26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, February 12, 2026

TP-Link, Freshtel Internet meterai kerjasama WiFi 7 Tri-Band pertama di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TP-Link Malaysia memeterai kerjasama strategik bersama Freshtel Internet menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh penawaran ketersambungan internet rumah berprestasi tinggi selaras dengan peningkatan permintaan terhadap rangkaian WiFi yang lebih stabil, pantas dan boleh dipercayai.

Kerjasama ini menyaksikan Freshtel Internet mengintegrasikan penyelesaian TP-Link HB610 WiFi 7 Tri-Band Whole Home Mesh ke dalam perkhidmatan mereka, menjadikan Freshtel antara penyedia perkhidmatan internet terawal di Malaysia yang mengguna pakai teknologi WiFi 7 tri-band untuk kegunaan kediaman.

Langkah ini sekali gus memperkukuh kedudukan Freshtel dalam menawarkan pengalaman ketersambungan generasi baharu kepada pengguna.

Berbeza daripada penyelesaian WiFi 7 konvensional, seni bina tri-band HB610 dilengkapi dengan jalur tambahan 6GHz yang berfungsi mengurangkan kesesakan rangkaian, terutamanya dalam persekitaran rumah dengan pelbagai peranti bersambung serentak.

Ciri ini membolehkan prestasi rangkaian yang lebih lancar, konsisten dan stabil, sekali gus menyokong gaya hidup digital moden yang semakin bergantung kepada penggunaan data tinggi.

Menurut Alvin Ou, Pengarah Rangkaian Perusahaan dan Perniagaan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP), TP-Link Malaysia, prestasi WiFi dalam rumah kini menjadi faktor sama penting dengan kelajuan akses internet.

Beliau berkata, kerjasama dengan Freshtel Internet membolehkan TP-Link menyokong penyedia perkhidmatan dengan penyelesaian WiFi 7 tri-band yang direka untuk memberikan pengalaman ketersambungan rumah yang lebih boleh dipercayai, terutamanya dalam persekitaran penggunaan berbilang peranti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Freshtel Internet, Steve Choo, berkata penyediaan pengalaman WiFi dalam rumah yang boleh diharap merupakan keutamaan syarikat.

Menurutnya, kerjasama bersama TP-Link, memperkukuh penawaran perkhidmatan Freshtel menerusi penggunaan teknologi WiFi 7 tri-band, di samping memastikan kesiapsiagaan syarikat dalam memenuhi keperluan ketersambungan masa hadapan selaras dengan perubahan corak penggunaan isi rumah.

Selain ketersambungan kediaman, kerjasama strategik ini turut membuka peluang untuk pembangunan penyelesaian rangkaian yang diurus secara berpusat.

Platform Omada oleh TP-Link menawarkan rangka kerja berskala yang berpotensi menyokong kediaman berbilang unit serta persekitaran hospitaliti, sejajar dengan perancangan Freshtel Internet untuk meneroka segmen perkhidmatan baharu.

Melangkah ke hadapan, TP-Link dan Freshtel Internet komited untuk meneruskan kerjasama jangka panjang dalam mempertingkatkan pengalaman ketersambungan pengguna, selaras dengan evolusi teknologi rangkaian dan keperluan digital yang semakin berkembang.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular