakar berhubung pertikaian undang-undang yang telah berlarutan sejak 2024.

Musk mendakwa nilai pelaburan dan sumbangan awalnya kepada OpenAI telah dinafikan secara tidak sah, namun dakwaan terbabit ditolak oleh pihak OpenAI.

Dalam kenyataan balas yang dimuat naik dalam talian pada hari yang sama, OpenAI menuduh Musk membuat “salah nyata secara kasar” terhadap rekod bertulis sedia ada, sekali gus menafikan asas tuntutan berkenaan.

Berdasarkan penilaian pakar yang dikemukakan oleh pasukan guaman Musk, usahawan kelahiran Afrika Selatan itu dilaporkan telah menyumbang kira-kira AS$38 juta kepada pembiayaan awal OpenAI, selain menyediakan rangkaian industri strategik serta kepakaran teknikal yang signifikan.

Dengan mengambil kira sumbangan terbabit, pakar berkenaan menganggarkan Musk berhak kepada sebahagian daripada nilai semasa OpenAI yang dianggarkan antara AS$65.5 bilion hingga AS$109.43 bilion.

Dokumen mahkamah itu turut mendedahkan Musk menuntut antara AS$13.3 bilion hingga AS$25.06 bilion daripada Microsoft, iaitu rakan kongsi dan pelabur terbesar OpenAI.

Dalam samannya, Musk mendakwa OpenAI yang diasaskannya bersama pada 2015 telah menyimpang daripada misi asal sebagai organisasi bukan untung yang ditubuhkan untuk memastikan penyelidikan AI memberi manfaat kepada seluruh umat manusia.

Beliau berhujah bahawa OpenAI kini lebih cenderung berkhidmat kepada kepentingan komersial Microsoft berbanding matlamat asalnya.

Sebaliknya, OpenAI berkata, pemfailan terbaharu itu adalah percubaan keempat Musk untuk menghidupkan semula tuntutan yang sama.

Syarikat berkenaan mendakwa tindakan itu adalah sebahagian daripada corak gangguan yang bertujuan melambatkan kemajuan kerja OpenAI, sekali gus memberi kelebihan kepada syarikat AI milik Musk sendiri, xAI, yang diasaskan pada 2023 dan membangunkan chatbot Grok sebagai pesaing kepada ChatGPT.

Pertikaian undang-undang berprofil tinggi ini terus menarik perhatian global, khususnya dalam konteks persaingan sengit industri kecerdasan buatan serta persoalan etika, tadbir urus dan pemilikan nilai dalam pembangunan teknologi masa hadapan. -Agensi

PPP terima pengiktirafan rasmi sebagai parti komponen BN

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Parti Progresif Penduduk (PPP) kini secara rasmi diiktiraf sebagai sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), sekali gus menamatkan sebarang keraguan terhadap kedudukan sah parti itu dalam gabungan berkenaan.

Pengiktirafan itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan Perhimpunan Agung PPP ke-72 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pengiktirafan formal terhadap PPP akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu pada 21 Januari ini.

“Di sini saya memegang surat perutusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang bertarikh 3 Nov 2025 yang berbunyi bahawa PPP sebuah parti dalam Barisan Nasional,” katanya.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh perwakilan yang bangun menyuarakan sokongan serta melaungkan semangat “Hidup PPP”.

Majlis perasmian turut dihadiri Presiden PPP, Datuk Dr J Loga Bala Mohan, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Wanita BN dan UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda BN dan UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, selain barisan kepimpinan tertinggi serta perwakilan parti dari seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata, selepas pengiktirafan ini, tiada lagi pihak yang boleh mempertikaikan kedudukan PPP sebagai sebahagian daripada BN.

Beliau berkata, pengumuman rasmi itu sengaja ditangguhkan bagi memberi makna lebih besar apabila disampaikan bersempena Perhimpunan Agung PPP, sekali gus menjadi detik bersejarah buat parti terbabit.

Dalam sidang akhbar selepas majlis, beliau turut menjelaskan pengiktirafan itu mengesahkan PPP sebagai anggota penuh BN dan kini keanggotaan teras Barisan Nasional membabitkan lima parti utama, iaitu UMNO, MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PPP.

“Langkah ini amat penting dalam memastikan kestabilan politik serta memperkukuh kesatuan dan kerjasama strategik dalam kalangan parti komponen BN demi menghadapi cabaran politik semasa dan masa hadapan,” katanya.

Pengiktirafan rasmi PPP sebagai parti komponen BN dilihat sebagai satu perkembangan signifikan yang mampu memperkukuh struktur gabungan berkenaan, selain membuka lembaran baharu kepada PPP untuk terus memainkan peranan lebih aktif dalam landskap politik negara.

TP-Link, Freshtel Internet meterai kerjasama WiFi 7 Tri-Band pertama di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TP-Link Malaysia memeterai kerjasama strategik bersama Freshtel Internet menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh penawaran ketersambungan internet rumah berprestasi tinggi selaras dengan peningkatan permintaan terhadap rangkaian WiFi yang lebih stabil, pantas dan boleh dipercayai.

Kerjasama ini menyaksikan Freshtel Internet mengintegrasikan penyelesaian TP-Link HB610 WiFi 7 Tri-Band Whole Home Mesh ke dalam perkhidmatan mereka, menjadikan Freshtel antara penyedia perkhidmatan internet terawal di Malaysia yang mengguna pakai teknologi WiFi 7 tri-band untuk kegunaan kediaman.

Langkah ini sekali gus memperkukuh kedudukan Freshtel dalam menawarkan pengalaman ketersambungan generasi baharu kepada pengguna.

Berbeza daripada penyelesaian WiFi 7 konvensional, seni bina tri-band HB610 dilengkapi dengan jalur tambahan 6GHz yang berfungsi mengurangkan kesesakan rangkaian, terutamanya dalam persekitaran rumah dengan pelbagai peranti bersambung serentak.

Ciri ini membolehkan prestasi rangkaian yang lebih lancar, konsisten dan stabil, sekali gus menyokong gaya hidup digital moden yang semakin bergantung kepada penggunaan data tinggi.

Menurut Alvin Ou, Pengarah Rangkaian Perusahaan dan Perniagaan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP), TP-Link Malaysia, prestasi WiFi dalam rumah kini menjadi faktor sama penting dengan kelajuan akses internet.

Beliau berkata, kerjasama dengan Freshtel Internet membolehkan TP-Link menyokong penyedia perkhidmatan dengan penyelesaian WiFi 7 tri-band yang direka untuk memberikan pengalaman ketersambungan rumah yang lebih boleh dipercayai, terutamanya dalam persekitaran penggunaan berbilang peranti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Freshtel Internet, Steve Choo, berkata penyediaan pengalaman WiFi dalam rumah yang boleh diharap merupakan keutamaan syarikat.

Menurutnya, kerjasama bersama TP-Link, memperkukuh penawaran perkhidmatan Freshtel menerusi penggunaan teknologi WiFi 7 tri-band, di samping memastikan kesiapsiagaan syarikat dalam memenuhi keperluan ketersambungan masa hadapan selaras dengan perubahan corak penggunaan isi rumah.

Selain ketersambungan kediaman, kerjasama strategik ini turut membuka peluang untuk pembangunan penyelesaian rangkaian yang diurus secara berpusat.

Platform Omada oleh TP-Link menawarkan rangka kerja berskala yang berpotensi menyokong kediaman berbilang unit serta persekitaran hospitaliti, sejajar dengan perancangan Freshtel Internet untuk meneroka segmen perkhidmatan baharu.

Melangkah ke hadapan, TP-Link dan Freshtel Internet komited untuk meneruskan kerjasama jangka panjang dalam mempertingkatkan pengalaman ketersambungan pengguna, selaras dengan evolusi teknologi rangkaian dan keperluan digital yang semakin berkembang.

Akad Yang Hilang angkat isu nikah tidak sah dan stigma ‘anak haram’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Isu perkahwinan tidak sah sering dianggap terpencil dan jarang dibicarakan secara terbuka, sedangkan implikasinya mampu memberi kesan besar terhadap struktur keluarga dan masa depan anak-anak.

Membuka tirai tahun 2026, Astro Shaw tampil dengan sebuah karya berani berjudul Akad Yang Hilang, sebuah filem yang mengangkat realiti sensitif dalam masyarakat iaitu nikah fasid, sekali gus mencabar persepsi serta stigma sosial yang telah lama berakar umbi.

Nikah fasid merujuk kepada perkahwinan yang dilangsungkan tanpa memenuhi rukun dan syarat sah menurut hukum syarak.

Kesannya bukan sekadar membabitkan kesahan hubungan suami isteri, malah turut menjejaskan status anak yang lahir daripada perkahwinan berkenaan.

Realiti inilah yang menjadi nadi penceritaan Akad Yang Hilang, sebuah naskhah yang menyelongkar persoalan undang-undang, agama dan kemanusiaan dalam satu pengalaman sinematik yang menyentuh emosi.

Filem ini mengisahkan perjalanan hidup Maryam, seorang wanita yang ingin mendirikan rumah tangga bersama kekasih pilihannya, Ammar.

Proses pendaftaran perkahwinan yang pada awalnya kelihatan mudah bertukar menjadi rumit apabila Maryam memohon wali hakim berikutan bapanya telah meninggal dunia, manakala satu-satunya adik lelaki yang ada masih di bawah umur.

Namun, segalanya berubah apabila Mahkamah Syariah mendedahkan bahawa perkahwinan ibu bapanya sebelum ini tidak sah kerana fasid.

Pendedahan terbabit bukan sahaja menggugat impian Maryam untuk berkahwin, malah membuka ruang kepada kecaman dan perbualan negatif masyarakat, khususnya di media sosial.

Maryam terpaksa berhadapan dengan stigma yang berat, termasuk persoalan tentang status dirinya sebagai anak yang sah.

Dalam kekalutan emosi dan tekanan sosial, Maryam berusaha mencari jawapan, keadilan dan kekuatan untuk menentukan hala tuju hidupnya.

Menurut Penerbit Eksekutif Akad Yang Hilang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, filem ini dihasilkan dengan keyakinan bahawa sinema mampu menjadi medium perubahan sosial.

Akad Yang Hilang bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah karya yang berpotensi mencetuskan perbualan dan perdebatan tentang realiti masyarakat yang sering dipandang sepi.

“Filem ini diharap mampu membuatkan penonton bertanya kepada diri sendiri tentang tindakan yang akan diambil sekiranya berdepan situasi yang sama, kerana kesedaran adalah langkah pertama untuk melindungi insan tersayang,” katanya.

Menggabungkan elemen cinta, konflik moral dan implikasi undang-undang syariah, Akad Yang Hilang tampil sebagai sebuah naskhah yang jarang dipersembahkan di pawagam tempatan.

Ia mengajak penonton memahami bagaimana satu keputusan atau kesilapan kecil boleh membawa kesan besar, di samping mencabar cemuhan serta penghakiman masyarakat terhadap individu yang terbabit.

Filem ini dibintangi Mira Filzah, yang dikenali dengan kekuatan lakonan emosinya, menandakan kemunculan semula beliau di layar perak selepas beberapa tahun.

Akad Yang Hilang turut menyaksikan gandingan pertama Mira bersama Syarul Ezany, yang kembali ke pawagam selepas penampilan terakhirnya pada tahun 2008.

Barisan pelakon hebat lain seperti Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis turut menyumbang kepada penceritaan yang sarat dengan dramatik dan emosi.

Diarahkan oleh Bahri Uma Bajuri, Akad Yang Hilang adalah sentuhan sulung beliau untuk layar perak selepas pengalaman luas dalam pengarahan drama televisyen. Garapan emosi yang kuat disokong oleh skrip hasil penulisan Zuli Ismail dan Eenaz Mokhtar, manakala lagu tema berjudul Yang Tertulis nyanyian Dinda Dania melengkapkan pengalaman sinematik filem ini.

Akad Yang Hilang sudah pun menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak 15 Januari 2026.

ante perkenal koleksi teknologi rumah bergaya, gabung reka bentuk dan fungsi untuk gaya hidup moden

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seiring kedatangan tahun baharu yang sering dikaitkan dengan permulaan segar dalam kehidupan dan ruang kediaman, ante, kurator produk gaya hidup berteras reka bentuk dari Singapura, memperkenalkan koleksi teknologi rumah terpilih yang direka khas untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden.

Menampilkan jenama antarabangsa seperti Philips, Transparent, Yellowpop dan Lexon, koleksi ini menghimpunkan teknologi yang bukan sahaja berfungsi dengan cemerlang, malah menyatu indah dengan estetik dalaman kontemporari.

Koleksi yang dikurasi secara teliti ini mencerminkan komitmen ante dalam mempersembahkan teknologi yang melangkaui fungsi semata-mata.

Setiap produk dipilih bagi menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup serta ruang kediaman masa kini, di mana keseimbangan antara prestasi harian dan reka bentuk menjadi keutamaan.

Hasilnya, peranti teknologi tidak lagi kelihatan asing dalam ruang rumah, sebaliknya menjadi elemen pelengkap yang menyumbang kepada suasana dan karakter keseluruhan ruang.

Dalam segmen hiburan rumah, Philips tampil sebagai tunjang utama portfolio ante dengan rangkaian projektor yang direka untuk mengubah ruang kediaman menjadi pawagam peribadi.

Bermula pada harga RM1,231, model seperti NeoPix 450, NeoPix 950, GamePix 900 dan Screeneo UL5 jenis ultra-short-throw menawarkan visual resolusi tinggi yang terang dan mengagumkan.

Ditampilkan dalam kemasan hitam dan putih yang minimalis, projektor ini membuktikan bahawa teknologi hiburan boleh meningkatkan nilai estetika ruang tanpa mengganggu keharmonian reka bentuk dalaman.

Sementara itu, Transparent pula dikenali menerusi bahasa reka bentuk ‘see-through’ yang unik serta pendekatan modular yang mencabar budaya elektronik pakai buang.

Dengan harga bermula RM1,799, produk ikonik seperti Light Speaker dan Transparent Turntable bukan sahaja menyampaikan kualiti audio yang tinggi, malah berfungsi sebagai elemen pencahayaan ambien dalam rumah.

Selari dengan falsafah kelestarian jenama ini, setiap komponen direka untuk tahan lama dan mudah dinaik taraf, di mana bahagian dalaman boleh diakses dengan skru bagi tujuan pembaikan atau penambahbaikan pada masa hadapan.

Bagi pemilik rumah yang ingin menyuntik elemen ekspresi dan tenaga visual ke dalam ruang kediaman, ante turut mengetengahkan rekaan LED neon buatan tangan oleh Yellowpop.

Bermula pada harga RM1,799, karya ini berfungsi sebagai seni kontemporari yang menampilkan kolaborasi bersama legasi seni ikonik seperti Keith Haring, Andy Warhol dan Jean-Michel Basquiat.

Dengan ciri tahan lasak, mesra alam dan pemasangan mudah tanpa struktur kekal, Yellowpop menawarkan pendekatan sofistikated untuk mencipta suasana galeri moden di dalam rumah.

Jenama reka bentuk dari Perancis, Lexon, terus menjadi antara tarikan utama dalam koleksi ante, terutamanya selepas meraih enam anugerah iF Design Awards pada tahun 2024.

Dengan harga bermula RM129, rangkaian ini merangkumi siri lampu mudah alih Luma, Steli Table Lamp pada harga RM599 serta Oslo News Premium berharga RM699.

Lexon menampilkan inovasi intuitif seperti teknologi proprietari “Easy Sync” yang membolehkan pengguna menyelaraskan warna dan kecerahan beberapa lampu serentak hanya dengan satu sentuhan, tanpa memerlukan aplikasi telefon pintar.

Secara keseluruhan, koleksi ini menggambarkan pendekatan kehidupan yang lebih sedar reka bentuk, di mana teknologi dipilih bukan sahaja berdasarkan fungsi, tetapi juga kesannya terhadap suasana dan estetika ruang.

Daripada pengalaman tontonan sinematik dan bunyi imersif sehinggalah pencahayaan ekspresif serta aksen skulptural, kurasi terbaharu ante menjadi rujukan kontemporari buat pemilik rumah yang ingin membina kediaman yang lebih kemas, bergaya dan beridentiti untuk jangka masa panjang.

Orang ramai yang ingin merasai sendiri koleksi ini boleh mengunjungi ante di SEIBU, The Exchange TRX, Aras 2, atau meneroka rangkaian penuh secara dalam talian sebagai inspirasi ke arah kediaman yang lebih berteraskan reka bentuk moden.